Ikuti Blog ini

Lebih 36,000 pengundi ragu bakal banjiri Selangor


SHAH ALAM: Pakatan Rakyat (PR) mendakwa satu langkah agresif sedang diambil untuk membawa pengundi ragu ke Selangor melalui pengangkutan udara secara besar-besaran menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) hujung minggu ini.
Dalam satu sidang media, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Jaafar Shamsuddin mendedahkan beberapa senarai penerbangan berstatus ‘charter flights’ Malaysia Airlines (MAS) yang akan berlepas daripada Kota Kinabalu bermula 2 Mei sehingga 4 Mei ini.

PR percaya rancangan penerbangan khas ini akan membawa lebih 36,000 pengundi yang statusnya diragui sebagai talian hayat terakhir Umno-BN untuk merampas Selangor dan kekal berkuasa di Putrajaya.

Pengundi-pengundi tersebut termasuk mereka yang yang lahir dan bermastautin di luar Selangor tetapi berdaftar sebagai pengundi Selangor dan pengundi yang bukan warganegara Malaysia.

“Kita juga percaya terdapat pihak tertentu yang mengawasi dan mengubah beberapa penerbangan khas itu daripada terus dikesan pihak kita.

“Sebagai contoh, pada 28 April, kita telah memantau di KLIA setelah menerima maklumat penerbangan tempahan khas MH 8601 akan mendarat pada pukul 6 pagi namun penantian sehingga jam 11.30 pagi tidak mendapati sebarang pendaratan.

“Pemberi maklumat dalaman kemudian memberitahu bahawa jadual penerbangan itu telah ditunda kepada tarikh lain iaitu pada 1 Mei nanti,” jelas Jaafar.

Dalam pada itu, beliau berkata pasukan risikan PR akan terus memantau lapangan terbang di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan Low Cost Carrier Terminal (LCCT) di Sepang, Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi serta Lapangan Terbang Subang di Subang.

Mereka kini juga sedang dalam pemerhatian untuk mengenal pasti tempat kediaman penumpang-penumpang penerbangan ini.

Selain itu, PR turut melahirkan kebimbangan dengan operasi membawa pulang anggota tentera Semenanjung daripada operasi keselamatan di Lahad Datu yang kini sudah memasuki hari ke-empat di KLIA.

“Ini jarang berlaku lebih-lebih lagi dalam jumlah yang besar dan kita bimbang jika operasi ini turut digunakan untuk mengangkut pengundi bukan warganegara untuk dijadikan pengundi kerana ini merupakan cara yang paling lancar dan mudah,” tambah Jaafar.

Sehubungan itu, PR meminta kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan tiada masa tambahan mengundi dibenarkan pada 5 Mei nanti.

SPR juga digesa untuk menggunakan daftar pemilih yang sudah diwartakan dan diberikan kepada parti-parti politik, bukan daftar yang lain.

“Kita sudah berbincang dengan SPR dan mereka telah berjanji untuk mengekalkan apa yang telah dipersetujui ini dan kita harapkan agar SPR tidak mungkiri perkara-perkara ini,” tegas Jaafar. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .