Ikuti Blog ini

Dewan Rakyat: Kecoh di dalam, tegang di luar...


Dewan Rakyat hari ini terus kecoh sebelum usul bagi menggantung empat ahli parlimen Pakatan Rakyat termasuk ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diluluskan. NONEAnwar dan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terus bertikam lidah dengan ketua umum PKR itu menuntut hak untuk membela diri berhubung dakwaannya yang mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan firma perhubungan awam Apco Worldwide. Pandikar berkata Anwar telah diberikan seminggu untuk menjawab dakwaan berkenaan dan kenyataannya itu mencetuskan kemarahan daripada ahli parlimen pembangkang. Ahli parlimen Gombak Azmin Ali terus bangkit dan menafikan bahawa Anwar diberi peluang membela dirinya. Hari ini adalah hari terakhir sidang parlimen sesi ini dan 11 rang undang-undang yang sepatutnya dibahaskan telah tunda pada sidang baru yang dijadualkan pada Mac depan. Di luar bangunan Dewan Rakyat, terdapat anggota polis yang luar biasa ramainya serta sekurang-kurangnya lima kereta peronda mengawal keadaan. Dianggarkan kira-kira 40 anggota polis berada di sepanjang jalan menuju pintu pagar parlimen. Sekatan polis juga dibuat kira-kira 20 meter daripada pintu masuk parlimen.

LAPORAN LANGSUNG

11.43am: Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar berkata perarakan akan diadakan dari bangunan Parlimen ke ibu pejabat Suhakam, yang terletak kira-kira dua kilometer.

Namun, kira-kira 40 anggota polis berada dalam keadaan bersiap-sedia.

11.33am: Hujan renyai di luar bangunan Parlimen.

11.32am: Perbahasan mengenai usul kedua dimulakan oleh Abdul Rahman Dahlan (Umno-Kota Belud). Beliau menuduh ketiga-tiga ahli parlimen itu membuat interpretasi Peraturan Dewan mengikut agenda politik mereka.

11.30am: Nazri mengusulkan usul kedua untuk menggantung tiga lagi ahli parlimen - R Sivarasa (PKR-Subang), Azmin Ali (PKR-Gombak) and Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

11.29am: Ahli parlimen pembangkang melaungkan "Bohong, Bohong!" Anwar meninggalkan Dewan dan diikuti oleh semua ahli parlimen pembangkang.

11.25am: Pandikar memutuskan untuk menguatkuaskan Peraturan 44. Beliau mengarahkan setiausaha dewan untuk membekalkan setiap nama ahli parlimen yang mengengkarinya supaya mereka juga boleh dihgantung. 11.28am: Pandikar mengugut untuk mengadakan undian tanpa perbahasan. Azmin Ali (PKR-Gombak) menuntut untuk tahu peraturan mana yang akan digunakan oleh speaker untuk mengadakan undian tanpa perbahasan. Pandikar kemudian memutuskan undian dijalankan tanpa perbahasan. Usul menggantung Anwar diluluskan dengan suara majoriti.

NONE11.20am: Pandikar mengarahkan Khairy supaya meneruskan perbahasan mengenai usul berkenaan tetapi laungan "Apco-Umno" terus menenggelamkan suaranya. Sepanduk sekali lagi dinaikkan dan ada ahli parlimen yang menjerit "mentaliti buruk".

11.17am: Sivarasa (PKR-Subang) mendesak speaker Pandikar supaya “undur diri” kerana percanggahan kepentingan dalam isu berkenaan. Beliau disokong oleh M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang juga berkeras mahu Pandikar mengundurkan diri dan mempersoalkan sama ada tindakan speaker itu kerana “kepentingan lain”.

11.08am: Pandikar mempersilakan Khairy Jamaluddin (Umno-Rembau) untuk memulakan perbahasan. Namun suaranya juga tenggelam. Ahli parlimen pembangkang menaikkan sepanduk dengan tertera perkara "kangarroo", "BN Sokong Apco", "Apco", "Selamatkan Dewan, Hidup Ketua Pembangkang."

11.04am: Nazri mohon supaya Anwar digantung dari Dewan Rakyat. Namun suaranya timbul tenggelam akibat kekecohan dengan laungan “Apco-Umno” semakin lantang. Nazri berkata Anwar telah memperdayakan Dewan Rakyat berhubung isu Apco.

11am: Pemimpin parlimen BN, Dartuk Seri Mohd Nazri Aziz membentangkan usul untuk menggantung Anwar di sebalik protes daripada ahli parlimen Pakatan Rakyat yang terus menjerit "Apco, Apco". Ini memaksa Nazri menghampiri pembesar suara dan meninggikan suaranya namun terus ditenggelami oleh jeritan ahli parlimen pembangkang.

10.55am: Bantahan daripada pembangkang berterusan, Pandikar mencadangkan mereka membuat usul jika tidak berpuas hati dengan keputusan dan interprestasinya berhubung Peraturan Dewan. Azmin terus bangkit lagi dan berkata, “Tetapi awak tidak mahu terima usul kami!” Ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain kemudian menjerit “Apco-Umno” berulang-kali dan menaikkan sepanduk untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.

-M'kini

Selangor & Pulau Pinang Diantara Penyumbang Terbesar FDI Negara

Selangor kekal destinasi pelaburan utama

Prestasi pelaburan negeri Selangor dari Januari hingga September lalu, sangat baik dan memberangsangkan dengan jumlah pelaburan yang diluluskan berjumlah RM6.533 billion.

Jumlah pelaburan sepanjang tempoh tersebut, melebihi nilai pelaburan yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2009, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, sebanyak RM2.757 billion atau 42 peratus merupakan pelaburan tempatan manakala 58 peratus atau RM3.775 billion adalah pelaburan asing.

Jumlah pelaburan tersebut melibatkan 245 projek yang telah diluluskan, yang mewujudkan 16,966 peluang pekerjaan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 38 peratus atau 154 projek adalah projek baru dengan nilai pelaburan melebihi RM2.519 bilion.

Manakala 91 projek atau 62 peratus merupakan projek pembesaran dan pelbagaian dengan nilai pelaburan melebihi RM4.013 bilion.

"Dengan jumlah pelaburan ini, Selangor mendahului negeri lain di Malaysia dan telah menyumbang sebanyak 31 peratus jumlah keseluruhan pelaburan negara diikuti Johor dan Pulau Pinang," katanya.

Pelabur Jepun penyumbang terbesar dengan pelaburan melebihi RM1.884 bilion, diikuti Cayman Islands dengan RM531.6 juta dan Singapura melebihi RM393.664 juta.

Bagaimanapun, tegas menteri besar, dari segi bilangan projek, Singapura mencatatkan jumlah tertinggi dengan 19 projek.

Pada 2009, katanya, Selangor berjaya memperoleh 138 projek dengan pelaburan RM2.718 bilion dan menyediakan 11,059 peluang pekerjaan.

Peningkatan jumlah pelaburan ini membuktikan keyakinan pelaburan terhadap Negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan yang utama di Malaysia, jelas Abdul Khalid.

"Kerajaan negeri akan terus mengambil langkah pro-aktif dengan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian sedia ada.

"Anak syarikat kerajaan negeri, SSIC Berhad (Selangor State Investment Centre ) juga sering mengadakan pertemuan-pertemuan dengan para pelabur bagi berbincang secara terus berhubung isu dan masalah yang dihadapi oleh para pelabur untuk diselesaikan segera.

"Kerajaan negeri akan terus mempergiatkan lagi usaha mempromosi selangor sebagai negeri perindustrian dan pelaburan dalam memastikan sektor ini terus berkembang dan menjadi penyumbang utama kepada pencapaian ekonomi negeri seterusnya berjaya mencapai prestasi pelaburan yang disasarkan," tambahnya. -MI

Tiada Kes Untuk Babitkan TGNA & Ariffahmi - SPRM

SPRM tutup kes terhadap TG Nik Aziz, menantu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup fail tiga kes membabitkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab Rahman serta seorang timbalan menteri.

Timbalan Menteri terbabit ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Wee Ka Siong berhubung kedudukannya dalam sebuah syarikat.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil dalam sidang akhbar di sini hari ini berkata, Pejabat Peguam Negara mendapati tiada kes untuk pertuduhan membabitkan Nik Aziz dan menantunya itu.

Nik Aziz sebelum ini didakwa menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji tahun lalu, manakala Abdul Ariffahmi pula berhubung pelantikannya sebagai CEO PMBK.

“Peguam Negara mendapati tiada kes untuk disabitkan tuduhan terhadap Nik Aziz kerana beliau tidak pernah meminta untuk ditaja menunakan haji dan perjalanan menunaikan haji ke Makkah juga tidak dibuat.

“Peguam Negara juga mendapati pelantikan Abdul Ariffahmi sebagai CEO lebih bersifat penukaran nama jawatan dan Menteri Besar mempunyai kuasa penuh untuk melantik mana-mana pegawai," katanya.

Beliau juga berkata, SPRM juga mendapati tiada kes membabitkan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Wee Ka Siong daripada tuduhan berlaku percanggahan kepentingan dengan memegang jawatan dalam sebuah firma arkitek berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Balasan makan duit haram


Hassan Basri

IPOH – Senario di Mahkamah Sesyen di sini semalam berbeza apabila seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak yang sebelum ini bertanggungjawab menghukum pesalah, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan denda RM210,000 selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah.

Hassan Basri Shapie, 56, dikenakan hukuman tersebut selepas Hakim Tan Hooi Leng mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap bukti pihak pendakwaan atas semua pertuduhan yang dilakukan tertuduh sekitar 7 Ogos 2006 hingga 6 September 2007.

Bagaimanapun tertuduh hanya dipenjara 10 tahun setelah Hooi Leng memerintah hukuman empat daripada tujuh pertuduhan tersebut dijalankan serentak. Namun Hassan Basri bakal berhadapan hukuman penjara tambahan sebanyak 42 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Dia adalah hakim Mahkamah Syariah pertama yang didapati bersalah dalam pertuduhan rasuah.

Ketuanan Kuasa : Hanafi Hamat Tidak Iktiraf Parti AKIM Ditukar KITA

MACHANG 15 DIS : Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia(AKIM) Hanafi Hamat berkata beliau tidak mengiktiraf atau bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk penukaran nama baru bagi parti itu iaitu Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), seperti yang diputuskan dalam mesyuarat penubuhannya, di Kuala Lumpur hari ini.

AKIM merupakan sebuah parti politik yang ditubuhkan lebih 15 tahun lalu mempunyai prinsip perjuangannya yang tersendiri untuk menyatupadukan umat Islam di seluruh negara, katanya kepada Bernama di sini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita mengenai bekas Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang dilaporkan menerajui parti KITA yang ditukarkan namanya daripada AKIM dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan Akim di Kuala Lumpur.

Zaid, yang juga bekas Anggota Parlimen Kota Baharu, juga dilaporkan sebagai berkata parti baru yang diterajuinya itu tidak akan menyertai pakatan pembangkang.

Hanafi berkata mereka yang cuba menukar nama parti itu kepada nama baru,seolah-olah mencabul hak AKIM sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

"Ini sebagaimana terkandung dalam perlembagaan yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Mereka yang cuba menghidupkan AKIM dengan nama lain, seolah-olah melelong parti itu kepada pihak lain untuk kepentingan peribadi mereka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak bertanggungjawab dengan tindak tanduk segelintir anggota AKIM yang terlibat dengan penubuhan parti KITA, bagi menggantikan nama asal AKIM serta berniat untuk menggulingkannya.
Hanapi juga berkata, beliau tetap menganggap dirinya sebagai Presiden AKIM yang sah walaupun ada pihak lain mendakwa diri mereka Presiden AKIM.

Sebelum ini Bernama melaporkan Pengarah ROS Kelantan, Wan Rahimah Wan Hamat mengesahkan Hanapi kekal menjadi Presiden parti AKIM berikutan kemelut perebutan pihak lain terhadap jawatan itu sehingga menjejaskan penubuhan parti berkenaan.
BERNAMA

TG Nik Aziz Dibenarkan Keluar Wad

SHAH ALAM 15 DIS : Menteri Besar Kelantan, TG Datuk Nik Aziz Nik Mat telah dibenarkan keluar dari wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian semalam.

Dalam kenyataannya di laman sosial Facebook beliau berkata TG Nik Aziz akan berehat di kediamannya selepas doktor berpuas hati dengan kesihatan beliau.

Mursyidul Am PAS itu dijangka akan menjalani rawatan susulan hujung minggu ini.

Jumaat lalu, TG Nik Aziz menjalani rawatan di HUSM kerana masalah pinggang setelah dinasihatkan pakar perubatan pada Rabu.

Masalah pinggang itu dihidapi beliau sejak sekian lama selepas terjatuh dari kuda.

Menteri Besar Kelantan berusia 79 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan baik.

Wikileaks punya pasal, Ceramah Anwar Tiada Sambutan?


Taman Melati menjadi saksi, adakah Anwar tidak popular lagi..


Berikut adalah sedikit gambar-gambar dari sekitar Ceramah Isu Terkini yang telah diadakan pada 14 December 2010 di Tapak Pasar Malam Taman Melati untuk dikongsikan bersama.


Antara penceramah yang hadir ialah DS Anwar Ibrahim,Tian Chua, Khalid Samad, Teresa Kok dan Ketua AMK kebangaan ahli-ahli AMK.. he..he..he.. dan juga Dato Tan Kee Kwong..

Permit dipohon sehingga 12.00 Tengah malam tapi pihak Polis hanya membenarkan sehingga jam 10.30 malam sahaja dengan syarat jika hadirin terlalu ramai ceramah akan dihentikan (syarat baru untuk ceramah PR)

Saksikan...
Polis yang menjaga keselamatan pemimpin PR










Gambar-gambar adalah hasil kerja Saudara Tripodone TKO..

Banglo Seorang Datuk jadi Pusat Pengedaran Dadah

Banglo datuk pusat dadah

ROSLAN menunjukkan pokok ganja yang dirampas pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU: Walaupun sudah mempunyai perniagaan chalet di Cherating, Pahang, ia tidak dapat menampung gaya hidup mewah seorang lelaki bergelar datuk dari Pahang berusia 46 tahun dan isterinya warga Britain di Taman Muhibah, Chukai, hingga menjadikan banglo mereka sebagai pusat pengedaran dadah di daerah Kemaman dan Cherating.

Bagaimanapun, kemewahan mereka tidak kekal lama apabila polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM75,000 dan menyita harta bernilai RM246,000 merangkumi wang tunai, kereta Mercedes-Benz, Proton Gen2 dan Honda Civic serta barang kemas.

Dalam serbuan pada jam 11 pagi itu, polis turut menahan wanita berusia 18 tahun yang juga anak angkat pasangan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata serbuan itu membolehkan polis merekodkan rampasan yang terbesar dalam tempoh tiga tahun di kawasan Terengganu Selatan.

Katanya, ketika diserbu hanya isteri suspek berada di rumah bersama anak angkat mereka dan pemeriksaan menemui sejumlah dadah di dalam sebuah bilik, manakala lima batang pokok ganja ditanam dalam beg plastik hitam dan diletakkan di balkoni rumah itu.

Roslan berkata, tidak lama kemudian, lelaki itu pulang ke rumah dan pemeriksaan terhadap suspek menemui sejumlah lagi dadah yang disimpan di dalam biliknya.
“Siasatan awal mendapati pasangan ini penagih tegar sejak 15 tahun lalu dan membelanjakan RM10,000 sebulan untuk membeli dadah.

“Polis percaya kos menagih mereka tidak dapat dipenuhi daripada hasil perniagaan chalet itu. Mereka terbabit dalam pengedaran dadah sejak 10 tahun lalu di kawasan Kemaman dan Cherating, Pahang.

“Tiga suspek itu direman sehingga 19 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; 39 A(2) 12(2); 6, 6(b), 15(1)(a),” katanya.

Pakatan bantah keras Speaker gantung 3 MPnya

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah keras keputusan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang bersetuju dengan keputusan majoriti untuk menggantung tiga ahli Parlimennya selama enam bulan tanpa diberi peluang membela diri.

Keputusan itu dibuat Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi tadi selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz membuat usul berkenaan terhadap Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan R Sivarasa (PKR-Subang).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,keputusan itu jelas membuktikan kuasa speaker digunakan oleh Barisan Nasional (BN) untuk kepentingan mereka.

"Kita kesal dan nyatakan bantahan kita tentang persetujuan speaker membenarkan keputusan ini. Memang kita tahu salah dan angkuh Umno/BN guna kuasa mereka tetapi mengggunakan saluran speaker yang mempertahankan dengan peraturan.

"Padahal prinsip membela diri ialah kita mesti diberi tempoh seminggu untuk bagi keterangan tapi itu pun tidak berlaku," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga mengecam Pandikar yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang mengenepikan segala bukti yang dikemukakan beliau dalam isu APCO.

"Kita saksikan tadi drama di Parlimen, yang kita bangkitkan ialah soal prinsip, soal saya digantung dan tidak ada hak mempertahankan hujah saya dengan dokumen yang saya dah siapkan termasuk perjanjian Apco itu memang diketepikan," katanya.

Speaker gagal kawal Dewan

Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) pula mempersoalkan kegagalan Pandikar mengawal dewan dengan baik dan enggan berehat walaupun dewan dalam keadaan tegang.

"Saya bukan nak menggambarkan speaker sekarang dengan speaker dua sesi sebelum ini tetapi Tun Zahir sebelum ini, apabila keadaan menjadi tegang, beliau akan merehatkan dewan, bagi peluang untuk beliau sendiri dan wakil yang berbahas berehat.

"Selepas itu barulah dipanggil masuk kembali untuk menyambung perbahasan sebab memang ada peruntukan untuk itu. Tapi hari ini kita lihat beliau meneruskan juga dalam keadaan tidak dapat mengawal,"kata beliau yang juga Timbalan Presiden PAS.

Katanya lagi, mereka tidak membangkitkan perkara yang dilarang untuk dibahaskan seperti melibatkan Raja-Raja atau prosedur mahkamah sebaliknya membincangkan perkara yang melibatkan ahli Parlimen.

"Kita bukan membangkitkan soal raja atau hal berkaitan prosedur dalam mahkamah atau rahsia negara tapi yang kita bawa isu yang berkaitan dengan hak kita untuk didengar dengan bahan bukti yang telah sedia ada untuk dibawa ke peringkat jawatankuasa yang dinafikan.

"Hari ini dikejutkan dengan tiga orang lagi ahli parlimen yang digantung selama enam bulan tanpa ada peluang untuk mereka pertahan diri atau bagi hujah di atas tuduhan yang diambil daripada sumber-sumber yang bukan utama.

"Ini menimbulkan persoalan dan kita kesal dengan tindakan ini. Selepas kita pertikai banyak institusi sebelum ini, sekarang Parlimen sendiri boleh dipertikaikan integritinya," katanya.

Untuk nafi kuasa dua per tiga


Sementara itu, Anthony Loke (DAP-Rasah) tidak menolak kemungkinan wujudnya agenda tersembunyi BN untuk menjejaskan kuasa Pakatan Rakyat dan menambah kuasa mereka untuk membawa sebarang pindaan undang-undang tanpa banyak bantahan.

"Saya melihat mungkin ada agenda tersembunyi di belakang tindakan ini dan ini akan beri implikasi yang besar kepada kedudukan Pakatan Rakyat dalam dewan rakyat.

"Sekarang kita ada 77 ahli Parlimen. Kalau ada empat lagi ahli parlimen Pakatan digantung maksudnya kedudukan Pakatan dalam dewan akan hilang dua per tiga. Ini sudah kurang daripada 1 per tiga. Jadi mereka sudah mendapat balik dua per tiga dalam enam bulan akan datang.

"Jadi mereka boleh membawa segala pindaan dalam sidang Mac dan Jun akan datang," katanya.

Sebelum itu,Pandikar mengarahkan Sivarasa dan Azmin keluar dewan kerana didakwa melawan keputusannya.

Sivarasa digantung daripada menghadiri persidangan sehingga esok manakala Amin sehingga 2.30 petang ini.

Sivarasa bangkit pada akhir sesi soal jawab lisan mempersoalkan tindakan speaker yang menolak usul yang dikemukakannya semalam meminta perbahasan diadakan bagi membincangkan pendedahan oleh WikiLeaks berhubung dakwaan diplomat Singapura yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razah dengan kematian warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu dan juga mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 'perangkap seks'.

Menurut Pandikar, kebimbangan yang ditimbulkan oleh Sivarasa adalah tidak berasas dan mengarahkannya untuk duduk. Namun apabila ahli parlimen itu terus berhujah dan enggan duduk, Pandikar mengarahkan 'berehat' sehingga esok.

Azmin pula diarah keluar dewan apabila beliau bangkit mempertahankan Sivarasa.

Pertikaman lidah berlaku apabila Anwar turut bangun mempertahankan mereka sehingga Pandikar bertindak membiarkan sahaja mereka terus berhujah termasuk wakil BN. -Hrkh

Dengan Islam, Melayu akan terbela – Tok Guru MB Kelantan

bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela.Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam .Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah? - Tok guru

Ketuanan Melayu: TG Nik Aziz pohon Raja-raja Melayu selesai guna al-Quran

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencadangkan Raja-raja Melayu agar perkenan mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya mengambil berat tentang nasib orang Melayu di negara ini.

Dalam kenyataan terbaru menyentuh polemik ungkapan Ketuanan Melayu, Mursyidul Am PAS berkata, Raja-raja Melayu yang memperlihatkan kebimbangan mengenai kedudukan orang Melayu sejak kebelakangan ini, perlu tampil mencari jalan penyelesaian menggunakan lunas al-Quran.

“Apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada al-Quran.

“Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku,” kata beliau yang masih dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam hal ini, kata Menteri Besar Kelantan, ungkapan Ketuanan Melayu merupakan ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.

“Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela,” katanya lagi.

Sejak bulan lalu, pendebatan isu konsep Ketuanan Melayu ini begitu hebat diperkatakan selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasar Kongres Naional PKR meminta supaya “Ketuanan Melayu” ditinggalkan.

Malah Perkasa juga mengkritik dengan menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai “pelacur politik” dan kacang melupakan kulit kerana meminta ungkapan “Ketuanan Melayu” diketepikan bagi memajukan orang Melayu.

Dalam kenyataan hari ini juga, Nik Aziz mendakwa Umno tidak mengutamakan kepentingan soal agama Islam tetapi mengagung-agungkan ungkapan Ketuanan Melayu yang dilihat tidak memberikan sebarang faedah kepada negara terutamanya orang Melayu.

Beliau berkata jika bercakap tentang ketuanan ia mesti kembali kepada Islam, bukannya Melayu yang selama ini menjadi modal perjuangan Umno.

“Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau.

“Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah s.w.t,” soal Nik Aziz.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa apabila ada di kalangan orang Melayu di negara ini menolak Islam.

“Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam, menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam dan bila menolak Islam ertinya menolak anugerah Allah.

“Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengetepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata slogan “Ketuanan Melayu” yang dilaungkan pemimpin Umno langsung tidak menggambarkan konsep Islam apabila bergelumang dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah.

“Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu.

“Apa yang peliknya, di samping menjulang ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia,” katanya.

Oleh yang demikian, Nik Aziz mahu rakyat di negara ini berfikir secara matang sekiranya masih mahu Umno-Barisan Nasional (BN) memerintah negara.

“Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini.

“Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh ketuanan Melayu. Orang Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman.

“Hakikatnya, perjuangan ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dan daulah),” katanya.

http://www.themalaysianinsider.com

Tak Bayar Royalti: Pelantar Petronas Carigali Terengganu Terbakar, 6 Cedera

Enam Pekerja Carigali Petronas Cedera Dalam Kebakaran Pelantar

KUALA LUMPUR: Enam orang cedera dalam kebakaran pagi ini di pelantar Bekok C, 200 km di luar pantai Terengganu yang dikendali oleh Petronas Carigali Sdn Bhd. Gambar fail

Kebakaran bermula sejurus selepas tengah malam dan dapat dikawal oleh Pasukan Respons Darurat pelantar tersebut sejurus selepas itu.

"Terdapat sejumlah 108 personel di pelantar itu ketika kejadian. Enam cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Nur Zahirah.

"102 personel yang lain dipindahkan ke pelantar berdekatan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Syarikat itu berkata Bekok C sedang menjalani proses penutupan berjadual untuk aktiviti penyenggaraan ketika berlaku insiden itu.

Petronas Carigali telah memberitahu pihak-pihak berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan punca kejadian itu.

Sementara itu, laporan dari Kuala Terengganu menyatakan mereka yang cedera ialah Alias Abdullah, Hamzah Abdullah, Fauzi Ibrahim, Rishaudin Ismail, Ariff Farimi, dan Zamri Wagiman.

Mereka tiba di hospital itu kira-kira jam 9 pagi dengan seorang daripada mereka dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, seorang di Unit Kecemasan manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar.

Bagaimanapun kira-kira pukul 12 tengah hari kesemua mereka dilaporkan stabil, dan ditempatkan di Unit Kebakaran HSNZ.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sempat meluangkan masa melawat mangsa sebaik saja Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu berhenti rehat tengah hari. - BERNAMA

ScorpeneLeaks: Najib Terlibat Kes Altantuya?

KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan mengenai laporan portal Wikileaks yang mendakwa beliau terlibat dalam skandal pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib tidak boleh bersikap tidak ambil peduli berhubung dakwaan ini kerana ia melibatkan kepimpinan negara dan boleh memberikan kesan kepada sosial dan ekonomi negara.

"Pelbagai dakwaan yang dibuat ini sangat penting kerana membabitkan Perdana Menteri semasa bukan bekas Perdana Menteri. Ini akan memberikan satu kesan kepada ekonomi negara kita.

"Menteri tidak boleh bersikap tidak endah terhadap laporan Wikileaks sedangkan media dalam negara kita mengendahkan laporan wikileaks dengan memuatkan hal-hal berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim tapi Perdana Menteri kata perkara yang berkaitan beliau itu tidak perlu diendahkan," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen siang tadi.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS sebelum itu membangkitkan perkara itu dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar Negeri.

Menteri, Datuk Seri Anifah Aman dalam jawapannya memberitahu beliau akan mengambil perhatian terhadap laporan itu.

Sementara itu, ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, laporan ini mengambarkan seolah-olah Singapura menganggap Perdana Menteri anti Cina apabila membuat dakwaan mengenai kemungkinan berlakunya rusuhan di Malaysia.

"Perdana Menteri diberi gambaran yang begitu berat oleh diplomat dan pemimpin Singapura sehinggakan dalam Perdana Menteri cuba untuk promosi konsep 1Malaysia dan sebagainya, kerajaan Singapura memberi gambaran bahawa akan berlaku rusuhan kaum dan orang Cina akan banjiri Singapura.

"Ini memberi implikasi bahawa Singapura menganggap Perdana Menteri anti Cina sebab akan berlaku rusuhan kaum seperti yang dilaporkan dan ini bercanggah dengan usaha Perdana Menteri untuk menunjukkan semangat perpaduan dan sebagainya. Najib mesti ambil berat atas tuduhan itu," kata beliau.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bimbang laporan ini merupakan permainan Singapura untuk menguji kewibawaan Malaysia.

"Kita lihat pemikiran pegawai risikan dari singapura mereka mengatakan mereka ambil sumber ini dari sumber tertentu. Kita sedar hubungan antara Malaysia dan Singapiura ada pasang surutnya.

"Kita bimbang tindakan singapura ini bertujuan menguji kewibawaan Malaysia dan permainan mereka untuk menyekat pelabur asing ke Malaysia," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memulakan usaha mendapatkan sepenuhnya semua kabel-kabel berhubung Malaysia daripada sumber-sumber yang sah seperti Kedutaan Amerika Syarikat, akhbar Sydney Morning Herald, akhbar The Guardian selain Wikileaks sendiri.

Mereka juga akan membantu memulakan kempen untuk mendapatkan kesemua kabel-kabel ini untuk dinilai secara adilnya oleh rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga pengarah strategik PKR petang tadi ke Kedutaan Singapura bagi menyerahkan memorandum dari PKR kepada kerajaan republik pulau itu.

Baru-baru ini laman web antarabangsa, Wikileaks mendedahkan mengenai maklumat risikan Singapura yang dihantar kepada Australia yang menyatakan Anwar memang melakukan kesalahan tersebut, akibat diperangkap oleh seteru politiknya, meskipun Anwar menyedari tentang perkara itu.

‘Maklumat’ itu yang disiarkan oleh akhbar Australia, Herald Sun (Sydney Morning Herald), menimbulkan kecaman pemimpin Pakatan Rakyat yang menyifatkan pendedahan itu sengaja di ada-adakan tanpa sebarang bukti kukuh. -Hrkh

Lepas Doktor, Hakim, Lepas Hakim Agong Pulak Dah!

Dah macam tiada kerja lain orang ni. Dok jaja bontot anaknya dari satu pengkalan ke satu pengkalan.



Bapak Saiful Bukhari yang kononnya bontot dia kena liwat menyerahkan sepucuk surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk menarik perhatian Seri Paduka supaya kes itu yang sedang dibicara dipercepatkan.

Orang tua berumur 57 tahun yang dikenali sebagai Azlan, ditemani tiga orang rakannya pergi ke pintu pagar Istana Negara untuk menyerahkan surat berkenaan kepada seorang pegawai istana pada jam 3 petang semalam.

Konvenyen ke 2: Cerita kejayaan, PRU 13

KUALA LUMPUR, 14 Dis: 2000 perwakilan dari parti-parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP dijangka akan berhimpun di Dewan Milllenium Kepala Batas Ahad ini untuk menyertai Konvensyen Ke 2 Pakatan Rakyat.

Mereka dijangka mempersiapkan Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Setiap parti akan menghantar 600 perwakilan tidak termasuk para pemimpin utama parti berkenaan, tetamu dan para pemerhati.

Sepanjang konvensyen, empat perwakilan setiap parti akan membahaskan perbentangan yang akan dibuat oleh tiga jurucakap utama parti masing-masing.

"Fokus akan diberikan kepada dua perkara utama dalam konvensyen ini iaitu cerita kejayaan negeri-negeri Pakatan dan mempersiap kami semua untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13," kata Mujahid Yusof (gambar), Pengarah konvensyen ini.

Untuk mencapai tujuan itu, klip video cerita kejayaan kerajaan negeri Pakatan akan dipersembahkan kepada semua perwakilan semasa konvensyen ini.

Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga akan mempamerkan kejayaan mereka melalui booth pameran yang akan mereka sediakan di konvensyen ini.

Selain Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah turut akan membuat pameran adalah kerajaan negeri Perak ketika diperintah Pakatan dan kerajaan Terengganu dari tahun 1999 ke 2004 yang tidak diketahui masyarakat tentang kejayaan mereka.

Menurut Mujahid, konvensyen ini juga akan menghasilkan 'buku oren' iaitu buku yang menggariskan polisi Pakatan dalam bentuk perincian dari Dasar Bersama yang telah diluluskan dalam konvensyen pertama tahun lepas.

"Ia berupa pra manifesto kita dalam pilihan raya umum akan datang," kata Mujahid.

Tema konvensyen kali ini adalah "Ubah Sekarang" untuk mengajak rakyat membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Video klip cerita kejayaan, booth kerajaan negeri Pakatan dan buku oren ini akan menjadi isi atau asas kenapa kita mengajak rakyat ubah sekarang," kata Mujahid.

Dalam konvensyen lepas, katanya, konvensyen telah selesaikan asas bersama iaitu penerimaan Pakatan kepada Islam agama persekutuan, kedudukan bahasa Malaysia dan juga kedudukan raja-raja Melayu.

Kali ini, kata Mujahid, pengisian akan dibuat sepenuhnya bagi mempastikan semua sektor rakyat bersedia untuk bersama-sama membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kami yakin, dengan cerita kejayaan yang telah kerajaan Pakatan buat, rakyat akan yakin kita mampu memberikan jauh lebih baik berbanding BN," katanya lagi. -Hrkh

Syarikat Induk SYABAS, Puncak Niaga Pecat 17 Kakitangannya

Pekerja Puncak Niaga Yang Dipecat Berhimpun Tuntut Keadilan

Bekas kakitangan PNSB yang dipecat 30 Oktober lalu mengadakan perhimpunan secara aman di bangunan PNSB, Shah Alam. Mereka mendakwa tindakan memecat tersebut sebagai tidak adil dan tidak telus.

SHAH ALAM: Seramai 12 bekas pekerja Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) telah mengadakan perhimpunan aman berhampiran Ibu Pejabat Puncak Niaga di sini bagi membantah pemecatan mereka yang didakwa dibuat secara tidak adil dan telus.

Mereka yang berhimpun selama kira-kira satu jam itu mendakwa tindakan PNSB memecat 17 kakitangannya secara serta-merta tanpa alasan yang kukuh adalah satu bentuk penganiayaan dan meminta supaya nama mereka dibersihkan kembali.

"Perhimpunan hari ini diadakan bagi menuntut keadilan. Kami mahu nama kami dibersihkan dan kami diterima bekerja semula," kata bekas Pengurus Kanan Jabatan Operasi dan Penyelenggaraan PNSB, Kaharuddin Mohd Ali yang merupakan salah seorang daripada 17 kakitangan syarikat konsesi air Selangor itu yang dipecat.

Menurut Kaharuddin, semua kakitangan PNSB yang dipecat datangnya dari pelbagai jabatan.

Mereka yang terdiri daripada kakitangan eksekutif, bukan eksekutif dan pengurusan telah diberikan notis pemberhentian kerja 24 jam bertarikh 19 Oktober 2010.

Walau bagaimanapun, notis tersebut hanya diserahkan kepada mereka pada 30 Oktober berserta arahan meninggalkan syarikat serta-merta.

"Sebelum dipecat kami tidak pernah terima surat tunjuk sebab, surat amaran atau apa-apa tindakan disiplin mahu pun siasatan dalaman," katanya.

Dalam perhimpunan yang diadakan berhampiran bangunan PNSB yang terletak di Seksyen 13 Shah Alam itu, 12 bekas pekerja terbabit membawa sepanduk dan poster yang menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada ahli lembaga pengarah PNSB.

Antara yang dilaungkan menerusi sepanduk termasuklah 'Exco Puncak Niaga Kejam! Pecat Kakitangan Melayu Sesuka Hati', 'Kami Dianiaya Maruah Kami Tercemar' dan sebagainya.

Tiga adik-beradik pula membawa poster berbunyi 'Ayahku Teraniaya Dibuang Kerja'.

Tiga kanak-kanak ini turut memperjuangkan keadilan untuk bapa mereka.

Kaharuddin yang ditemui selepas perhimpunan itu berasa kesal kerana 15 daripada mereka yang dipecat terdiri daripada kakitangan berdisiplin, jujur dan komited dalam memberikan perkhidmatan.

"Kami dipecat secara tidak adil dan tidak diberi peluang untuk membela diri walaupun ada di antara kami yang telah berkhidmat selama lebih 15 tahun dengan syarikat ini," katanya yang telah berkhidmat dengan syarikat tersebut selama hampir 15 tahun.

Pada 8 Julai 2010, mStar Online telah menyiarkan berita awal berhubung pemecatan ini bertajuk 'Puncak Niaga Pecat Pekerja?'.

Laporan tersebut bagaimanapun telah ditarik balik pada 16 Julai 2010 setelah PNSB memberi kenyataan menafikan laporan tersebut.

"Pemecatan secara serta-merta pada 30 Oktober lalu telah membuktikan berita awal yang disiarkan mStar Online adalah benar dan sahih," kata Kaharuddin lagi.

Kaharuddin bersama rakan-rakan lain yang bernasib sama turut mendakwa pemecatan dilakukan tanpa mengikut prosedur yang betul dan tidak telus.

Empat sesi kaunseling dalam tempoh enam bulan dikatakan sebagai helah Exco PNSB bagi mengaburi pihak berkuasa untuk 'menghalalkan' tindakan mereka.

"Sesi kaunseling tersebut hanyalah berbentuk temubual. Kami juga dipaksa menandatangani Borang Penilaian Kaunseling yang tidak diketahui apa ulasannya tanpa diberikan walau satu salinan," katanya.

Hadir sama pada perhimpunan tersebut ialah Setiausaha Pejabat ADUN Kota Damansara, Sivaran Arumugam.

Pada 21 Disember ini, satu pertemuan akan diadakan di antara kakitangan PNSB yang dipecat itu dengan pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor bagi menuntut keadilan berhubung perkara ini.

Sementara itu, pihak media cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak PNSB berhubung perkara ini tetapi gagal.

Pihak petugas dan polis bantuan kelihatan mengawal pintu masuk bangunan tersebut dan tidak membenarkan wartawan dan jurugambar memasuki perkarangan bangunan PNSB selepas perhimpunan berlangsung. -mstar
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .