Ikuti Blog ini

Kembali pada Al-Quran


Nampaknya masih ada rasa tidak puas hati dengan isu muzakarah/muqabalah ni..Letih dah nak mengulas..Ape-ape pun kembalilah kepada Al-Quran...

Orang yang beriman akan kembali kepada ayat Al-Quran:

"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (An-Nisa': 59)

Orang yang mukmin akan mendapatkan berita yang sahih dan benar:

Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Tegurlah pemimpin dengan baik. Untuk mendamaikan bukan untuk mengeruhkan suasana :

"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (Al-Hujuraat :ayat 10)

Akhir sekali berdoalah untuk kekuatan Jamaah Islam. Pertingkatlah ketaqwaan kita kepada Allah nescaya Allah akan bersama dengan kita.

"Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)

Umno Gagal Gugat Pakatan Rakyat - DS Anwar


Semalam di Bandar Tun Razak dan malam ini di Kulim saya memperakui kenyataan sebenar bersabit isu pembentukan Kerajaan Negeri Selangor selesai PRU12 8 Mac lalu.

Saban hari saya berhubungan terus dengan pimpinan PAS khususnya Tuan Guru Ustaz Hadi dan juga pimpinan DAP. KeADILan, PAS dan DAP tidak berganjak dari ketetapan memperkukuh muafakat Pakatan Rakyat.

Justeru itu kita harus waspada dengan muslihat Umno, termasuk dakwaan Khir Toyo yang menyelar saya sebagai penghalang utama ke arah pembentukan Kerajaan Pas-Umno di Selangor.

Ternyata Umno terdesak lemas lantaran pergelutan dalaman dan kegagalan mengatasi kemelut politik dan kegawatan ekonomi. Perlu dijelaskan bahawa sehingga kini saya tidak dapat mengesan sebarang langkah atau kenyataan dari pimpinan ketiga parti induk Pakatan yang boleh ditafsirkan sebagai keretakan.

Malah dalam perbualan talipon saya pagi tadi dengan Ustaz Hadi Awang, saya singkap perundingan di antara kami dan DAP tatkala memutuskan cadangan perlantikan Tan Sri Khalid selaku MB Selangor.

Ketika itu Ustaz Hadi menalipon saya menolak desas desus dan menegaskan bahawa beliau telah pun mengirim faks mengesahkan keputusan Pas menyokong pencalonan Tan Sri Khalid.

ANWAR IBRAHIM

Gambar: Cadangan Bendera / Logo baru untuk Pakatan Rakyat..



DUN Paroi keluarkan kalender RM5 satu


Tahun 2009....masih jauh lagi dan ada 4 bulan lagi sebelum tahun 2008 melabuhkan tirainya, pihak MTD Paroi telah mula menjual kalendar 2009 yang memaparkan gambar-gambar Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi 5 buah negeri Pakatan Rakyat. Dengan harga RM5 sekeping,secara automatik pembeli akan menyumbang kepada Tabung Dana DUN Paroi. Dalam keadaan tidak ada peruntukan dana untuk DUN Paroi, sumbangan anda akan dapat membantu kami meringankan bebanan kehidupan orang miskin , ibu tunggal dan anak-anak yatim di DUN Paroi ini. Boleh dapatkan kalendar 2009 di pejabat DUN Paroi di Taman Tasik Jaya atau hubungi Pegawai Khas DUN Paroi , Sdra Shaharudin (KUDIN) di talian 013-2799700 atau 06-6794609. Ramai pimpinan PAS telah memiliki Kalendar cetakan terhad ini antaranya Timbalan Speaker DUN Kedah , YB Ust Abd Ghani Ahmad, Exco Kerajaan Negeri Kedah , YB Amirudin dan Exco Kerajaan Negeri Selangor (YB Dato' Dr Hasan Ali dll).

Parti baru bertunjang Islam boleh satukan PAS, Umno - Nik Aziz



Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempelawa ahli-ahli serta penyokong Umno menyertai PAS bagi memastikan agama Islam dan nasib orang Melayu lebih terbela.

Kata beliau muqabalah (perbincangan) di antara pemimpin PAS dan Umno boleh diadakan bagi mencari kaedah satu parti sahaja bagi orang Islam dan Melayu di negara ini.

"Ini kerana PAS telah lama berjuang di atas landasan Islam. Saya pun tak faham mengapa orang Umno tidak mahu menyertai PAS, apa yang tidak kena bagi Umno tehadap PAS.

"Sedangkan kita terima hakikat bahawa Islam mesti diutamakan," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan di Markas Dewan Ulama (Madu) di sini semalam.

Malah beliau berkata, sekiranya ahli Umno segan untuk menyertai PAS lebih baik menubuh parti baru yang juga berlandas Islam.
Ini kerana kata beliau ahli PAS sudah tentu tidak akan menyertai Umno.

Katanya, keinginan Umno mengajak PAS bermuzakarah boleh dilakukan sekiranya ia hanya berkaitan Islam.

Bagaimanapun kata beliau Umno seringkali tidak memberi kerjasama untuk melaksanakan program pembangunan di negeri ini dan isu tersebut tentunya boleh membantut diteruskan muqabalah.
"Lagi pun muzakarah yang dimaksudkan sebelum ini hanya lahir daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bukannya keputusan parti Umno itu sendiri.

"Muzakarah hanyalah kehendak Perdana Menteri dan bukannya Umno, kalaulah kita adakan muzakarah atau muqabalah, tiba-tiba Perhimpunan Agung Umno tidak bersetuju presidennya tak boleh buat apa-apa," katanya.

Menurutnya juga muqabalah hendaklah hanya menyentuh aspek Islam sahaja bukannya melibatkan dasar parti kerana PAS perlu menjaga hubungan dengan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

"Saya amat menyokong sekiranya Umno dan PAS bubar dan kita tubuh satu parti baru dan parti tersebut hendaklah berlandaskan Islam," katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Mohamed Daud menyokong cadangan Menteri Besar Kelantan supaya Umno dan PAS dibubar untuk membolehkan parti baru yang berasas Islam ditubuh.
"Bagi Dewan Ulamak kami bersetuju memberi mandat kepada pemimpin parti seperti presiden, timbalan, naib dan setiausaha bermuqabalah dengan Umno," katanya.

Beliau juga berkata, apa yang telah dibincangkan dengan Umno hendaklah dibawa kepada Majlis Syura Ulamak sebelum dibawa ke muktamar pertengahan Ogos depan.
Oleh itu beliau berharap tidak timbul sebarang fitnah hasil muqabalah dengan Umno.

Beliau juga meminta ahli PAS berlapang dada dan menyerah kepada kebijaksanaan pimpinan PAS bagi mengadakan sebarang muqabalah dengan Umno.

Nasir Ibrahim ganti Zaid Ibrahim


Rasanya semua sudah tahu tentang khabar angin yang Zaid telah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,dan ada sumber mengatakan bahawa orang yang menggantikan Zaid ialah orang dari Terengganu iaitu Dato Mohd Nasir Fikri,Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Sebelum ini Zaid telah menimbulkan rasa marah dikalangan Ahli Parlimen kerana sikapnya yang amat buruk,antara Ahli Parlimen yang ditentangnya ialah Datuk Muhkriz,Ahli Parlimen Jerlun,Datuk Tajuddin Abd Rahman,Ahli Parlimen Pasir Salak.Zaid juga dikatakan akan ditimbang didalam badan disiplin Umno.Nasir yang sebelum ini ialah ADUN Bukit Tunggal dikatakan akan menggantikan Idris Jusoh pada 2008 tetapi tidak menjadi kenyataan apabila beliau ditukarkan bertanding di Parlimen"

BN umpan RM30 juta pikat Adun Pakatan Rakyat di Perak?


Keghairahan Umno Perak kononnya akan menubuh kerajaan pada 31 Ogos depan dengan �membeli� tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat dianggap sebagai igauan di siang hari.
Iklan

Menteri Besar Perak, Dato� Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin berkata, bagi mencapai hasrat tersebut mereka dikatakan sanggup membeli wakil rakyat Pakatan Rakyat sehingga RM30 juta seorang.

Katanya, walaupun Umno menawar harga yang tinggi, namun semua wakil rakyat Pakatan Rakyat di Perak memberi jaminan tidak akan menerima tawaran tersebut sebaliknya akan terus kekal dengan kerajaan sekarang.

Oleh itu dakwaan bekas Menteri Besar Perak Dato� Seri Tajul Rosli Ghazali yang mendakwa kerajaan Pakatan Rakyat Perak akan tumbang 31 Ogos ini hanyalah gimik politik semata-mata.

Beliau menyatakan perkara itu ketika menyampaikan ceramahnya di Dewan Haji Salleh, Pekan Alor Lintah, baru-baru ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kini mempunyai 59 ahli di mana 28 Umno, 18 DAP, 7 PKR dan 6 PAS.

Beliau juga mengakui pelantikannya sebagai Menteri Besar merupakan satu keajaiban yang telah ditentukan oleh Allah Taala.

�Walaupun PAS hanya memenangi 6 kerusi Dun berbanding DAP sebanyak 18 dan Parti Keadilan Rakyat 7, namun semua pemimpin parti dalam Pakatan serta baginda Sultan bersetuju melantik Adun PAS sebagai menteri besar.

�Kita telah memberitahu rakyat Perak, Allah Taala telah menurunkan rahmatNya ke atas negeri itu dengan menubuhkan kerajaan melalui kesepakatan di antara pemimpin PAS, DAP dan PKR,� katanya.

Beliau juga berkata, walaupun Perak merupakan kerajaan berbilang bangsa atau parti, namun pemimpin DAP boleh menerima program keislaman yang dilaksanakan.

Sebagai contoh Pengerusi DAP Perak Dato� Ngeh Koo Ham menanyakan berapa ganjaran yang diberikan kepada qari dan qariah Perak yang berjaya menjadi johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Kedah, baru-baru.

�Saya mencadangkan kita beri RM1,000 seorang dan Dato� Ngeh pula cadangkan kerajaan negeri memberi RM10,000 seperti diberi kerajaaan Pusat,� katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak yang tidak boleh menerima kerajaan sekarang hanyalah pemimpin Umno yang diketuai Tajul Rosli.

Tuan Guru : Kami tidak akan jual dengan harga yang murah



Tuan Guru Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu merasmikan konvensyen PAS Perak di Ipoh turut menyentuh isu muzakarah antara Umno dan PAS.

Mengulas tentang tawaran-tawaran jawatan eksklusif sebagai Menteri Besar dan kedudukan exco sebagaimana yang didedahkan oleh PM Abdullah Badawi,Presiden PAS dengan tegasnya menyatakan:

“PAS tidak akan menukarkan ugama dengan harga yang murah! Kami mengemukakan kepada Umno cadangan-cadangan daripada PAS mengenai diskriminasi dan tekanan-tekanan terhadap kerajaan negeri yang berlaku sejak era Hussein Onn lagi,”

“Mereka melambat-lambatkan bayaran geran supaya kerajaan negeri mengalami masalah dan pelbagai cara lagi untuk menganggu pentadbiran kerajaan negeri,” ulas beliau lagi.

Tuan Guru telah memetik potongan ayat dari Surah Al-Anfal :

وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ (٦١) وَإِن يُرِيدُوٓاْ

(أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُ‌ۚ هُوَ ٱلَّذِىٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ (٦٢
Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.(62)
“Mereka telah mengajak dan menjemput kita dan kita telah menyambut baik undangan mereka itu. Dan kalau mereka bertujuan mahu menipu kita , Allah tetap akan lindungi kita, itulah jaminan Allah kepada orang-orang yang beriman,” jelas Tuan Guru.

“Untuk mengubah minda mereka dengan perbahasan di Parlimen adalah tidak mampu kerana pelbagai halangan daripada Yang Dipertua Dewan melalui halangan usul-usul dan undang-undang yang menghalang perbincangan yang terbuka antara PAS dan Umno,” jelas Tuan Guru lagi.

“Budaya Umno yang selama ini menganggap negeri ini kepunyaan mereka sahaja dan menganggap mereka sahaja yang mampu untuk memerintah adalah merupakan kepercayaan khurafat yang wajib kita tentang dan buktikan anggapan demikian itu adalah salah,” kata Tuan Guru.

Tok Guru Tegur Media


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur pengamal media yang memberi liputan keterlaluan dalam kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mengaibkannya walaupun belum lagi terbukti bersalah.
Menteri Besar Kelantan itu kecewa dengan keghairahan media yang melaporkan berita penahanan Anwar di muka depan beserta gambar tetapi pembebasan Anwar dengan jaminan polis dilaporkan secara ringkas sahaja.

"Saya nak tanya kenapa nak malukan dia sampai letak muka depan (media)...kena ingat Allah akan tutup aib kita di akhirat kalau kita tutup aib orang lain dan Allah juga akan dedah aib kita kelak kalau kita dedah aib orang di dunia," katanya semasa menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengamal media bahawa setiap perbuatan itu akan dihitung di akhirat kelak.

Anwar umum kerusi Parlimen ditandingi minggu depan?


KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan akan bertanding kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Kedah pertengahan minggu ini, malam ini melahirkan minat untuk mencuba nasib di kawasan Bandar Tun Razak di sini.

Selari dengan pengumuman itu, Anwar juga berkata, pihaknya masih yakin akan membentuk kerajaan baru peringkat persekutuan 16 September ini.

Bagaimanapun kata Anwar, beliau hanya akan mengumumkan kerusi yang bakal ditandinginya minggu depan.

Kira-kira 5,000 orang membanjiri kawasan Masjid Isaniah, Bandar Tun Razak untuk mendengar ucapan Anwar malam ini - sebahagian daripada siri jelajah beliau ke seluruh negara sejak isu meliwat timbul sebulan lalu.

Mengenai nama empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang disebut-sebut akan menyertai Pakatan Rakyat, Anwar berkata, ia akan diumumkan sebaik sahaja beliau menang kerusi Parlimen dalam pilihan raya kecil.

Pertengahan minggu ini, tumpuan Anwar menjurus ke arah bahagian Kulim-Bandar Baharu sebagai kerusi yang bakal ditandinginya.

Anwar mendedahkan beliau telah berbincang mengenai perkara itu dengan penyandang kerusi berkenaan, Zulkifli Noordin.

“Saya dah berbincang dengan Zulkifli dan beliau maklumkan bersedia untuk memberi laluan kepada saya jika pilihan raya kecil diadakan,” kata beliau.

Anwar yang memperoleh lampu hijau untuk aktif berpolitik dua bulan lalu memberitahu, beliau sudah berbincang dengan pemimpin PKR, Pas dan DAP bagi sebarang kemungkinan menghadapi pilihan raya kecil yang pengumumannya ditangguhkan oleh mahkamah sehingga 16 Ogos ini.

Pada 26 April lalu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang kalah kepada Zulkifli dengan perbezaan 5,583 undi memfailkan petisyen mendakwa Zulkifli kerana gagal mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya pilihan raya umum ke-11.

Doa Tuan Guru Nik Aziz buat Anwar


Tuan Guru Nik Abdul Aziz berdoa buat keselamatan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas habis memberi syarahan agama beliau. Moga Allah memelihara Malaysia dan rakyatnya agar jauh dari segala bala bencana dan bahaya fitnah.

Julung kali senario politik tanah air kelihatan begitu rupa. Julung kali ini juga politik tanah air menuntut sesuatu yang amat berbeza. Sepanjang ingatan saya inilah kali pertama dalam sejarah politik tanah air, seorang Menteri Besar, seorang ulama’ seorang sahabat, mendoakan secara terbuka akan seorang sahabat.

Lewat pilihanraya umum yang lalu, ketika kerajaan Kelantan diasak bertubi-tubi, ketika pondok panas PAS/Pakatan sepi, Tuan Guru Nik Aziz berserah kepada Allah dan memohon doa agar diselamatkan Kelantan dari gerombolan UMNO.

Bukan Tuan Guru Nik Azizi sahaja yang berdoa, malah seluruh rakyat yang mendukung cita-cita sebuah negara yang berteraskan keadilan perlu berdoa mengikut cara agama masing-masing.

Haron Din kagum Mursyidul Am PAS terima Anugerah Nobel Asia



Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din melahirkan rasa kagum atas penganugerahan hadiah nobel keamanan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh Gusi Peace Price Foundation. Iklan

"Saya berasa amat terharu kerana penghargaan ini datang pada waktu dan saat umat Islam di Malaysia dan Asia melihat suatu perkembangan baru umat Islam di rantau ini yang mula meniti kejayaan khasnya bagi pejuang Islam di Malaysia," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

"Sememangnya wajar tokoh itu diberi penghargaan, namun saya sangat yakin bahawa tuan guru tidak pernah mengharapkan anugerah itu kerana beliau lebih menghargai anugerah daripada Allah yang telah meletakkan beliau sebagai pejuang Islam yang beristiqamah, dedikasi dan komited dengan perjuangannya," katanya lagi.

Kejayaan tersebut ujarnya tidak dapat dipisahkan dengan sumbangan besar ulama' tersohor itu yang banyak menghasilkan karya, buku, mengajar, memberi pandangan yang kesahihannya menuju ke arah pembinaan ummah berteraskan Islam.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa selain anugerah yang diberikan Allah kepada manusia, bagi umat Islam terlalu kurang mendapat anugerah daripada manusia khususnya bagi mereka yang gigih memperjuangkan agama Allah.

"Bagi orang Islam, anugerah teragung adalah apabila dapat bertemu dengan Allah kelak.
"Namun teramat kurang dunia memberikan penghargaan kepada pejuang-pejuang Islam dan karyawan ulung dan tersohor," ujarnya lagi.

Beliau menganggapTuan Guru Nik Aziz memiliki pandangan yang membina, pendirian yang amat tegas, kata-kata yang didengari, dipatuhi pengikut serta amat digeruni musuh.
"Ketajaman penanya serta keberkesanan ideaya menjadi fokus utama penilai-penilai yang hendak menilai siapa tuan guru.
"Beliau seorang ulama' besar dan seorang ahli politik yang amat disegani, mempunyai visi dan misi yang jauh memandang ke hadapan, tok guru terus konsisten mengajak rakyat mendaulatkan Islam," katanya lagi.

Tuan Guru Nik Aziz dijangka akan menerima Anugerah Keamanan Nobel versi Asia, Anugerah Keamanan Gusi pada November ini di Manila, Filipina.
Anugerah keamanan Gusi ini diadakan setiap tahun oleh Gusi Peace Price Foundation dan difahamkan 10 hingga 15 tokoh akan dipilih untuk menerima anugerah yayasan itu.

Menurut sumber, anugerah ini akan disampaikan oleh Ketua Yayasan Gusi, Barry Gusi, di ibu pejabatnya yang terletak di Manila.
Barry Gusi dalam satu ulasannya mengenai penganugerahan itu berkata, Menteri Besar Kelantan itu merupakan tokoh kedua dari Malaysia yang memenangi anugerah ini.

Untuk tahun ini, seramai 1,490 tokoh dicalonkan di seluruh dunia sebagai penerima anugerah tersebut.
Anugerah ini boleh dikatakan sebagai anugerah Keamanan Nobel versi Asia, menurut Barry Gusi./

Dr. M gesa ahli Umno paksa Abdullah undur segera


KUALA LUMPUR: Dalam kritikan terbaru terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad "mengaku bersalah kerana" memilih penggantinya itu, tetapi menegaskan, kini yang salah meneruskan kepimpinan beliau adalah "ahli-ahli Umno sendiri."

"Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Abdullah, Umno masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri," katanya.

"Saya terima saya bersalah kerana memilih Abdullah sebagai pengganti saya. Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak begitu clean," kata beliau menerusi tulisan terbaru dalam blognya hari ini.

Dr. Mahathir yang telah banyak kali mengkritik dan mengecam cara Abdullah mengepalai kerajaan dan Umno sejak lebih tiga tahun lalu berkata: "Saya percaya ahli Umno dan pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama."

Bagaimanapun tegas beliau, hari ini yang berkuasa menggantikan Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Dr. Mahathir memutuskan untuk keluar Umno pada 19 Mei lalu atas alasan tidak mahu berada dalam parti yang dipimpin oleh Abdullah dan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Tambah beliau, ahli-ahli Umno tidak harus menunggu sehingga pilihan raya umum ke-13 untuk mengalahkan BN dan Umno supaya Abdullah berundur.

"Yang salah bukan BN atau Umno. Yang salah ialah Abdullah. Jika ahli Umno hendak melihat Umno dan BN dipulih semula, paksalah Abdullah letak jawatan sekarang.
"Jangan calon (mencalonkan) Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian.
"Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Abdullah terus menjadi Presiden Umno, yang salah ialah ahli Umno sendiri," katanya lagi.

Ahli-ahli Umno, menurut beliau, akan bertanggungjawab terhadap kehancuran Umno dan malapetaka yang akan timpa orang Melayu dan negara Malaysia. Yang akan hancur bersama ialah parti-parti komponen BN.

Kata Dr. Mahathir, setiap kali beliau mengkritik Abdullah sebagai Perdana Menteri ada sahaja orang yang secara sinis berkata "awak yang lantik dia".
"Ya, saya mengaku salah. Saya mengaku yang saya lantik Abdullah sebagai pengganti saya.
"Tetapi ahli Umno juga pilih Abdullah," katanya.

Sambil memberikan latar belakang Abdullah sejak pemilihan 1987 dengan panjang lebar, Dr. Mahathir memberitahu "saya jelaskan latar belakang pemilihan Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya."

"Saya rela dihukum jika saya salah," kata beliau yang menyerahkan kuasa pada Oktober 2003.
"Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah.
"Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini pendapat saya ialah Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir," katanya.

Kata bekas Presiden Umno itu, jika Abdullah benar-benar menyayangi Umno, beliau harus rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan Umno.

"Alasannya yang dia ingin awasi pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadirannya adalah sebab Umno dan Barisan Nasional jadi lemah," katanya.

Konsert Inul dibatalkan - Alhamdulillah



Konsert “Ratu Gelek Indonesia” Inul yang dijadualkan pada 27 Julai 2008 ini telah dibatalkan. Pihak Pemuda Wilayah telah menghubungi syarikat IMS Prima Sdn Bhd, yang menguruskan konsert berkenaan. Pegawai syarikat berkenaan yang enggan memberitahu namanya, memberitahu bahawa konsert tersebut telah dibatalkan.

Konsert tersebut dibatalkan kerana tidak mendapat permit daripada pihak DBKL ekoran ramai yang membantah dan tidak bersetuju dengan konsert tersebut, termasuk bantahan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Selain itu ia dikhuatiri akan menimbulkan kekacauan dan gangguan awam.

Pada 23 Julai 2007 yang lepas, rombongan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Sdr Kamaruzaman telah menghantar memorandum bantahan kepada konsert Inul. Memorandum tersebut telah diterima oleh pegawai khas Datuk Bandar Wilayah Persekutuan.

Sejurus selepas itu Kamaruzaman mengumumkan Pemuda Wilayah akan turun ke Stadium Bukit Jalil bagi mengedarkan 10 000 risalah bagi memberi mesej kesedaran kepada orang ramai.

Saudara Kamaruzaman yang dihubungi tadi melahirkan rasa gembira dengan berita pembatalan konsert ini. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berharap agar konsert-konsert seperti ini, tidak lagi dibenarkan kerana ia akan mendatangkan kesan yang sangat buruk kepada negara kita.

Penyelenggaran Kereta Exco RM 1.1 juta, AMK buat laporan polis


Kuala Terengganu - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu memohon agar suatu siasatan segera dilakukan oleh pihak polis keatas kos ‘terlampau’ penyelenggaraan kereta
Proton Perdana V6 eksekutif yang digunakan oleh exco kerajaan negeri Terengganu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua AMK Terengganu, Mohd Fariz Musa dalam laporan polis yang dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu jam 3.02 petang hari ini.

Beliau berkata berdasarkan laporan akhbar kelmarin, Menteri Besar Terengganu menyatakan kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Eksekutif bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh selama lima tahun bermula 2004 hingga 2008 berjumlah RM235,123.08.

Menurut beliau ia adalah satu jumlah yang amat banyak, membelanjakan wang rakyat dan wang kerajaan negeri Terengganu.

”Walaupun telah dibetulkan (oleh SUK) menjadi RM131,449.83, ia masih satu jumlah yang amat besar,
”dalam keadaan rakyat terbeban dengan isu kenaikan harga minyak sekarang, ia adalah keterlaluan,
”perlu dijelaskan secara terperinci,”katanya kepada media selepas membuat laporan polis.

Beliau yang juga Timbalan Ketua AMK Malaysia berkata walaupun BPR telah melakukan penyiasatan, tetapi ia belum berbaloi (belum ada tindakan apa-apa).

Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Terengganu, Dato’ Mokhtar Nong menyatakan berdasarkan rekod perbelanjaan menyelenggara kereta rasmi Idris yang menggunakan nombor pendaftaran TS 12, sebanyak RM2,303.48 dibelanjakan pada 2004; RM18,378.76 (2005); RM33,261.37 (2006); RM49,582.81 pada tahun lalu dan RM27,923.41 tahun ini.

”Manakala Perbelanjaan keseluruhan penyelenggaraan 16 kereta digunakan Exco serta pegawai tinggi kerajaan negeri dalam tempoh empat tahun berjumlah RM1,071,668.82,"ujar Mokhtar semalam

Sehubungan dengan itu, Fariz berharap Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya bersikap telus dan profesional serta menyiasat perkara tersebut hingga ke akar umbi.

"Jangan sampai ikan bilis tertangkap, ikan jerung (pula) terlepas,"tambahnya.

Turut menemani beliau adalah Timbalannya AMK Terengganu, Muzafeq Affyulzalfuzam Mohamad dan dua exco AMK Terengganu yang lain.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .