Ikuti Blog ini

Khalid Yang Mana Cakap Tanpa Bukti?

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar meminta ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad supaya membawa mana-mana saksi dalam kes kematian Aminulrasyid Amzah yang masih belum disoalsiasat oleh polis ke hadapan sekiranya benar beliau mengetahui masih ada yang belum diambil keterangan.

Ini kerana kata Khalid Abu Bakar, kenyataan ahli parlimen Pas itu sangat tidak bertanggungjawab seandainya beliau membuat dakwaan tanpa disertakan dengan bukti.

"Saya ingin menyatakan di sini sejelas-jelasnya, jika benarlah apa yang dia kata iaitu masih terdapat saksi yang belum diambil keterangannya oleh polis, sila bawa saksi itu ke balai polis dengan segera... jangan sedap cakap tanpa bukti," katanya hari ini.

Kata ketua polis itu lagi, Khalid Samad boleh menelefonnya pada bila-bila masa dan adalah menjadi kerja polis untuk mencatatkan kenyataan saksi bukan kerja Pas.

Tambah beliau lagi, setakat yang diketahuinya, semua saksi yang melihat kejadian itu telah direkodkan kenyataan mereka dan Khalid Samad tidak seharusnya berasa sangsi dengan pihak polis.

"Yang saya tahu orang saya telah pun mengumpulkan semua maklumat dan kenyataan daripada saksi-saksi dan kita tidak ada sebarang sebab untuk menyembunyikan apa juga fakta dan maklumat tetapi jika ahli Yang Berhormat dari Shah Alam kata beliau tahu masih ada saksi yang belum direkodkan kenyataan mereka, sila bawa saksi itu kepada saya, tidak ada apa yang perlu ditakutkan," katanya lagi.

Setakat ini 20 orang saksi telah direkodkan kenyataan mereka berhubung insiden itu.

Aminulrasyid Amzah seorang murid tingkatan tiga meninggal dunia selepas dia terkena tembakan polis yang mengejarnya sejauh 6 kilometer pada lewat tengah malam Isnin lalu selepas dia dilihat memandu dengan laju dan secara berbahaya di Seksyen 11 Shah Alam.

Dan Khalid Samad telah mempertikaikan yang polis tidak mengambil keterangan saksi sepenuhnya dalam mengendalikan siasatan tersebut. -Mstar


Rakan Aminulrasyid pertikai versi polis

Aminulrasyid Amzah tidak pernah merempuh kereta peronda tetapi mereka ditembak dari belakang oleh anggota polis pada hari kejadian minggu lalu, kata rakannya Azamuddin Omar yang menemaninya pada hari kejadian.

Bercakap kepada pemberita di sini petang ini, Azamuddin berkata Aminulrasyid cuba melepasi beberapa motosikal yang mengejarnya selepas keretanya tergesel sebuah kereta lain di Seksyen 7 sebelum itu.

Selepas rakannya ditembak, menurut Azamuddin, dia ditendang dan ditumbuk berkali-kali oleh beberapa anggota polis selepas keluar dari kereta dipandu Aminulrasyid.

“Mereka tembak dia di kepala (dari belakang) dan dia rebah di riba saya. Tetapi kakinya kekal pada pedal minyak dan kereta pula terus bergerak,” katanya.

Kata Azamuddin, polis terus-menerus menembak kereta sehingga ia terlanggar tembok sebuah rumah di Seksyen 11.

Pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 itu berkata, sebelum insiden tersebut dia dan Aminulrasyid hendak berjumpa dengan seorang rakan di Seksyen 7 di sini kerana tayar motosikalnya pancit.

“Dalam perjalanan ke sana, kereta yang dipandu Amunulrasyid tergesel dengan sebuah kereta lain menyebabkannya menjadi panik lalu melarikan diri.

“Namun begitu ketika hendak keluar dari restoran Ali Corner, kami dikejar oleh beberapa motosikal kemungkinan besar rakan kepada pemandu kereta tadi.

“Ketika hendak melepasi Bulatan Kayangan Seksyen 12, salah seorang penunggang tersebut ingin memintas kami tetap terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkannya terjatuh,” katanya ketika sidang media di pekarangan rumah Allahyarham Aminulrasyid.

“Aminulrasyid bertambah panik dan memandu dengan laju lalu memotong kereta peronda polis menyebabkan kenderaan itu terus mengejar kami.

“Kami dikejar sehingga ke Stesen Minyak Caltex Seksyen 11 dan sebaik sahaja memasuki simpang Jalan Tarian, saya terdengar bunyi tembakan bertubi-tubi mengenai tayar belakang.

“Walaupun dipandu terhoyong-hayang tetapi Amirulrasyid masih dapat mengawal pemanduan sebelum tembakan terakhir meragut nyawanya lalu terbabas melanggar tembok rumah dan berhenti,” katanya.

Azamuddin dikatakan telah membuat laporan polis kira-kira 9.40 malam hari kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Monalisa Mokthar berkata, Azamuddin masih lagi dalam keadaan trauma dan kini masih menerima rawatan ekoran kejadian tersebut.

“Azamuddin masih lagi trauma dan walaupun dia pergi ke sekolah seperti biasa tetapi rawatan tetap diberikan memandangkan tahun ini dia akan menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

“Mungkin dia perlu masa lama untuk sembuh kerana saya pasti kejadian yang pasti akan dia ingat selama-lamanya,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, peguam N. Surendran dan juga ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid. -TMI

Siapa yang sebenarnya "sedap cakap tanpa bukti"? Khalid Samadkah atau Khalid Abu Bakar?

Siapa yang sebelum ini menyatakan Aminulrasyid "mengundurkan kereta dan cuba merempuh anggota polis berkenaan" dan siapa yang menyatakan munkin "Aminulrasyid seorang penjenayah" jika bukan Ketua Polis Selangor sendiri?

Sudahkah KPN Selangor itu mempunyai bukti sahih Aminulrasyid mengundurkan keretanya untuk merempuh anggota polis berkenaan sedangkan keterangan saksi iaitu penumpang yang juga rakan Aminulrasyid yang ditembak mati oleh polis menolak dakwaan polis bahawa mangsa cuba merempuh ke arah polis?

KPN Selangor ini, sudah banyak "track record"nya yang cuba menipu rakyat dengan pelbagai kenyataan untuk melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anggota bawahannya. Kes Kugan, kes Teoh Beng Hock dan seumpamanya adalah contoh yang kita dapat saksikan Khalid Abu Bakar ini sangat-sangat mencurigakan dan tidak bertanggungjawab malah perlu disiasat dan dipecat segera dari jawatannya.-GB

Peluang terakhir Anwar ketepi tuduhan liwat

Panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar permohonan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan dakwaan liwat kedua yang dikenakan ke atasnya dalam tempoh sepuluh tahun.

Mereka terdiri daripada Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, hakim, James Foong dan hakim Mahkamah Rayuan, Suriyadi Halim Omar.

Ini adalah peluang terakhir Anwar kerana sebelum ini mahkamah telah dua kali menolak permohonananya.

Pada 1 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk mengetepikan dakwaan berkenaan.

Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Md Diah memutuskan bahawa perkara itu perlu melalui perbicaraan bagi menentukan sama ada tembusan berlaku.

Mahkamah Rayuan pula pada 17 Februari lalu juga menolak permohonan Anwar bagi mengetepikan dakwaan berkenaan.Ia memut
uskan perbicaraan perlu diteruskan di sebalik bukti daripada tiga doktor bahawa tiada tanda-tanda berlaku kemasukan di dubur Saiful.

Laporan klinikal bersama itu dibuat oleh Dr Khairul Nizam Hassan, Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Siew Sheue Seng - yang memeriksa Saiful pada 28 Jun, 2008, dua hari selepas dia mendakwa diliwat. Pemeriksaan mereka juga mendapati tiada kesan kecederaan mempertahankan diri di tubuh Saiful.

Anwar diwakili oleh peguam Karpal Singh, manakala Peguamcara Negara II, Mohd Yusof Zainal Abiden mengetuai pihak pendakwa.

Sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar, perbicaraan akan diteruskan pada Isnin ini dengan soal balas ke atas pengadu kes berkenaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan. -M'kini

Serah wilayah: Husam mahu penjelasan Najib

KOTA BHARU, 3 Mei: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak digesa menjelasakan kepada rakyat berhubung bagaimana kabinet Malaysia pada 11 Februari 2009 bersetuju menyerahkan sempadan laut yang mempunyai medan minyak blok L dan M kepada negara Brunei.

Dalam surat terbuka yang penuh persoalan kepada Najib, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa turut mempersoal, kenapa Malaysia terlalu mudah melepasakan dua blok minyak di kawasan bertindih itu.

"Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh empat puluh tahun?

"Mengapa pula sebelum ini kita telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Murphy Oil jika kita tidak yakin ia adalah milik kita?

"Bukankah selama ini kawasan ini dalam perairan kita dan tiba-tiba kita tidak mempunyai asas yang kukuh untuk terus memilikinya?" soalnya dalam surat tersebut.

Dua blok minyak itu dulunya adalah milik Petronas dan Petronas telah pun menganugerahkan konsesi kawasan ini untuk pengeluaran kepada Petronas Carigali dan Murphy Oil sejak 2003 dan berkuatkuasa bulan April tahun ini, perjanjian konsesi berkenaan terpaksa ditamatkan.

Husam yang juga AJK PAS Pusat turu mempersoal, kenapa tiada penjelasan parlimen dibuat dan rakyat pula tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat kerajaan itu.

Menurutnya, segalanya terbongkar hanya apabila Murphy Oil kepada NYSE membuat kenyataan selepas konsensinya dibatalkan.

"Rakyat berhak untuk tahu apakah sebab politik mendesak sehingga keputusan seperti itu dibuat.

"Adakah ia semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri waktu itu dan seluruh Kabinet menerima keputusan ini walau pun ianya merugikan negara?" soalnya lagi.

Penyerahan itu juga jelas Husam menimbulkan keraguan terhadap tahap tanggungjawab pemimpin negara, bahkan tahap kemampuan mereka membuat keputusan untuk kepentingan negara dengan wajar dan tepat.

"Jika sebiji pulau kecil sebesar Batu Putih kita perjuangkan hingga saluran terakhir, mengapa wilayah sebesar dan sekaya itu kita lepaskan sebegitu mudah?

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mendedahkan perkara itu mendakwa jumlah kerugian akibat penyerahan itu dalam bentuk perolehan adalah AS$100 bilion (RM320 bilion). -Hrkh

Pemuda UMNO Kepong Bantah Perlantikan Ezam Sebagai Senator

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepong mahu pelantikan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Mohd Ezam Mohd Nor sebagai Senator dikaji semula.

Ketuanya, Norizan Ali (gambar) berkata pemberian jawatan Senator kepada Ezam dilihat sebagai tidak adil dan dan seolah-olah memperkecilkan kebolehan pemimpin yang sejak sekian lama berjuang untuk UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, pelantikan Ezam itu juga dilihat tidak wajar sama sekali kerana individu itu pernah berpaling tadah terhadap kerajaan sebelum ini.

“Mengapa orang yang cukup banyak memburukkan kerajaan boleh diberi tempat yang cukup istimewa sedang ramai lagi yang bermati-matian berjuang untuk parti tidak langsung diangkat?” katanya.

Menurut Norizan, jika begitulah realitinya maka selepas ramai ini yang akan keluar UMNO kemudian masuk ke dalam parti semula dan jasanya individu seperti itu akan lebih dikenang.

“Orang-orang yang pernah bersekongkol dengan parti pembangkang dan kuat menentang kerajaan tidak perlu diberi tempat dan keistimewaan,” katanya.

Menurutnya, ini cukup mengambarkan bahawa ketidak adilan telah berlaku malah menimbulkan ketidakpuasan hati dan perasaan kecewa dikalangan pemimpin dan ahli UMNO yang lain.

“Janganlah kera dihutan disusukan, anak di rumah mati tak makan kerana ahli tidak nampak keperluan kerajaan untuk melantik bekas Ketua AMK itu sebagai Senator,” katanya. -SH/GB

Berahim Ali Patut mohon maaf pada semua Raja

Berahim pengemis politik


Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali supaya memohon ampun kepada semua raja negara ini di sebalik isu penggunaan masjid untuk berpolitik.

Gesaan itu sebagai reaksinya terhadap kenyataan Ibrahim, Presiden Perkasa, memohon ampun kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di atas kemurkaan baginda terhadap Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan mengingkari larangan menggunakan masjid sebagai gelanggang politik.

“Pada pandangan saya tok guru sebenarnya tidak menyanggah titah tuanku Sultan Selangor, dia (Nik Aziz) cuma menyatakan pandangan dari sudut agama, yakni makna Islam dan politik tidak boleh dipisahkan.

“Sememangnya kita tidak boleh mengehadkan perbincangan di masjid itu hanya dalam aspek agama yang sempit kerana politik itu sendiri adalah sebahagian daripada Islam.

“Lagipun tok guru bercakap dalam konteks umum, tidak merujuk kepada larangan sultan, maka pada pandangan saya dakwaan kononnya tok guru mengingkari perintah sultan itu tidak berbangkit,” katanya ketika ditemui di surau Nur Al-Muttaqin, di sini.

Mengulas lanjut tindakan Ibrahim yang mendakwa kononnya sebagai mewakili rakyat Kelantan memohon ampun kepada Sultan Selangor itu dalam nada yang sinis Mohd Amar mempersoalkan integriti Ibrahim dalam menghormati institusi raja-raja Melayu.

“Dia (Ibrahim) sepatutnya kena minta maaf kepada semua raja atau sultan kerana dialah antara orang yang kuat mengkritik raja-raja Melayu.

“Selain mendedahkan apa yang disebut sebagai keaiban raja-raja Melayu dalam ucapan dia di Parlimen semasa Dr Mahathir pinda perlembagaan dulu.

“Rekod itu masih kekal lagi di Parlimen. Adakah dia pernah minta maaf di atas keceluparan dia kepada raja-raja dulu itu?

“Mungkin dia tidak sedar bahawa tahi yang dia berak dulu sampai ke hari ini masih lagi berbau busuk,” tambahnya.

Ibrahim dilapor bertindak demikian selepas melihat tidak ada sebarang tindakan permohonan ampun dilakukan Nik Aziz. - mi

Ezam, Palanivel, angkat sumpah sebagai Senator

Bekas ketua pemuda, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor dan Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel dan mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara, hari ini.

Dua lagi yang dilantik ialah Pengerusi Eksekutif Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Noriah Mahat.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Ezam (kiri) yang keluar daripada PKR dan kembali ke pangkuan Umno pada 2008 juga adalah bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mencuri tumpuan suatu ketika dahulu kerana pernah mengakui mempunyai enam kotak yang dikatakan mengandungi dokumen mengenai salah laku pemimpin kerajaan.

Dia bagaimanapun kemudian menafikan perkara itu sebaliknya mendakwa kotak itu suatu pembohongan dan dijaja sebagai modal politik sejak 1999 selepas Anwar dipecat daripada Umno dan kerajaan.

Selepas meninggalkan PKR dan menyertai Umno, Ezam bukan saja dikutuk kerana meninggalkan perjuangan PKR tetapi juga digelar ahli parti itu sebagai "Ezam Kotak".

Sementara itu, Palanivel ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ura-ura yang beliau akan dilantik sebagai senator bukan lagi rahsia, perlantikannya itu dikatakan sebagai menghargai pengorbanannya yang tidak dicalonkan pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor tetapi sebaliknya menyokong calon kompromi, P Kamalanathan.

Selain dilantik sebagai senator, Palanivel juga dijangka akan diberikan jawatan sebagai timbalan menteri. -M'kini

Hidup Melayu/Islam ala UMNO...!!!!!!

Align Center

  • Hidup Melayu- Makin ramai anak Melayu terlibat dalam gejala penggunaan najis dadah.
  • Hidup Melayu- Makin ramai anak-anak muda-mudi Melayu ditimpa gejala keruntuhan moral dan akhlak.
  • Hidup Melayu- Yang kaya raya dan jutawan hanyalah pemimpin-pemimpin tinggi UMNO serta ketua-ketua bahagian dan para kroni.
  • Hidup Melayu- Melayu yang terus dilanda perpecahan politik yang ketara angkara mahu mempertahankan kuasa UMNO.
  • Hidup Melayu- Melayu yang makin ketinggalan dalam pelbagai bidang berbanding kaum lain.
  • Hidup Melayu- Hak orang Melayu terus terhakis dan tergadai secara halus khususnya penjualan tanah-tanah rizab Melayu.
  • Hidup Melayu- Perlaksanaan Islam yang hanya ikut kehendak dan kepentingan politik UMNO sahaja.
  • Hidup Melayu- Undang-undang Islam yang boleh diubah secara sesuka hati mengikut acuan UMNO.
Kepada Bangsa Melayu/Islam mengapakah kita terus takut untuk berubah.UMNO hanya sebuah parti politik dan bukannya agama.Telah banyak kecurangan dan kerosakkan yang telah dilakukan terhadap bangsa Melayu dan Islam selama mana mereka menjadi penguasa.Marilah renung-renungkan."

™ kaasiii peecaaahhh laaaaaa........®

Seorang pelajar cedera ditendang Polis


Hanya gambar hiasan... agaknya macam ni kut..

Seorang pelajar kolej cedera malam tadi kerana didakwa ditendang oleh seorang anggota polis yang menyerbu program belia anjuran kerajaan negeri Selangor di Dataran Shah Alam.

Bercakap dalam sidang akhbar di pejabatnya, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan tindakan polis itu sebagai tidak bertanggungjawab terhadap satu perhimpunan aman.

Beliau mendakwa, mereka datang seolah-olah hendak berperang, dengan tiba-tiba menyerbu tempat tersebut tanpa sebarang amaran.

Mohd Nazrul Anwar Mohamad Adli, 20, yang mengikuti pengajian diploma dalam kejuruteraan elektrik dan elektronik di Kolej PTPL, adalah antara belia yang menyertai program anjuran kerajaan negeri Selangor itu.

Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Azli Yusof yang menganggotai jawatankuasa pengajuran program tersebut berkata beliau terkejut dengan apa yang berlaku malam tadi.

Katanya, program tersebut yang mendapat sambutan menggalakan dari kalangan belia, tamat sekitar waktu tengah malam.

Beliau mendakwa, anggota polis secara tiba-tiba menyerbu ke arah mereka, sambil menendang motosikal mereka yang diletakkan di situ, menyebabkan kumpulan belia itu bertempiaran dari situ.

Ketika itulah, katanya beliau ternampak Mohd Nazrul, dekat Quality Inn, bertembung dengan kereta dan terjatuh.

Menurutnya, Mohd Nazrul bangun dan cuba menunggang motosikalnya, tetapi motosikalnya ditendang oleh seorang anggota polis, menyebabkan dia terlanggar sebuah van yang terletak di situ.

Azli berkata beliau sempat mengambil nama anggota tersebut - seorang konstabel - dan nombor perkhidmatannya - M'kini

Najib Diperbodohkan KPN dan Peguam Negara

Mantan Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meletak jawatan memandangkan beliau tidak lagi layak memegang jawatan tersebut.

Gesaan itu dibuat berhubung kenyataan Musa yang menggugut untuk menarik balik anggota polis daripada berkawal di jalan raya selepas insiden remaja berusia 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis di Shah Alam pada Isnin lepas.

Yong yang juga merupakan Presiden Parti Progresif Rakyat Sabah (SAPP) turut menyelar kenyataan Musa yang dianggap sebagai tidak bertangungjawab.

Menurut laman portal berita freemalaysiatoday, Yong dipetik sebagai berkata sikap angkuh Musa akan memberikan nama buruk erhadap pasukan polis.

"Ianya selepas beliau mengancam untuk tidak menguatkuasa undang-undang dan tindakan beliau itu boleh menyebabkan rakyat akan hilang keyakinan terhadap keseluruhan pasukan polis,

"Beliau harus meletak jawatan dengan secepat mungkin dan jika beliau masih kekal di dalam pejabat, ini akan menyebabkan ketakutan di kalangan rakyat,

"Kenyataan beliau itu telah menyakitkan hati rakyat dan telah merosakkan reputasi pasukan polis," kata Yong dalam kenyataannya kepada media.

Dalam pada itu Yong juga turut menambah, kenyataan Musa itu tidak adil kepada anggota polis yang lain yang telah bekerja keras dan menggadai nyawa dalam menjalankan tugas mereka.

Kes ini, seperti juga kes Kugan dan kes Teoh Beng Hock, adalah kes batu-tanda berkenaan dengan kekejaman polis, berkenaan kecuaian polis dan berkenaan kezaliman polis.

Lembiknya kerajaan UMNO BN di dalam menangani setiap satu kes di atas meletakkan Najib dn barisan kabinetnya sebagai kumpulan manusia-manusia yang sama kejam, cuai dan zalim.

Sewaktu diajukan soalan mengenai desakan rakyat supaya Musa Hassan meletakkan jawatannya, Najib menjawab, “anda tidak boleh meminta KPN meletak jawatan disebabkan satu insiden yang bukan merupakan tanggungjawabnya secara langsung.”

Persoalan kini ia bukan persoalan insiden yang merupakan tanggungjawabnya secara langsung, tetapi persoalan kebiadaban Musa Hassan mengancam untuk tidak menguatkuasa undang-undang.

Inilah padahnya berperdana menterikan seorang yang buta terhadap undang-undang dimana beliau diperbodoh dan diperalatkan oleh Ketua Polis Negara dan Peguam Negara. -GB

Ugutan Bunuh: TGNA Tak Layan

TG Nik Aziz tak layan kenyataan ugutan bunuh

KOTA BARU, 2 Mei — Menteri Besar Kelantan, TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak akan melayan sebarang kenyataan yang menyentuh isu peribadinya termasuk ugutan membunuh dilaporkan dalam laman sosial Facebook.

Mursyidul Am PAS itu juga tidak mempedulikan apa sahaja kenyataan yang dibangkitkan oleh pihak tertentu termasuk kenyataan bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Syed Azidi Syed Aziz yang juga penulis blog yang dikenali sebagai Kickdefella.

Ketika ditanya pemberita TG Nik Aziz (gambar) hanya menyifatkan apa yang diperkatakan mengenainya berhubung kesemua isu itu tidak ada dalam pengetahuannya sama sekali.

“Saya tak ambil peduli (hal itu), saya anggap tak ada langsung (dalam kepala saya),” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan kira-kira 50 anggota rombongan Koperasi Takaful Ibnu Al-''Asr dari Thailand di kediaman rasminya di JKR 10, di sini, hari ini.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Pusat membuat laporan polis berhubung kenyataan ugutan terhadap TG Nik Aziz itu.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi di Balai Polis Chow Kit, Kuala Lumpur. — Bernama

Alhamdulillah. Sikap TGNA terpuji. GB telah dari awal menyatakan itu semua kerja budak-budak. Tak payah dilayan lebih baik.

Yang cuba ugut itu pun sebenarnya tak kenal TGNA. Mereka kenal TGNA hanya dari cerita-cerita dari media massa arus perdana.

Termasuklah kumpulan itu, kumpulan blogger UMNO yang bukan mengkritik, tapi menghina TGNA, siap dengan gambar-gambar lucah yang direka-reka untuk menjatuhkan maruah TGNA.

Namun maruah TGNA tidak jatuh lantarannya. Semakin hebat pula bantuan Allah kepadanya. -GB.

Ugut bunuh TG Nik Aziz, lagi laporan polis dibuat

PENGKALAN CHEPA, 2 Mei: PAS Kawasan Pengkalan Chepa, membuat satu laporan polis berhubung ugutan bunuh terhadap Mursyidul Am Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh seorang pemilik akaun facebook, yang dikenali sebagai Mohd Safuan Hilmi.

Setiausahanya, Hassan Mamat membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, dekat sini.

Kehadiran beliau ditemani hampir 30 penyokong PAS.

"Saya membuat laporan ini kerana berpendapat kenyataan penulis itu adalah satu tulisan ataupun komen yang berunsurkan provokasi terhadap keselamatan dan juga satu ugutan jenayah secara terbuka terhadap seorang ketua sebuah kerajaan.

"Oleh itu kami (PAS) pohon pihak polis dapat membuat penyiasatan penuh dan seterusnya mendakwa penulis terbabit sebagaimana peruntukan undang-undang bagi mengelakkan budaya mengugut yang mengancam keselamatan orang lain daripada terus berleluasa" katanya ditemui di luar pejabat IPD.

Mohd Safuan, melalui laman web sosial facebooknya dikatakan telah menulis "Belum lengkap lagi sbb (sebab) sekor (seekor) lagi barua x (tidak) mati iaitu nik aziz. Tggu (tunggu) aku p (pergi) bunuh nik aziz dulu baru lengkap. Setan tu x layak duk kt (dalam) muka bumi ini lagi.

"Senang bunuh org (orang), tikam je, aku snggup (sanggup) dihukum gantung jika aku dpt (dapat) bunuh nik aziz al dajjal tu" katanya semasa berkomunikasi dengan salah seorang daripada rakan facebook.

Facebook Safuan Hilmi bagaimanapun di tutup selepas perkara itu menjadi perbincangan orang ramai di laman web sosial tersebut.

Dalam profil sebelum ini, Safuan meletakaan ahli Umno pada bahagian pandangan pilitiknya.

Semalam juga, Dewan Pemuda PAS Pusat, turut membuat laporan sama bagi menggesa pihak polis menyiasat ugutan bunuh itu.

Ketuanya, Nasrudin Hassan semalam turut meminta supaya pergerakan Pemuda Umno menafikan bahawa Mohd Safuan ini adalah ahli mereka. -Hrkh

Musa Hassan Anggap PDRM Milik Peribadinya

Kematian Aminulrasyid Amzah ditembak polis kerana tidak berhenti setelah diarah pihak polis untuk berhenti. Suatu peristiwa tragis, sedih dan menyayat hati ibu bapa dan keluarga Allahyarham Aminulrasyid dan syahdunya turut dirasa oleh rakyat jelata. Kita masih dalam trauma kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam itu. Seribu satu pertanyaan belum terjawab dalam benak kita.

Menurut berita TV3 bahawa polis mengejar pemandu kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid dalam masa yang sama kononnya kereta itu menuju nak melanggar polis. Kalau mengikut istilah polis "mengejar" ertinya polis dibelakang kereta yang dipandu Amirulrasyid. Kalau dikatakan kereta yang dipandu Amirulrasyid "menuju ke arah polis" ini bererti polis dan kereta yang dipandu Amirulrasyid "bertentangan?" Yang mana satu cerita betul?

Kalau pun kereta yang dipandu oleh Amirulrasyid menuju ke arah polis, "daripada menembak mangsa tanpa lesen itu, polis punya pilihan untuk mengelak ketepi laluan?" Apakah mesti dihukum tembak kalau seseorang memandu tanpa lesen itu atau lari semasa diarah berhenti oleh polis?

Polis tentunya punya 'walkie talkie', boleh meminta bantuan peronda yang lain untuk mengejar Amirulrasyid daripada polis menggunakan senjata untuk membunuh budak yang baru berusia 14 tahun itu.

Berita TV3 melaporkan bahawa sudah 4 tahun polis meminta peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk membeli perakam video untuk merakamkan apa sebenarnya berlakusekiranya ada kejadian buruk berlaku tetapi kerajaan tidak ada wang peruntukan.

Kita sangat heran sikap kerajaan Umno-BN kalau dalam PRK Hulu Selangor beratus juta RM dapat diagihkan dalam sekelip mata tetapi sekadar membeli perakam video untuk merakamkan jenayah, kerajaan tiada wang peruntukan? Apa sudah jadi dengan kerajaan Umno-BN ini?

Kita dengar cerita cerita orang kedai kopi 1Malaysia sudah genap "Kugan mati dalam kawalan polis, Teoh Beng Hock mati dalam kawalan SPRM dan Amirulrasyid mati ditembak polis maka genaplah sudah slogan 1Malaysia". Ini cerita kedai kopi saya kurang yakin, saya tidak tahu apa perasaan pengundi 1Malaysia slogan Datuk Najib?

Memanglah IGP Musa Hassan mengugut rakyat, kita terbaca dalam Malaysiakini bahawa beliau akan arahkan anggota polisnya tidak mahu lagi menangkap Mat Rempit dan menjaga jenayah dikawasan kawasan tersebut. Musa Hassan berlagak macamlah dia yang bayar gaji anggota angota polis tersebut. Seolah-olah semua anggota polis itu, dia yang punya.

Kita difahamkan sebuah panel khas yang ditubuhkan, tidak akan menjalankan siasatan sendiri sebaliknya berfungsi memantau siasatan polis. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, yang mengetuai panel itu, berkata panel khas itu akan memastikan siasatan yang dijalankan polis dilakukan secara adil dan telus.

Boleh percaya kah siasatan polis yang dipantau oleh Menteri Umno-BN? Kenapa tidak bentuk Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang diketuai oleh Tan Sri Lee Lam Thye, Prof Khoo Kay Kim dan Prof Agus? Bukan apa, cuma wibawa polis ini sudah banyak dipertikaikan oleh rakyat. Bukan tidak yakin tapi masih kurang percaya imej polis ini belum sembuh sepenuhnya selagi Musa Hassan belum bersara kata orang kedai kopi. - Datuk Halik Zaman

Pengundi tak puas hati buat laporan polis


pengundi Hulu Selangor yang tidak puas hati hari ini membuat laporan polis berhubung pengagihan wang tunai yang didakwa tidak setara dalam pilihan raya kecil parlimen itu Ahad lalu.

Ditemui di ibu pejabat polis di Kuala Kubu Bharu, wakil pengundi itu, Othman Moin berkata seramai 10 Orang Asli dari pelbagai kawasan di parlimen tersebut telah membuat laporan polis tersebut.

"Hari ini mereka berada di sini kerana tidak berpuashati dengan cara pengagihan wang tunai diuruskan... aduan mereka menyentuh pelbagai perkara," kata Othman (kanan, berjaket).

Beliau menambah, ada dari kalangan mereka kecewa apabila wang tunai untuk mengundi pihak tertentu seperti yang diarahkan tidak ditunaikan dan ada juga datang ke situ kerana mereka diugut.

Othman memberitahu terdapat 10 laporan polis dibuat. Bagaimanapun hanya seorang sahaja yang kelihatan memegang salinan laporan polis itu.

Menurut Chambah Mohamad, 53, dari Kampung Orang Asli di Serendah pula, pihak pengurusan pengundian di kampungnya menjanjikan wang tunai sejumlah RM100 setiap orang selepas mengundi. - M'kini

Apco: PAS Pengkalan Chepa kemuka usul tergempar

PENGKALAN CHEPA, 2 Mei: Mesyuarat Agung PAS Kawasan Pengkalan Chepa kali ke-38 semalam menyaksikan satu usul tergempar dicadangkan berkenaan hubungan Malaysia dengan Israel.

Usul tersebut mencadangkan mufti Malaysia atau Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia mengeluarkan fatwa mengenai kedudukan hubungan kerajaan Malaysia dengan Israel atau syarikat yang berkepentingan Isarael.

Usul itu dibangkitkan ekoran dakwaan penglibatan syarikat perunding berkepentingan Israel, Apco Worldwide dalam bidang telekomunikasi Malaysia.

Timbalan Menteri Besar Datuk Haji Ahmad Yakob ketika merasmikan mesyuarat itu berkata, semua mesyuarat agung PAS kawasan wajar mengambil ketetapan sama dengan membuat usul tersebut.

"Bahkan saya amat bersetuju sekiranya mana-mana kawasan PAS mengambil ketetapan usul sebegitu," katanya yang juga timbalan ketua dewan ulama PAS pusat.

Selain itu, beliau menyatakan dewan ulama PAS pusat telah pun mengambil pendirian bersama ahli jawatankuasa PAS pusat membuat bantahan terhadap khidmat Apco Worldwide yang diguna oleh Kerajaan Malaysia.

"Kita membuat bantahan, dan menggesa kerajaan Malaysia membatalkan perjanjian dengan Apco. Selain itu, kita menyokong penubuhan satu suruhanjaya bebas, Suruhanjaya Diraja bagi menjalankan siasatan terhadap (pihak tertentu dan proses berkaitan penggunaan Apco oleh kerajaan Malaysia itu)," katanya.

Mesyuarat semalam berlangsung di Kompleks PURNAMA di sini. -Hrkh

Selain itu, Pas kawasan juga dinasihatkan terus memperkuatkan jentera parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, yang mungkin diadakan pada akhir tahun 2011.

"Ini penting oleh kerana pemerintah (yang didominasikan Umno-BN) mempunyai peluang menggunakan media massa dan jentera kerajaan bagi memenangi pilihan raya tersebut serta menabur janji yang banyak," katanya.

Tegur pemimpin parti biar beradab


Ahli-ahli PAS diiingatkan agar beradab ketika menegur pemimpin parti dengan menggunakan saluran yang betul dan bukan di alam maya.

Platform seperti muktamar atau mesyuarat agung parti merupakan tempat yang paling sesuai ketika menegur atau memberi pandangan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata ahli-ahli PAS boleh memberi pandangan dan teguran kepada pimpinan parti tetapi mesti menggunakan saluran yang betul.

“Kita (ahli PAS) boleh beri pandangan, teguran dan nasihat kepada pimpinan parti tetapi atas platform yang betul.

“Kritikan kita bukan di blog atau di alam maya yang boleh dilihat oleh semua orang termasuk musuh-musuh Islam,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu kali ke-41 di Dewan Banat, Rusila, hari ini.

Menurutnya, kecenderungan manusia menggunakan kemudahan teknologi maklumat mendorong kepada kritikan terbuka melalui blog-blog di alam maya.

Akhirnya, kata Ustaz Idris, perbuatan tersebut boleh mengundang perselisihan serta perpecahan sesama sendiri di dalam parti.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh, Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Khairil Nizam Khairuddin dan Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah. - Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .