Ikuti Blog ini

Gambar-Gambar Menarik Dato' Seri Nizar Di KLIA sebelum terbang ke luar negara

Bertemu Menteri Pengajian Tinggi Dato' Khalid Nordin, dengan penuh kemesraan walaupun berlainan ideologi politik.
Dato'Seri Nizar dan Datin Seri Fatimah melambaikan tangan meninggalkan negara di KLIA, Sepang.
Antara pimpinan PAS Perak yang pergi keluar negara untuk Misi Khas bersama Dato Seri Nizar.
Dokumen perjalanan Dato'Seri Nizar dan isterinya diperiksa oleh Pengawal Keselamatan sebelum berlepas di Check Point KLIA

TG Nik Aziz: PKR baru belajar merangkak

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata masalah yang membelenggui PKR boleh diibaratkan sebagai bayi yang belajar merangkak.

"PAS seperti itu juga, sebelum ini. Sebelum jadi kuat, ada juga ahli yang meninggalkannya,” kata beliau selepas menyampaikan derma kepada mangsa kebakaran di Kampung Wakaf Lanas, Pasir Puteh.

TG Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS berkata ahli yang melompat ke parti lain adalah perkara biasa, yang lazimnya berlaku ke atas parti baru seperti PKR.

"Sebelum parti menjadi kuat, kita terpaksa menerima perkara seperti itu (melompat ke parti lain),” katanya kepada
Bernama.

PKR mencatatkan kemenangan besar pada pilihan raya umum 2008 tetapi tiga ahli parlimen dan empat ahli dewan undangan negerinya telah meninggalkan parti itu.

Tiga MP yang ber
buat demikian ialah - Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Samsuri (Bagan Serai).

Semua mereka mengisytiharkan diri sebagai ahli bebas.

Minggu lalu pula, PKR juga memecat MP bagi Kulim-Bandar Baharu, Zulklifi Noordin berhubung masalah disiplin.

Perkembangan itu menyaksikan PKR kini cuma mempunyai 26 kerusi di Dewan Rakyat menjadikan mereka di kedudukan kedua di belakang DAP yang mempunyai 28 kerusi.

Bagaimanapun, sekutu Pakatan Rakyat, iaitu DAP dan PAS masing-masing berikrar terus memberi sokongan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.
-malaysiakini-

Apa cerita ni?


apa cerita ni? cuba klik sini

Satu dunia kata UMNO-BN pimpinan paling korup, Hasan Ali

"Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional, tak ada orang tak kata. Satu dunia kata. Yang tak kata Utusan Melayu. Yang tak kata Berita Harian. Yang tak kata TV3. Yang tak kata TV1. Yang tak kata TV2. Tapi satu dunia kata pimpinan UMNO Barisan Nasional, zaman berzaman, adalah pimpinan yang paling korup!"

Demikianlah kritikan yang dilontarkan oleh Hasan Ali (gambar kiri), EXCO Kerajaan Negeri Selangor terhadap UMNO-BN. Malah, Pesuruhjaya PAS Selangor yang beberapa kali mencetus kontroversi di kalangan PR ini, menyerang habis-habisan pimpinan UMNO-BN dan bekas Menteri Besar BN Selangor Khir Toyo, semalam.

Susulan daripada seruan terbuka untuk "mengebumikan UMNO-BN pada PRU ke-13" dalam ucapannya di Konvensyen PR Selangor pada 7 Mac, Hasan Ali semalam membuktikan dirinya masih bersama PR, dengan kata-kata pedasnya yang dilemparkan terhadap UMNO-BN dalam "Syarahan Perdana Sempena Ulang Tahun Ke-2 Kemenangan Pakatan Rakyat Negeri Selangor", di Stadium Malawati Shah Alam.

Pemimpin yang pernah "dikhabarkan" bakal "melompat" untuk menjatuhkan kerajaan PR Selangor ini bermula dengan melafazkan syukur kepada Allah swt, "... Sebab, bagi sesetengah orang, UMNO terutamanya, meramalkan kita (PR) dapat memerintah Selangor ini sekadar enam bulan. Ada yang meramalkan tak lebih daripada tiga bulan. Tapi sekarang sudah masuk bulan yang ke-24, dua tahun hari ini."

Melihat kepada sambutan masyarakat Selangor terhadap PR, Hasan Ali menyambung ucapannya dalam tepukan, "...Yakinlah, Pakatan Rakyat terus jadi pilihan rakyat untuk tahun-tahun dan dekad-dekad yang akan datang!"

Batu asas dalam tamadun manusia

Sebermulanya Hasan Ali berucap, beliau menyeru agar hadirin-hadirat memujuk keluarga, jiran dan orang ramai untuk bersama perjuangan politik PR.

"Nak pujuk untuk apa? Nak pujuk untuk bersama-sama meletakkan satu batu asas pembinaan tamadun manusia, tamadun yang akan ditegakkan atas dasar... satu perkataan yang..., tuan-tuan, sangat memberikan harganya, nilai yang paling tinggi...," sebelum beliau menyambung, "Perkataan itu ialah keadilan."

"Saya nak tengok anak saya hidup dalam suasana adil! Saya nak tengok cucu Hasan Ali nanti hidup dalam suasana adil! Saya nak tengok cicit Hasan Ali nanti hidup dalam suasana adil! Adil untuk dirinya, adil untuk keluarganya, adil untuk masyarakatnya, adil untuk negerinya, adil untuk teman-teman Cina, teman-teman India, teman-teman Melayu yang mesti digarap, yang mesti disongsong atas makna keadilan yang sebenarnya!" kata-katanya disambut dengan tepukan daripada lebih 4,000 penyokong yang hadir semalam.

Khir Toyo menjadi sasaran

Hasan Ali kemudian memperhebatkan serangannya terhadap bekas kerajaan negeri Selangor BN, dengan membandingkan antara UMNO-BN dengan PR.

"Sejarah seluruh Menteri Besar (Selangor), sejarah mereka dicatit dengan sejarah hitam, black history," katanya merujuk kepada 13 orang bekas MB Selangor BN sebelum Khalid Ibrahim menyandang jawatan tersebut selepas PRU ke-12. Beliau sempat mengusik Khir Toyo, dengan berkata, "...Menteri Besar UMNO BN akhir sebelum Khalid Ibrahim, rumah di Shah Alam, (bernilai) 24 juta."

Hasan Ali menyindir Khir Toyo yang memanggil sidang akhbar dalam minggu pertama ketika baru-baru dilantik menjawat MB, memberitahu media bahawa beliau berasal dari "keluarga yang sangat miskin", "...jual botol untuk bayar yuran sekolah", "tapi anak jual botol bina rumah (bernilai) 23 juta!"

Untuk membandingkan antara UMNO-BN dengan PR, beliau mendakwa setiap kali sebelum mesyuarat kerajaan negeri, Menteri Besar (PR, gambar kanan) akan sendiri baca doa, "Wahai Allah, Hindarkan kami dari rasuah, wahai Allah..."

Hasan Ali kemudiannya cuba menonjolkan kekayaan dan kemewahan hidup yang dinikmati pemimpin UMNO-BN, dengan berkata, "Kalau ada istana di Sabak Bernam, istana itu adalah rumah ADUN-ADUN atau MP-MP UMNO-Barisan Nasional, betul atau tidak?"

Malah, beliau seterusnya menyasarkan bekas MB, "Kalau ada istana selain daripada istana Sultan di Shah Alam ini, istana itu pastinya istana Menteri Besar yang ke-13, Yang Amat Berhormat Khir Toyo!"

Kepimpinan Ulamak

Untuk Hasan Ali, perbezaaan kedua yang wujud antara UMNO-BN dengan PR adalah, PR berjaya membariskan ulamak besar seperti Nik Aziz (Mursyidul Am PAS), Hadi Awang (Presiden PAS), Haron Din (Timbalan Mursyidul Am PAS) dan Harun Taib (Ketua Dewan Ulama' PAS) dalam pimpinannya.

"Untuk membangun negara, kita perlukan ulamak besar ini untuk merintis jalan kita," katanya. Beliau kemudian menjelaskan bahawa pimpinan ulamak tersebut akan memastikan PR sentiasa berada dalam jalan lurus yang diredai Allah, iaitu jalan yang adil, menjaga hak negeri, tidak mementingkan sendiri, keluarga dan kekayaan untuk peribadi.

Media: Najib-Rosmah-Muhyiddin

Hasan Ali memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Selain membentangkan pencapaiannya dalam "menghidupkan semula masjid dan surau", selepas mengambil alih kerajaan negeri dari UMNO-BN, beliau juga menyentuh isu kebebasan bersuara.

Sambil mempertikaikan "keadilan" yang ditampilkan media cetak arus perdana, beliau menyindir penyiaran rancangan televisyen yang sarat dengan muka-muka tertentu sahaja. "Buka pula televisyen, lepas Najib (Perdana Menteri), Rosmah (isteri Najib). Lepas Rosmah, Muhyiddin (Timbalan Perdana Menteri). Lepas Muhyiddin, Rosmah balik..." kata-katanya ini disambut dengan gelak-ketawa di bawah pentas.

Beliau memaklumkan bahawa kerajaan PR Selangor sedang mengkaji pengubalan Enakmen Keterbukaan Infomasi Maklumat, yang diusahakan oleh EXCO Selangor, Elizabeth Wong. Beliau menjanjikan saluran maklumat yang tepat dan adil untuk masyarakat, melalui saluran media PR seperti Selangorkini, TV Selangor dan sebagainya.

Polis Gempur Pentas Konvensyen 2 Tahun PR… Video




Malaysian Police Stopped Pakatan Rakyat’s March 8 Anniversary Celebration In Kuala Lumpur

Zulkifli Sulong Menulis Tentang Zulkifli Noordin

Zulkifli Nordin yang saya kenal — Zulkifli Sulong

9 MAC — Saya mula mengenali Zulkifli Noordin sejak isu Aishah Bukhari, gadis Melayu dari Johor yang keluar Islam dan menyertai Kristian kerana mengikut kekasihnya.

Ketika itu Zulkifli Noordin adalah Setiausaha Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Kerana kedudukannya di situ,

Masjid Jamek menjadi pusat kegiatan menangani isu murtad itu. Sejak itulah, saya mula kagum dengan keberanian Zul.

Namun, hari demi hari, sebagai wartawan keyakinan dan kekaguman saya kepada beliau mula terhakis. Ia bermula sejak dia mengendalikan isu Aishah Bukhari lagi.

Kenyataan, bahasa yang digunakan, fakta yang diberikan sangat hebat. Namun, di dalam hati kecil saya mula tertanya-tanya...betulkah segala kenyataan ini.

Yang paling ketara, kenapa beliau begitu berani membuat kenyataan yang bersifat hasutan tetapi beliau tidak pernah dilaporkan dipanggil atau disiasat oleh polis. Padahal apa yang beliau nyatakan dalam ucapan dan kenyataannya amat sensitif kepada hubungan kaum di negara ini ketika itu.

Sebagai wartawan yang sudah acap kali disiasat polis kerana laporan hasutan dan fitnah, saya rasa faham benar apakah dia hasutan dan fitnah ini.

Namun saya sejukkan hati...mungkin dia lebih tahu dan apa yang dinyatakan itu tidak bertentangan dengan undang-undang kerana dia peguam.

Lepas isu Aishah Bukhari, datang isu Anwar Ibrahim. Zul telah dilantik sebagai salah seorang peguam Anwar. Ekoran itu, keraguan saya terhadap Zul terlerai begitu sahaja. Tentu Anwar dan pasukannya lebih kenal Zul dari saya yang hanya seorang wartawan cabok. Tentu beliau betul. Itulah yang bermain di kepala saya ketika itu.

Namun, hari demi hari kes Anwar berjalan... keraguan terhadap Zul datang kembali. Ceramah yang beliau berikan sangat ramai pendengar dan penontonnya. Namun, kenyataan-kenyataan yang beliau buat dalam ceramahnya mula meragukan saya.

Misalnya, apabila beliau bercakap soal Anwar terkena Arsenik. Saya masih ingat lagi kata-kata Zul dalam ceramahnya. Kalau tidak silap di sekitar Kampung Baru pada tahun 1998.

“Tuan-tuan, semalam saya ke Sungai Buluh bertemu dengan Datuk Seri Anwar. Bagi saya Anwar sah terkena racun Arsenik. Apabila saya pegang kepala Datuk Seri Anwar, penuh tangan saya dengan rambut beliau tuan-tuan. Rambut beliau mula gugur. Saya yakin lepas ini semua rambut Anwar akan gugur....” Begitulah lebih kurang kata-kata Zul Nordin dalam ceramahnya itu.

Pendengar sangat hiba dengan Anwar. Terkena Arsenik.

Namun, sebagai wartawan lain pula yang saya rasa. Betul ke ni...bagaimana dia boleh pegang kepala Anwar?, hati saya terdetik. Lalu sebagai pengarang, saya arahkan wartawan, jangan tulis berita itu. Tidak masuk akal.

Kesangsian kepada Zul semakin bertambah dengan cerita-cerita dari kartunis Zunar yang kebetulan ketika itu sentiasa mendapat surat-surat dari Anwar dari dalam penjara. Ketika itu, Harakah siarkan surat-surat Anwar dari penjara dalam kolum “Warkah Dari Penjara”. Ia berupa surat-surat yang ditulis Anwar sendiri di atas pelbagai jenis kertas termasuk di atas kertas tisu dari dalam penjara dan diseludupkan keluar kepada kami di Harakah.

Zunar juga mendapat maklumat yang sama... Zul Nordin ‘melampau’ atau exegerate dalam ucapan dan tindakannya.


Ekoran itu, kami sepakat, berita berasaskan kenyataan dan tulisan Zul Nordin tidak boleh disiarkan dalam Harakah kerana kebolehpercayaannya amat rendah.

Dengan MB Terengganu

Selepas pilihan raya 1999, PAS telah menang di Terengganu. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah dilantik sebagai Menteri Besar. Pada satu hari, beberapa peguam telah diamanahkan untuk membuat satu perbentangan kepada beliau di pejabatnya dekat Kuala Terengganu. Salah seorang dari mereka adalah Zulkifli Nordin.

Untuk membuat perbentangan itu, mereka telah berbincang sehari suntuk di Kuala Lumpur sebelum membuat perbentangan pada keesokan harinya. Maknanya, kesemua mereka sentiasa bersama untuk membuat persiapan itu. Mereka berlepas ke Kuala Terengganu pada pagi esoknya dan terus ke pejabat MB Terengganu.

Di pejabat MB, apabila bersalam dengan Abdul Hadi, Zul Nordin berkata, “Tuan Guru, Datuk Seri Anwar kirim salam. Semalam saya jumpa beliau,” kata Zul Nordin kepada MB Terengganu itu.

Tercengang-cengang semua rakan-rakan peguamnya apabila Zul berkata demikian kepada MB Terengganu itu. Bila pula ‘mamat’ ni jumpa Anwar. Semalam sehari suntuk mereka bersama.


Berpaling arah

Bilakah Zulkifli Nordin mula berpaling arah. Dalam hal ini saya bersetuju degan rakan penulis saya Mohd Sayuti Omar. Menurut Sayuti, Zul Nordin mula meninggalkan PKR sejak tahun 2009 lagi apabila Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzil menarik balik petition pilihan rayanya terhadap Zul.

Ketika itu, Zul telah dipetition kerana gagal membuat laporan kewangan perbelanjaan beliau dalam pilihan raya umum 2004. Ia menjadi syarat wajib bagi SPR. Mana-mana pihak yang tidak membuat laporan kewangan pilihan raya sebelumnya tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya berikutnya. Ekoran kegagalan itu, calon BN telah membuat petition. Zul juga mempunyai masalah besar kerana dia juga didakwa cuba membuat laporan palsu dalam kes ini.

Menjelang mahkamah membuat keputusan, tiba-tiba calon BN itu telah menarik balik petitionnya. Ekoran itu selamatlah Zul dan kekallah beliau sebagai anggota Parlimen.

Walaupun masih anggota Parlimen PKR, namun tindak tanduk Zul bukan lagi anggota Parlimen PKR. Banyak kenyataan dan tindakan beliau sudah selari dengan Umno dan bukan Pakatan Rakyat lagi. Secara tidak rasmi, dia bagi saya sudah menjadi anggota Parlimen Umno. Apatah lagi, berita angin melaporkan beliau telah bertemu dengan Datuk Seri Najib sebelum itu. Saya tidak berani untuk berkata, adakah beliau bertemu dengan Rosmah atau tidak.

Kemuncak tindakan Zul Nordin adalah selari dengan Umno dalam isu nama Allah. Ketika PAS, sebagai sebuah parti Islam yang dipimpin oleh ulama berkata orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah kerana sememangnya nama Allah sudah digunakan oleh Kristian khasnya di Timur Tengah, Zul mengambil sikap selari dengan Umno. Sikap ini bertentangan dengan sikap PKR dan PAS sendiri.

Ia tidak menjadi masalah lagi kerana di dalam PAS juga mempunyai pendapat yang berbeza sebelum kata sepakat dicapai. Tetapi, apabila Zul membuat laporan polis terhadap anggota Parlimen PAS dari Shah Alam, Khalid Samad ekoran isu nama Allah ini, dia sudah melampaui batas. Semua pihak mengatakan Zul Nordin sudah melampau.

Saya menyokong penuh kenyataan Datuk Zaid Ibrahim yang berkata, “Saya berdoa agar Zul keluar PKR atau dipecat oleh PKR.”

Dan kini PKR sudah memecat Zulkifli Nordin. Sebagaimana dijangka, beliau diangkat menjadi hero oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia dan diberikan laporan muka depan akhbar itu.

Saya selalu berkata kepada pemimpin PAS, “kalau kenyataan tuan disiarkan oleh Utusan, apatah lagi di muka depannya, percayalah itu bukan publisiti yang tuan perlukan. Itu sebenarnya publisiti buruk dan percayalah ia akan menyusahkan tuan dan PAS.” — harakahdaily.net

Pakatan urus Selangor cara terbaik

SHAH ALAM, 9 Mac: Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat berjaya mengurus sumber kewangan negeri dengan berkesan malah menggunakan hasil itu pula untuk kesejahteraan rakyatnya.

Banyak kejayaan dicapai termasuk peningkatan jumlah pelaburan masuk sepanjang 2009 kepada RM6.76 bilion dan mengutip RM50 juta daripada hutang Talam Corporation sebanyak RM392 juta.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim malam tadi ketika menyampaikan syarahan perdana sempena perayaan dua tahun kerajaan baharu Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

Turut berucap dalam majlis yang adiadakan di Stadium Malawati dekat sini adalah Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hasan Mohd Ali, Exco Teresa Kok, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Dun Selangor, Azmin Ali dan bekas timbalan menteri, Datuk Kalakau Untul yang menyertai PKR, baru-baru ini.

Tan Sri Khalid juga berkata, daripada hasil RM50 juta yang berjaya dikutip itu telah digunakan pula untuk membiayai program tabung mikro kredit bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Selangor.

“Jumlah hutang yang sebesar itu dilupa atau digelapkan tapi kita dapat cungkil,” tegasnya dengan mendapat sambutan ribuan orang ramai yang memenuhi ruang di stadium tertutup itu.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa berkaitan dengan proses mengadakan tabung itu dipengerusikan oleh Datuk Dr Hasan dengan dipantau oleh Datuk Seri Anwar dan Tan Sri Khalid sendiri.

Tabung bantuan kepada mereka yang berhak itu berkonsepkan kredit secara Islam yang dikenali sebagai al-Qardhul-Hasan, jelasnya lagi.

Menteri besar seterusnya berkata, sepanjang dua tahun PR memerintah Selangor, kerajaan berjaya memperkenalkan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang kesemua tujuh pendekatannya mengembalikan hasil sumber negeri kepada rakyat.

Untuk rekod, ketujuh perkara itu meliputi pemberian 20 meter pertama air secara percuma, Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), Mesra Usia Emas, sumbangan pelajar ke universiti, Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang, Pusat Khidmat Krisis Sehenti dan Peningkatan Hasil Bahan Mineral dan Galian.

A Samad Said - “Kalau PPSMI tak mansuh, kita akan demo lagi”


Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menegaskan iltizamnya bahawa hal pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menjelang 2012 itu hanya penangguhan dan bukan pemansuhan.

"Jadi, kalau tidak dimansuhkan juga, kita tak akan teragak-agak untuk melakukan demonstrasi sekali lagi," katanya sempena pelancaran buku esei Budayawan Bertindak untuk menyokong perjuangannya selama ini.

Bercakap di Muzium Shah Alam kelmarin, A Samad Said berkata, pihaknya merakamkan rasa terima kasih terhadap Pas dan Harakah yang banyak membantu dalam usaha menggerakkan seluruh masyarakat untuk berhimpun dalam kejadian setahun yang lalu.

"Tanpa Pas dan bantuan Harakah untuk menyebarkan maklumat berhubung PPSMI, nescaya perjuangan memansuhkan PPSMI tidak berlaku seperti yang kita lihat pada hari ini," tambah beliau lagi.

Pengarang novel Salina yang terkenal itu berkata, kehadiran beliau selama ini sebenarnya cuma mengisi kesusasteraan Melayu dan tidak lebih daripada itu.

"Saya bukan 'organization man', jadi mengapa seorang sasterawan negara yang tugas sebenarnya mengisi gerbang kesusasteraan, akhirnya telah turun ke jalan raya?" kata beliau membangkitkan soalan.

Ketika membangkitkan kenangan lalu, dalam peristiwa 7 Mac tahun lalu, beliau berkata, pihak polis pernah memujuk Hassan Ahmad bersurai, tapi hal itu ditangani rakannya itu dengan bijaksana sekali.

"Dalam keadaan polis meminta Hassan memujuk demonstran agar menyuraikan perhimpunan itu, beliau dengan warasnya telah memberitahu bahawa tugas pihak polis ialah untuk mengamankan perhimpunan itu.

"Tetapi, ada yang tersirat di situ yang tidak diluahkannya kepada pihak polis, iaitu tugas kamilah pada hari itu yang menggelorakan perhimpunan tersebut," kata beliau, lalu disambut ketawa hadirin.

Sementara itu, berucap dalam majlis yang sama, Pengerusi GMP, Datuk Hassan Ahmad dengan bergurau berkata, perhimpunan menyerahkan memorandum itu tidak sepatutnya diganggu oleh pihak polis.

"Mula-mula mereka beri permit perhimpunan, kemudian tarik balik, jadi kita tiada pilihan, apa yang kita nak beritahu kepada orang-ramai kalau mereka bertanya?

Lagi pun, ini sebenarnya demonstrasi, atau perhimpunan demonstrasi, tetapi ia macam suatu perarakan saja, ia seolah-olah macam perarakan untuk menyambut Maulud Nabi, salahkah?" kata beliau, disambut ketawa orang-ramai.

Majlis itu diakhiri dengan penyampaian hadiah daripada Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad kepada keluarga demonstran; Ismadei Sahnam bersama isterinya, Nur Asyikin Ahmad Saibi, empat anak mereka; Nur Isma Dalilah, Mohd Isma Danish, Nur Isma Dania, dan Mohd Isma Danial.

Keluarga Ismadei Sahnam adalah antara keluarga yang mana setiap anggotanya telah turun semuanya untuk menyatakan bantahan terhadap dasar PPSMI tersebut.

Perutusan Sempena Dua Tahun Pakatan Rakyat

Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya,

1) Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.

2) Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.

3) Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

4) Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.

5) Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.

Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.

Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.

Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk ”Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami” sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.

Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.

Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.

Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum. Firman-Nya,

Maksudnya, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
[al-Hujuraat, 49: 13]

Semuga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.

Ceramah Ulangtahun ke-2 PR Wilayah.





























PANGLIMA UMNO PENANG DOK NYOROK DLM TONG?




Sebagaimana yang telah dijadualkan 07 Mac 2010, di tapak Ekspo Seberang Jaya, Seberang Perai tepat jam 8.45 malam majlis ‘DEBAT PERDANA RAKYAT 2010’ yang dianjurkan oleh Sekretariat Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang telahpun berlangsung tanpa kelibat seorang pun PANGLIMA UMNO PULAU PINANG yang dicabar turut sama ke majlis tersebut. Yang dicabar mereka iaitu Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Norman Zahalan, Rizal Faris Mohideen Yang DiPertua DPMM Pulau Pinang dan Jais Abdul Karim Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.
Ribuan hadirin yang telah hadir di sini memang tidak sabar untuk mendengar sendiri hujah-hujah dari PANGLIMA UMNO PULAU PINANG yang dinanti-nantikan bersama dengan fakta yang mengatakan bahawa Melayu dan Islam di Pulau Pinang ditindas dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Namun buah yang ditunggu tidak juga gugurnya. Kelibat ketiga-tiga batang hidung panglima tersebut tidak juga kelihatan. Khabarnya mereka bertiga lari sehingga kehujung dunia tanpa meninggalkan khabar entah dimana gerangannya. Ayam yang berkokok nyaring sebelum ini rupanya ditangan mereka penuh berbau tahi.

PEGUAM MINTA MAJISTRET TANGKAP SAKSI - JURUGAMBAR POLIS YANG BERBOHONG



PULAU PINANG, 8 Mac: Perbicaraan kes Haji Mohamad Sabu dan sembilan yang lain di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang hari ini bertukar menjadi panas apabila peguambela KEPADA Mohamad Sabu meminta Tuan Majistret menangkap saksi pendakwa iaitu jurugambar polis.

Saksi pendakwa tersebut iaitu Korporal Khairi yang menjadi saksi pendakwa yang pertama memberikan keterangan bahawa pada hari kejadian (9/12/2007) beliau telah mengambil gambar di tempat kejadian iaitu di Tol Bukit Tambun dan beliau telah mengambil 32 keping gambar kesemuanya.

Saksi pendakwa yang ketiga Lans Korporal Kamarudin pula menyatakan beliau juga mengambil gambar tetapi kesemua gambar yang beliau ambil adalah gambar-gambar di IPK Seberang Serai Selatan.

Semasa menyoal balas Lans Korporal Kamaruddin, Hanipa bertanya adakah beliau bersetuju bahawa salah satu gambar yang beliau ambil di IPK itu (gambar orang bersembahyang) adalah juga gambar yang sama dengan gambar yang diambil oleh Korporal Khairi dan saksi itu menjawab beliau bersetuju.

Hanipa seterusnya bertanyakan saksi itu dengan soalan berikut :-

Hanipa: Apabila Korporal Khairi menyatakan gambar itu (gambar yang sama itu) diambil di Tol Bukit Tambun manakala kamu pula mengatakan gambar itu diambil di IPK bermakna salah seorang dari kamu berbohong di Mahkamah?

Kamarudin: Diam.

Hanipa: Saya katakan sekali lagi salah seorang dari kamu pasti telah berbohong ! Kamu atau Korporal Khairi yang berbohong?

Kamaruddin: Korporal Khairi yang berbohong!

Sebaik sahaja saksi itu menyatakan Korporal Khairi yang berbohong maka Hanipa meminta Mahkamah menggunakan kuasanya di bawah seksyen 30 Kanun Prosedur Jenayah untuk menangkap saksi pendakwa tersebut kerana saksi
tersebut telah membuat kesalahan di bawah seksyen 191 Kanun Keseksaan iaitu memberi keterangan palsu di Mahkamah.

Hanipa berhujah di bawah seksyen 30 Kanun Prosedur Jenayah seorang Majistret boleh menangkap atau mengarahkan seseorang untuk menangkap mana-mana orang yang melakukan kesalahan di hadapan Majistret.

Jelas saksi polis ini telah memberikan keterangan yang palsu dan oleh itu, hujah Hanipa, majistret boleh menangkap saksi tersebut.

Pihak Pendakwa meminta Mahkamah menangguhkan keputusan permohonan peguambela itu hanya setelah kesemua keterangan pendakwaan diberi.

Pendakwa seterusnya berhujah isu tersebut adalah melibatkan satu keeping gambar sahaja dan meminta Mahkamah tidak menangkap saksi tersebut.

Hanipa menjawab bahawa sama ada ianya melibatkan satu keping gambar atau banyak gambar ianya tidak penting. Apa yang penting adalah saksi pendakwa telah berbohong di Mahkamah.

Hanipa berhujah jika menggunakan hujah pendakwa, adakah pendakwa ingin menyatakan bahawa tidak salah kalau seorang mencuri atau rasuah RM1.00 tetapi hanya salah jika jumlahnya RM1000.00? RM1.00 atau RM1,000.00 ia adalah rasuah.

Oleh itu sama ada satu gambar atau banyak gambar jika saksi berbohong ia adalah berbohong dan ia adalah satu kesalahan jenayah.

Majistret kemudiannya menangguhkan keputusan permohonan peguambela pada esok pagi.

Mohamad Sabu dan sembilan yang lain didakwa di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan di atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam. Perbicaraan ditetapkan pada 8, 9 dan 10 Mac.

Mohamad Sabu dan 9 yang lain diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkifli dan Yusnita Yusuf manakala pendakwa diwakili oleh Tuan Suhaimi dan Yusaini Amir.

Fatwa Yusuf al-Qaradhawi


Liwat II: VCD fatwa Yusuf al-Qaradhawi diedar

Satu cakera padat (CD) yang berupa rakaman sidang video ulama tersohor Prof Dr Yusuf al-Qaradawi berhubung fatwa terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diedarkan kepada orang ramai malam tadi.

Dalam rakaman sidang video itu antara lain mengandungi mengenai fatwa ulama dunia Islam itu terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar yang juga ketua pembangkang.

Sidang video itu telah dirakamkan pada 14 Februari selama 33 minit itu di kediaman Dr Yusuf di Doha, Qatar termasuk terjemahan percakapan beliau yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat, Abdul Ghani Shamsuddin.

Cakera padat yang bertajuk "Fatwa Mutakhir Dr Yusuf al-Qaradawi berhubung konspirasi II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim" telah diterbitkan oleh Women's Institute of Research Development dan Advancement (WIRDA) diedarkan secara percuma.

Anwar dalam ceramahnya malam tadi berkata Dr Yusuf - yang merupakan Ketua Ulama Islam Sedunia - menegaskan kepadanya bahawa isu yang dihadapinya itu berkaitan dengan hukum Islam dan akhlak.

Tambahnya, dalam sidang video itu tokoh Islam itu membawa hujah al-Quran dan Hadis serta alasan-alasan beliau mengeluarkan fatwa tersebut.

"Ini bukan soal PAS, atau PKR, tetapi ini soal akidah dan akhlak. Beliau berkata kepada saya, bahawa beliau bertanggungjawab di akhirat kelak (dengan fatwanya)," kata Anwar ketika berceramah di Kampung Baru di ibunegara malam tadi.

Ceramah itu disampaikan sempena sambutan ulang tahun kedua Pakatan Rakyat sejak memenangi pilihan raya umum pada 2008, termasuk menguasai sembilan daripada 10 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam ceramahnya, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata Dr Yusuf telah mengeluarkan fatwa bahawa sesiapa yang merancang dalam fitnah tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung maka hukumnya adalah "munafik"

Anwar juga berkata fatwa Dr Yusuf juga menyebut, bahawa sesiapa yang membantu menyebarkan berita fitnah tersebut maka jatuh hukumnya sebagai fasik.

Kata Anwar, orang yang fasik tidak boleh diterima kesaksiannya dan kebenaran percakapannya sepanjang hidup.

"Dr Yusuf berkata kepada saya, tolong selamatkan mereka... Ini merupakan satu amanah, tolong sampaikan, dan sebarkan kepada semua," kata Anwar.

Sehubungan itu, Anwar meminta hadirin memperbanyakkan salinan CD tersebut dan menyebarkan kepada orang ramai.

"Ada orang kata saya ada kepentingan (dengan CD itu), (tapi) saya rasa tidak tergugat (dengan pertuduhan itu) kerana tidak ada kes, (dan) laporan doktor menyebelahi kita," katanya.

Dalam ceramahnya juga, Anwar juga mengulas mengenai ujian yang dihadapi oleh negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dengan mengambil iktibar daripada perjuangan Rasulullah SAW.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat harus bersedia untuk menghadapi sebarang ujian daripada Umno/BN demi menegakkan kebenaran dan keadilan dalam masyarakat di negara ini dapat tercapai.

"Mereka pukul dan aibkan kita. Kalau patah dayung, dengan jari ku dayung jua. Namun mengalah, tidak sesekali," katanya.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri, turut menyindir wakil rakyat PKR melompat parti kerana tidak sabar dengan ujian sehingga mereka membuat keputusan untuk keluar daripada parti.

"Dulu Anwar kata, kita akan dapat ke Putrajaya. Oleh kerana lambat, jadi mereka patah balik. Tengok satu juta bertahan, tengok duit dua juta, hati berdebar," katanya berseloroh diiringi gelak ketawa hadirin.

"Sokong (Pakatan Rakyat) kerana prinsip keadilan, bukannya untuk dapat wang".

Sebelum itu, berlaku kekecohan apabila polis cuba menghentikan perhimpunan sambutan ulang tahun kedua Pakatan Rakyat itu.

Bagaimanapun, ceramah itu diteruskan apabila penganjur meneruskannya di dalam bangunan kelab tersebut, yang dimiliki oleh kerajaan Selangor.

93% Berpendapat Yang Keluar Parti Perlu Juga Kosongkan Kerusi

Undian SMS Edisi 7 menyatakan 93% berpendapat mereka yang kelaur parti perlu juga mengosongkan kerusi mereka. Itulah suara rakyat.

Sementara itu, semalam, Pengerusi DAP Karpal Singh mencabar empat anggota Parlimen yang keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula 15 Mac ini.

"Saya mencabar mereka tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat kelak bagi membolehkan kerusi dalam Dewan Rakyat dikosongkan," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya perkara 52 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang anggota Parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat selama satu penggal maka jawatan ahli Parlimen akan gugur secara automatik.

Empat anggota Parlimen terbabit ialah Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) dan Zulkifli Nordin (Kulim/Bandar Baru).

Karpal Singh berkata oleh kerana DAP merupakan anggota dalam pakatan pembangkang, beliau menyifatkan mereka sebagai satu keluarga dan berhak mencampuri urusan PKR.

"Jika mereka mengatakan pemilihan mereka berdasarkan pilihan rakyat, saya cabar mereka meletak jawatan dan satu pilihan raya (kecil) diadakan untuk membuktikan kemenangan mereka memang dipilih oleh rakyat dan mereka harus ingat, jangan bermegah kerana mereka menang pun atas tiket PKR," katanya.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor yakin tiada lagi pemimpin PKR akan keluar parti kerana mendakwa "pengkhianat" dalam PKR sudah tiada.

"Saya yakin selepas ini tiada lagi yang akan keluar parti walaupun Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui PKR menghadapi masalah apabila beberapa wakil rakyat keluar parti itu namun saya lihat ia satu proses pembersihan parti," katanya.




(Video&Gambar)Polis halang himpunan sambutan Pakatan di KL


















KUALA LUMPUR — Polis menghentikan perhimpunan Pakatan Rakyat di Kelab Sultan Sulaiman di sini — tindakan malam kedua berturut-turut pihak berkuasa, yang diadakan sempena ulang tahun kedua kemenangan mereka pada pilihan raya umum 2008.

Naib Presiden PKR Azmin Ali dihalang oleh anggota polis rusuhan Unit Simpanan Persekutuan ketika sedang berucap ratusan hadirin.

Ketika polis mendekatinya, Azmin yang juga Ahli Parlimen dan ADUN memberitahu mereka yang hadir bahawa kelab itu adalah milik kerajaan negeri Selangor, bukannya “harta Umno.”

“Saya minta anggota polis menerima perjuangan Pakatan Rakyat,” kata beliau dengan disambut mereka yang hadir.

“Jika kita diberikan mandat untuk mengambil alih (kerajaan), kita akan menjaga kepentingan anggota polis,” kata beliau sebelum ucapannya dihentikan.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Kemudian polis menghantar kenderaan perisai air untuk menyuraikan penyokong Pakatan Rakyat agar meninggalkan kelab itu.

Kemudian Ahli Parlimen Batu dan pengarah strategi PKR Tian Chua meminta hadirin masuk ke dalam dewan, untuk memenuhi syarat polis yang melarang mereka berhimpun di kawasan padang.

Malam tadi polis menghentikan majlis makan malam dianjurkan DAP di Kepong, tidak jauh dari lokasi malam ini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac 2008 Pakatan Rakyat menguasai lima negeri dan 82 kerusi Parlimen — buat julung kali, sekali gus menafikan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Pakatan Rakyat kehilangan Perak awal tahun lalu manakala tiga Ahli Parlimennya menjadi wakil rakyat Bebas.

Selain tiga Ahli Parlimen dengan sendiri keluar PKR, semalam parti itu memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin yang memutuskan untuk tidak merayu dan mahu bertindak menjadi wakil rakyat Bebas.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .