Ikuti Blog ini

ANAK: Isa, Tokoh Kitar Semula Tak Layak Terajui FELDA

Anak: Isa tidak layak terajui Felda

KUALA LUMPUR : Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) membantah keras pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda yang baru dan mendesak Perdana Menteri menarik semula pelantikan tersebut.

Pengerusinya, Mazlan Aliman yang kecewa dengan pelantikan itu berkata, Isa tidak layak untuk memegang jawatan tersebut kerana latar belakangnya yang pernah terbabit dengan politik wang dalam pemilihan Umno pada 2004.

"Saya mewakili Anak membantah keras pelantikan Tan Sri Isa Samad ini. Berdasarkan salah laku yang pernah dilakukan beliau, sudah cukup jelas beliau bukan pemimpin beramanah yang sepatutnya menjadi pilihan (Datuk Seri) Najib (Razak).

"Sehubungan itu saya mendesak Perdana Menteri menarik balik pelantikan itu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mazlan yang juga exco lajnah pembangunan tanah dan wilayah PAs Pusat juga menegaskan, sekiranya Najib enggan berbuat demikian pihaknya akan membuat pungutan suara warga Felda yang membantah pelantikan itu.

"Jika kerajaan tidak berbuat demikian saya ingin menyatakan ketegasan kita bahawa Anak akan membuat satu pungutan suara iaitu referendum sejuta tandatangan dan kita akan serah kepada Perdana Menteri supaya menarik balik pelantikan ini.

Tambahnya, Anak juga tidak teragak-agak untuk memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara itu sekiranya bantahan mereka tidak dipedulikan.

"Kalau Perdana Menteri enggan tarik (pelantikan) juga, kita tidak teragak-agak untuk serah memorandum bantahan dan tandatangan ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

In keraja ujarnya, masa depan Felda yang merupakan agensi pembangunan tanah milik orang Melayu tidak harus diperjudikan kepada invidu yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu Mazlan menyifatkan pelantikan itu sebagai tanda Najib tidak mengambil kira perasaan warga Felda yang mengharapkan pemimpin yang lebih baik mengambil alih tanah rancangan itu.

"Saya sangat sedih bila kerajaan bawah pimpinan Najib tak pernah mengambil kira perasaan dua juta warga Felda yang mengharapkan pengganti kepada Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor mestilah orang yang lebih baik.

"Kita harapkan sekurang-kurangnya orang yang mengambil alih felda ini seperti Tan Sri Raja Alias yg menerajui Felda suatu ketika dahulu tetapi nampaknya kita telah turun 360 darjah.

"Dalam keadaan nama baik Felda sedang diperkatakan dengan pelbagai isu sepatutnya kerajaan memilih tokoh yang boleh membersihkan isu-isu tersebut," katanya.

Beliau mempersoal kerajaan yang tidak memilih tokoh-tokoh dari anak Felda sendiri untuk menerajui agensi tersebut sedangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad maslan sendiri pernah menyatakan statistik tokoh-tokoh dari anak Felda.

"Kita baru didedahkan dengan statistik terbaru jumlah profesional, ahli akedemik yang lahir daripada anak peneroka. Kenapa kita tidak ambil mereka? Kita ada anak peneroka yang berjaya dalam syarikat GLC, menjadi ahli akedemik, pengarah jabatan, adakah mereka ini tidak layak untuk memimpin Felda sehingga mengambil tokoh yang dianggap sudah expired?

"Tokoh kitar semula seperti Isa ini tidak wajar sama sekali diambil semula dalam mana-mana syarikat kerajaan. Saya yakin kalau kita buat tinjauan tidak ada warga Felda yang akan menerima beliau melainkan mereka yang selama ini menjadi pak angguk dan pak turut kepada kerajaan," tegasnya.

Isa yang juga Adun Bagan Pinang hari ini menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda.

Isa meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah dan digantung keahlian Umno selama 6 tahun kerana terlibat dengan politik wang dalam pemilihan Umno 2004.

Kerana jemput Ustaz Hadi, Khusrin beri amaran

GOMBAK : Kerana menjemput Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan tazkirah di suraunya, pengerusi Surau Al Ehsan, Taman Samudera dekat sini diberikan surat tunjuk sebab oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamad Khusrin Munawi.

Amaran itu diberikan Khusrin melalui satu surat yang ditandatangani beliau bertarikh 17 Disember lalu.

Melalui surat itu, Khusrin memberikan amaran kepada pengerusi surau itu kerana menjemput penceramah tanpa tauliah iaitu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk berceramah di masjid itu pada 22 November 2010 yang lepas.

Hari ini Bernama melaporkan Khusrin telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru iaitu ketua pentadbir kepada kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat itu.

(Gambar: Surat yang ditandatangani Khusrin yang ditujukan kepada Pengerusi Surau Al Ehsan)

Namun begitu, pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataannya menjelaskan perlantikan itu belum muktamad kerana cadangan perlantikan Khusrin oleh Ketua Setiausaha Negara tidak pernah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Justeru, Menteri Besar telah menghantar surat kepada DYMM Sultan Selangor memaklum bahawa beliau tidak dihubungi tentang cadangan tersebut.

Dalam pada itu Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut dengan menubuhkan sebuah panel temuduga sejajar dengan nota amalan (practice notes). Panel tersebut telah memilih tiga nama yang difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut.

Menteri Besar kemudiannya telah menghantar tiga nama tersebut kepada DYMM Tuanku Sultan untuk mendapat perkenan. Sehubungan itu, Menteri Besar akan mengadap DYMM Tuanku Sultan pada 29 Disember 2010.

Dalam suratnya kepada pengerusi surau Al Ehsan ini, Khusrin berkata, jabatannya (Jais)m akan mengambil tindakan terhadap pengerusi surau itu di bawah peruntukan kaedah-kaedah pegawai masjid dan jawatankuasa kariah (Selangor) pindaan 2001 jika gagal memberikan penjelasan dan alasan yang munasabah.

Menjadi satu amalan biasa bagi mana-mana surau khasnya di negeri untuk menjemput para penceramah yang dianggap mengetahui hal ehwal agama untuk memberikan tazkirah di surau mereka.

Tazkirah biasanya diberikan selepas sembahyang Maghrib sambil menunggu waktu Isyak tiba iaitu kira-kira 30 hingga 45 minit.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS telah memberikan tazkirah di surau itu pada 22 November lalu dan kira-kira sebulan selepas itu jawatankuasa surau melalui pengerusinya menerima amaran ini.

Sebelum ini, ketika majlis perasmian Masjid Bandar Tasik Puteri, Rawang, Khusrin (gambar) dalam ucapannya telah memberikan amaran, pihaknya tidak akan teragak-agak menukar balik AJK Masjid yang dipilih oleh ahli kariah jika mereka tidak mematuhi arahan pihaknya.

"Tuan-tuan kena ingatan sistem perlantikan nazir dan AJK masjid di Selangor adalah satu-satunya kaedah yang berlaku di negara ini.

"Para nazir perlu patuh dan memberikan komitment kepada Majlis Agama Islam Selangor sebagai tanda terima kasih kerana mereka yang melantik tuan-tuan," katanya.

Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri Selangor, sistem pemilihan AJK masjid dan surau dibuat secara demokrasi dan pihak yang dipilih anak-anak kariah akan dilantik oleh Majlis Agama Islam Selangor berbanding sebelum ini pemilihan dibuat melalui perlantikan terus bukan pemilihan secara demokrasi. -Hrkh

Siapakah menteri rogol amahnya?

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Soalan siapakah menteri yang terlibat merogol seorang pembantu rumah Indonesianya kini menjadi persoalan paling hangat diperkatakan ekoran pendedahan kembali isu ini oleh WikiLeaks.

Laporan awal Harakahdaily mengenai hal ini telah menjadi berita paling hangat dan paling ramai dibaca oleh pelayar Harakahdaily.

Dalam laporan itu, Harakahdaily melaporkan kembali tulisan pemimpin akhbar pro BN, Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahirudin Atan dalam blognya mengenai peristiwa seorang menteri merogol pembantu rumahnya pada tahun 2007 lalu.

Namun menteri berkenaan selamat walaupun laporan mengenainya sampai ke Kedutaan Indonesia, Kedutaan Amerika bahkan juga ke pejabat Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Badawi.

Semalam, NGO Tenaganita menyiarkan kembali satu kenyataan akhbar yang pernah dibuat oleh Migrant Care, sebuah badan kebajikan pekerja Indonesia yang mengesahkan kejadian yang berlaku pada tahun 2007 itu.

Kenyataan yang ditandatangani oleh Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director) dibuat pada 1 Ogos 2007.

Dalam kenyataan akhbar itu, Migrant Care berkata, pembantu rumah Indionesia itu bernama Robengah dan ketika itu dia berada di bawah penyeliaan Migrant Care.

Dalam kenyataan itu juga, Migrant Care menamakan RELA sebagai salah satu badan yang sangat dimarahi oleh warga Indonesia walaupun Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan diplomatik yang sangat baik.

Satu blog popular, Tukartiup juga kini memainkan sentimen siapakah perogol bertaraf menteri itu?

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan, menteri berkenaan telah bersara namun menurut maklumat terbaru, dia masih berada dalam kebinet kerajaan Malaysia sekarang.

Sementara itu, Country Director Migrant Care, Alex Ong (gambar) ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengesahkan kejadian itu.

"Beliau dirogol pada 19 Februari 2007 di Kuala Lumpur. Kemudiannya dihantar balik ke Indonesia pada 20 Februari 2007," kata Alex kepada Harakahdaily.

Selepas mendapat maklumat dari orang ramai, kata Alex, Migrant Care telah menjejak mangsa ini ke kampungnya yang terletak di Banjar Negara, Jawa Tengah.

"Dua kakitangan kami telah menemui dan mewawancara beliau pada 23 Julai 2007 di Banjarnegara," kata Alex lagi. Migrant Care kemudiannya telah mengeluarkan kenyataan media pada 1 Ogos 2007.

Ketika ditanya, apa berlaku selepas itu, Alex memberitahu, tindakan susulan tidak boleh diambil kerana wanita berkenaan tidak mahu diganggu kerana tidak mahu malu dan juga akibat dari ketakutan.

"Dia telah diminta bersumpah untuk tidak memecahkan rahsia itu jika tidak akan disumpah tiga keturunan," cerita Alex kepada Harakahdaily.

(Gambar perpustakaan: Alex (tengah) bersama Che Ishak (kanan) dan Taufek ketika berbincang bagi membawa pulang Azreen dari Lombok, Indonesia)

Sebelum ini, Migrant Care pernah membantu Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan Adun Paroi, Taufek Abdul Ghani untuk membawa pulang Azreen Che Ishak dari Kampung Hulu Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa lari pemuda Indonesia ke Lombok, Indonesia.

Husam membantu keluarga Che Ishak yang berasal dari Kelantan itu melalui NGO yang dipimpinnya ketika itu, Kijang Care.

Lagi Bas 2 Tingkat Terbalik

2 parah, lapan cedera di Jalan Raub-Bentong

RAUB: Sebuah lagi bas dua tingkat terbalik, kejadian kedua dalam tempoh seminggu menyebabkan lapan cedera, termasuk dua parah dalam kemalangan di Kilometer 363 Jalan Raub-Bentong awal pagi semalam.

Kejadian jam 5.20 pagi itu membabitkan bas milik Mahligai Ekspres dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Klang, berlaku kira-kira 500 meter dari sempadan Raub-Bentong.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Shamsudin Wan Osman, berkata dua penumpang yang cedera parah masing-masing dimasukkan ke Hospital Raub dan Hospital Temerloh, manakala enam lagi diberi rawatan pesakit luar.

"Seorang penumpang lelaki berusia 40-an patah tulang rusuk dan cedera di kepala, manakala seorang penumpang wanita berusia 30-an cedera di perut.

"Enam lagi penumpang yang cedera dibenar meneruskan perjalanan selepas menerima rawatan," katanya dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan tidak menolak kemungkinan kemalangan itu berlaku akibat kecuaian pemandu kerana ia berlaku di jalan yang lurus dan cuaca baik.

Wan Shamsudin berkata, siasatan mendapati bas berkenaan yang baru sebulan digunakan membawa 42 penumpang, bertolak dari Kota Bharu pada kira-kira jam 9.30 malam.

"Ujian air kencing mendapati pemandu berusia 46 tahun terbabit negatif dadah, tetapi siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, sebelum kejadian itu tiga penumpang bas terbabit ditahan dalam sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Benta pada kira-kira jam 4 pagi.

Katanya, tiga penumpang terbabit didapati positif dadah selepas dijalankan ujian air kencing. -BH

Speaker Parlimen Malaysia ibarat pagar makan padi

Minggu lepas saya menulis mengenai perlembagaan yang lumpuh. Sebelum itu saya menulis tentang perlembagaan tidak diisi. Saya katakan kedua-duanya sama saja kerana dalam kedua-dua senario itu, perlembagaan tidak efektif dan oleh kerana itu timbullah suasana kelam kabut.

Kita semua maklum di mana-mana pun suasana kelam-kabut itu timbul kerana dua sebab; sama ada tidak ada peraturan atau kerana peraturan tidak diikut atau tidak dihormati. Macam keadaan di jalan raya dan lebuh raya kita.

Berbalik perlembagaan ia adalah undang-undang utama yang juga undang-undang tertinggi. Undang-undang menjadi penanda aras untuk semua; baik kerajaan, Parlimen atau rakyat atau siapa saja.

Meskipun begitu perlembagaan hanyalah sebuah dokumen. Ia bukan sebuah lampu ajaib sebagaimana dimiliki Aladin. Ini bermakna untuk menghidupkan segala peraturan dan nilai yang terkandung di dalam perlembagaan itu kita semua perlu komited dengannya. Perlembagaan Persekutuan, melalui Seksyen 1 Jadual Keenam mewajibkan hakim-hakim berikrar untuk “memelihara, melindungi dan mempertahankan” perlembagaan. Anggota Kabinet dan Ahli-ahli Parlimen juga diminta berbuat demikian.

Prosiding di Parlimen telah pun diatur oleh Perlembagaan. Sama ada secara langsung melalui peruntukan di bawahnya atau melalui Perintah Tetap yang dibuat Parlimen atas autoriti Perlembagaan. Jika begitu mengapa berlaku kekecohan berlaku di Parlimen selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim digantung pada 2 Disember lalu?

Sudah pasti di sana ada peruntukan atau amalan yang telah termaktub sekian lama dilanggar atau tidak dipedulikan. Pihak Barisan Nasional (BN) menyebut kuasa mutlak speaker. Mereka begitu emosional sehingga Datuk Seri Nazri Aziz sampai ke tahap memperbodohkan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat khususnya Karpal Singh yang mewakili Anwar.

Memang kuasa speaker, sebagaimana juga prosiding dalam dewan, tidak boleh dibawa ke mahkamah. Tetapi yang jadi masalah di sini ialah apa yang berlaku di Perak: mahkamah memutuskan prosiding dalam Dewan dan kuasa speaker boleh dibawa ke mahkamah. Alasan yang diberikan ketika itu ialah perlembagaan ialah undang-undang tertinggi dan dewan berada di bawah perlembagaan.

Tafsiran yang betul ialah mahkamah tidak boleh campur urusan Dewan kerana itulah yang disebut oleh Perlembagaan. Dan undang-undang ini sebenarnya telah pun dipakai mahkamah sebelum berlaku krisis politik di Perak pada 2009. Sebagaimana dalam soal kedudukan menteri besar, mahkamah dengan tiba-tiba memberi tafsiran baru yang menyebabkan undang-undang kita jadi tunggang-langgang. Suka saya menyebut di seluruh Komanwel, termasuk di Amerika Syarikat, undang-undang yang betul ialah Dewan mempunyai kedudukan dan autonomi yang tidak diganggu oleh mahkamah. Betul atau tidak keputusan itu mahkamah tidak akan campur.

BN cuba membawa balik undang-undang asal. Malam Selasa lepas Nazri muncul dalam televisyen untuk menghujah kedudukan itu. Saya tidak pasti apa yang Barisan akan buat selepas ini kiranya isu kerusi BN yang terbatal dalam DUN Kedah – yang juga menyentuh kuasa speaker – timbul lagi.

Di negara-negara maju seperti United Kingdom soal-soal seperti kuasa speaker ini tidak jadi isu. Semua orang terima dan hormat. Hanya negara-negara seperti Malaysia sahaja orang bergaduh tentang kuasa speaker. Dan sebelum ini kita sudah menyaksikan begitu ramai Ahli Parlimen digantung: Fan Yew Teng, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Fong Po Kuan dan Gobind Singh. Cuma apabila yang terkena itu Zambry, lain pula undang-undangnya. Tetapi apabila yang terkena Anwar, Karpal, Sivarasa dan Azmin kita diminta menerima undang-undang asal.

Di negara-negara parlimennya bertaraf dunia apa dibincangkan ialah apakah benar Apco yang dikatakan ada hubungan dengan regim Yahudi itu benar-benar mempunyai peranan dalam pembentukan slogan 1Malaysia? Untuk itu Anwar perlu diberi ruang untuk mengemukakan bukti yang ada padanya. Kita perlu ingat, dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan memerintah adalah milik Dewan. Dengan itu ia perlu menjawab soalan Dewan. Sebab itu adalah salah bagi Dewan menafikan ruang untuk Anwar bercakap.

Dari segi politik penafian itu menggambarkan yang BN tidak berani berhadapan dengan kenyataan. Dan ini pelik kerana Barisan masih mempunyai majoriti dalam Dewan. Kalau apa yang dikatakan Anwar itu benar sekalipun apa yang BN hendak takutkan? Dalam sistem kita majoriti adalah segala-galanya.

* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 21 tahun

Kelantan belanja RM80 juta bantu SAR

SHAH ALAM, 27 Dis: Kerajaan Negeri Kelantan telah membelanjakan lebih RM80 juta untuk membantu Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu selama 20 tahun memerintah, tegas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan itu lberkata, semua sumbangan dan bantuan itu dapat dijayakan di dalam keadaan kerajaan negeri tidak banyak duit.

"Jika Kerajaan Kelantan mempunyai banyak wang seperti Kerajaan Selangor, sudah pasti banyak perkara dapat dilakukan," tegasnya semalam selepas berucap di atas tajuk Pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Program Pendidikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat: Ke Arah Membangun Masyarakat Adil dan Sejahtera.

Beliau berucap demikian ketika bersama membentangkan ucapan pleno dalam Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan pembangunan Modal Insan Selangor dengan kerjasama Lajnah Pendidikan PAS Pusat (LPPS).

Konvensyen bertema Membangun Gagasan Baru Pendidikan Islam Malaysia itu dirasmikan oleh Pengerusi LPPS, Datuk Abu Bakar Chik merangkap penasihat program selepas menyampaikan ucaptama.

Turut menyampaikan pandangan ketika membentangkan kertas kerja adalah Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Hajah Halimah Ali dan Ketua Pengarah PASTI Malaysia yang juga pengarah program, Cikgu Azrin Abdul Majid.

Nik Amar turut menjawab soalan peserta yang ingin tahu mengenai pengiktirafan kerajaan negeri terhadap lulusan Sekolah Rendah Islam (SRI) yang dikatakan gagal diterima masuk ke sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) termasuk Maahad Muhammadi.

Menurutnya, kemasukan ke sekolah terkawal seperti Maahad Muhammadi terikat dengan keputusan peperiksaan UPSR dengan mendapat 4A 1B yang menjadi ukurannya dan mereka yang mempunyai kelulusan baik di dalam peperiksaan SRI mendapat bonus kemasukan.

"UPSR menjadi ukuran kerana ia bersistematik walaupun kita tidak suka kepada semua itu tetapi itulah sukatan yang terbaik setakat ini sedangkan peperiksaan SRI pula masih tidak mencapai tahap terbaik sebab tidak seragam antara semua SRI.

"Justeru, saya sarankan pihak SRI di seluruh negara dapat selaraskan semua silibus dan tahap peperiksaan mereka biar selaras agar senang mana-mana pihak untuk iktiraf lulusan dari SRI.

"Tidak timbul langsung masalah enggan memberikan pengiktirafan kepada lulusan SRI namun jika SRI dapat sistematikkan tahap pepeiksaan mereka, ia pasti akan menjadi penentu kemasukan ke mana-mana sekolah YIK termasuk Maahad Muhammadi," tegasnya.

Penanya soalan menyatakan anaknya yang kini dapat bersekolah di bawah YIK juga mendapat keputusan 3A dalam UPSR, Mohd Amar berkata, memang tidak cukup syarat dan ternyata kini dapat juga bersekolah di bawah YIK.

Sebelum ini, isu di atas menjadi rungutan agak meluas di dalam internet tentang rungutan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan pendekatan pihak pendidikan Kerajaan Negeri Kelantan yang disifatkan tidak memberikan peluang lebih besar kepada lulusan SRI sedangkan sudah 20 tahun memerintah. -Hrkh

Presiden lancar Majlis Perwakilan PAS Luar Negara

MANCHESTER : PAS mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan melancarkan PAS Representative Council of UK & Eire (Majlis Perwakilan PAS Luar Negara) di Manchester Conference Center, Manchester, United Kingdom (UK) oleh Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, semalam.

Majlis ini turut dihadiri oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi PAS Representative Council of UK & Eire, Jupri Bade dan rakyat Malaysia di United Kingdom.

Majlis Perwakilan ini dianggotai oleh para teknokrat dan profesional Malaysia di UK dan Ireland bagi meneruskan dakwah Islam buat semua rakyat Malaysia di seluruh dunia amnya dan di bumi United Kingdom dan Ireland umumnya.

“Sebagaimana kita mengamalkan demokrasi di Malaysia, kita juga mengamalkan demokrasi di UK. Malah rakyat Malaysia di UK dan Ireland boleh belajar daripada keterbukaan demokrasi di UK yang sebenarnya dipelajari dan dikaji daripada sistem Islam itu sendiri.

“Masyarakat Eropah sebelum kedatangan Islam, tidak mengenali sistem demokrasi seperti yang ada pada hari ini, dan hanya mengenalinya selepas mengenali keadilan Islam kepada semua,” kata Tuan Guru Abdul Hadi pada majlis itu.

Di dalam kenyataannya pada majlis pelancaran tersebut, Jupri Bade yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan yang pertama menyebutkan bahawa keanggotaan majlis hanya dilantik secara terus oleh PAS, bagi mewakili dan meneruskan visi dan misi PAS dalam memperjuangkan dan menegakkan Islam. -Hrkh


Ali Rustam Mahu Buat Apa Lagi Dengan RM2 Bilion?

Negeri sudah Maju 2010 namun masih perlukan RM2 bilion. Untuk apa semua ini? Semua ini adalah untuk menunjuk-nunjuk serta untuk pembaziran yang dilakukan secara bermaharajalela oleh kerajaan pimpinan Ali Rustam selaku Ketua Menteri.

RM2 bilion tersebut diperlukan oleh kerajaan Melaka untuk meraih serta muncul sebagai negeri bandar pertama di negara Malaysia. Mengapa perlu dikejar negeri bandar pertama sedangkan rakyat negeri Melaka pun tidak seperti sebuah negeri maju bahkan semakin banyak kemiskinan yang melanda rakyat Melaka akibat kerakusan kerajaan Ali Rustam.

Bagi menjadi sebuah negeri bandar pertama yang menelan kos RM2 bilion tersebut, ia membabitkan pembinaan empat jejambat persimpangan bertingkat antara Ayer Keroh ke pusat bandar yang melibatkan kos sehingga RM40juta.

Ia turut membabitkan pembinaan jalan empat lorong yang menghubungkan negeri Melaka dengan Johor dan Negeri Sembilan. Jalan yang dikenal pasti adalah jalan pantai yang akan menghubungkan Banda Hilir, Ayer Kroh-Durian Tunggal-Batang Melaka, Bemban-Jasin-Tangkak, Kandang-Jasin-Selandar dan Muar-Linggi.

Piala AFF Suzuki Malaysia Menang 3-0

Piala Suzuki AFF: Malaysia kalahkan Indonesia 3-0


KUALA LUMPUR: Malaysia menang selesa 3-0 ke atas Indonesia pada final pertama Piala Suzuki AFF, di Stadium Nasional Bukit Jalil, selepas wisel dibunyikan tanda tamat permainan malam ini.

Gol Malaysia diperoleh menerusi Safee Sali pada minit ke-60 dan 72, manakala Asaari Shamsudin pada minit ke-67.


Skuad negara akan bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta Rabu ini untuk final kedua.

Dengan kemenangan itu, Malaysia semakin hampir mendakap Piala Suzuki AFF dengan berbekalkan tiga gol di Indonesia nanti.

Perlawanan agak seimbang pada separuh masa pertama tetapi beberapa peluang Malaysia untuk mendahului tidak dapat disempurnakan.

Masuk separuh masa kedua, Malaysia menggandakan asakan dan pada minit ke-50 pengadil terpaksa menangguhkan perlawanan hampir 10 minit berikutan tindakan penonton memancarkan cahaya laser ke arah pemain.






Najib buat Faekah Husin rasa geli

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri (PM) bahawa slogan 1Malaysia bukan alat propaganda politik BN tetapi wadah penyatuan membina masyarakat amat menggelikan hati, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin
Beliau berkata, sebaiknya PM (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengarahkan syarikat yang membolot kontrak mencetak kain rentang dan banting slogan ini menarik balik semula kain rentang dan banting yang telah mereka cetak dan pasang.

Jika tidak, katanya ia akan menunjukkan PM menipu dalam terang.
“Rakyat melihat dengan jelas bagaimana lambang BN terpapar pada setiap banting yang dipasang.
“Gambar PM yang jauh lebih besar dari jalur gemilang juga menjengkelkan mata.
“Nasihat saya baik tarik semula sebelum diketawakan anak-anak.
“Apapun, isu yang lebih penting yang PM atau TPM harus jelaskan kepada rakyat ialah; jika benar ia adalah alat penyatuan dan bukan propaganda UMNO-BN mengapa perkara ini tidak pernah dibincang dan dibahaskan dalam parlimen?
“Mengapa ia tidak dimasukkan di dalam bajet Negara sedangkan bayaran bagi menghasilkan slogan “indah” ini mencecah RM100 juta.
“Mengapa hanya setelah Ketua Pembangkang membangkitkan perkara ini dengan kaitan kepada penglibatan APCO barulah Parlimen membahaskannya?
“Itupun bukan untuk membahaskan kewujudannya, bayaran ke atasnya, mahupun matlamat mewujudkannya tetapi mahu menghukum Ketua Pembangkang kerana mengetengahkannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Faekah berkata, sebarang perkara untuk kebaikan rakyat majmuk di Negara ini khusus perpaduan, pasti mendapat sokongan hatta dari Ahli Parlimen pembangkang.
Namun persoalannya, ini tidak di lakukan dan seluruh proses kewujudan 1Malaysia ini cuba dirahsiakan.

Dinar Emas Kelantan secara rasmi jadi mas kahwin di Kelantan

DINAR EMAS KELANTAN

Dinar Emas Kelantan dijadikan sebahagian dari mas kahwin dalam Majlis Nikah Perdana 2010 Peringkat Negeri Kelantan

Seramai 100 pasangan dinikahkan secara beramai-ramai di dalam majlis anjuran kerajaan negeri Kelantan tersebut secara percuma dengan segala kos ditanggung oleh kerajaan negeri kelantan.Majlis diadakan di PUTIK, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, program berkenaan berkenaan diadakan lebih berbentuk kebajikan bagi membantu golongan belia dan beliawanis berkahwin.Kerajaan negeri Kelantan telah memperuntukkan pemberian wang dinar kelantan bernilai RM700 dan wang tunai RM500 untuk setiap pasangan.

"Peruntukan itu termasuk membiayai mas kahwin, jamuan dan peralatan perkahwinan.

Seramai 100 pasangan mengambil bahagian pada program itu yang dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Majlis Nikah Perdana 2010 dihadiri oleh ribuan pengunjung dan sanak saudara pengantin dari seluruh Malaysia.

Antara yang menarik, ada pengantin yang baru memeluk islam dari kalangan orang asal dan OKU

Kenduri rakyat turut diadakan di perkarangan PUTIK sempena Majlis Nikah Perdana 2010 tersebut.

(Kata Tuan Guru, "Saya berkahwin pada tahun 1962 dengan maskahwin sebanyak RM100, alhamdulillah kekal hingga ke hari ini. Untuk anak-anak saya, saya letakkan harga maskahwin tidak melebihin RM1000. Pesan saya, janganlah letakkan maskahwin yang tinggi menyebabkan urusan perkahwinan menjadi sukar...")

Alhamdulillah, 'kesakitan' dan kesusahan akibat bahana kenaikan harga barang (oleh kerajaan BN) terubat sedikit dengan bantuan ikhlas kerajaan negeri Kelantan kpd pasangan yang mahu membina rumah tangga...





Keluarga Taib Mahmud Bersembunyi Di London

Tempat Persembunyian Keluarga Taib Di London

Bangunan Hampshire House menempatkan flat-flat paling mewah yang mempunyai ruang dalam yang luas yang bersebelahan dengan Hyde Park yang terkenal di dunia. Ianya juga terletak tidak jauh dari Marble Arch dan Oxford Street. Ianya merupakan tempat penginapan peribadi milik keluarga Ketua Menteri, Abdul Taib Mahmud.

Apartmen tingkat bawah yang kerap didiaman oleh keluarga Taib dianggarkan bernilai £8.5 million (RM 43 juta) dengan ruang kediaman seluas 4,000 kaki persegi. Semua ahli keluarga Taib dikatakan kerap mendiami apartmen ini dan berkemungkinan mereka memiliki atau mempunyai akses kepada lebih dari sebuah apartmen, memandangkan ramai mereka dapat menginap di situ pada satu-satu masa.


Singgah di London sebentar dalam perjalanannya ke Mekah

Kami dapat mendedahkan sesuatu yang tidak dilaporkan dalam mana-mana akhbar tempatan di Sarawak pada hari Selasa, semasa Taib bertolak ke Mekah untuk mengerjakan Haji. Dalam penerbangannya ke Tanah Suci Mekah, beliau didapati melencong ke London terlebih dahulu dan menginap di apartmen mewahnya di Hampshire House.

Sarawak Report mendapati salah satu alasan beliau melencong ke London adalah untuk bertemu dan berkumpul dengan ahli-ahli keluarga sebelum ke Mekah. Kami juga mendapati bahawa sehari sebelum ketibaan beliau, para pekerja di Hampshire House telah melakukan persiapan, dan maklumat yang kami terima, keluarganya telah merancangan untuk mengadakan pertemuan bagi memulihkan ketegangan di kalangan ahli-ahli keluarganya selama ini. Adalah dipercayai juga bahawa pertemuan ini akan mengeratkan persahabatan mereka yang mungkin diketahui oleh para pengundi mereka yang telah mulai bosan dengan mereka, menjelang pilihanraya nanti.

Saudara beliau, Onn Mahmud, yang pernah bertindak sebagai penyelaras perniagaannya, tetapi kemudiannya telah menjauhkan diri dari beliau, telah juga dijemput untuk menghadiri pertemuan keluarga itu. Sejak menjauhkan diri dari ahli keluarga yang lain, Onn kurang menghubungi mereka. Rancangan mengatur pertemuan ini adalah diharapkan supaya setiap ahli keluarga saling maaf-memaafi sebelum mengerjakan Haji ke Mekah. Mereka juga ingin menunjukkan tauladan yang baik kepada para pengundi mereka di Sarawak.

Dilihat di London – Sulaiman Taib

Kami juga mengandaikan Ketua Menteri itu melencong ke Hyde Park kerana beliau dipercayai ingin menemui anaknya. Sehari sebelum ketibaan Ketua Menteri itu di Hyde Park, jurugambar Sarawak Report telah Berjaya merakamkan anaknya yang telah lama menghilangkan diri, iaitu Sulaiman Rahman Taib. Sulaiman tiba di tempat tersebut dengan kereta Mercedes berwarna hitam. Dia kelihatan bergegas masuk ke apartmen itu, yang kami percaya adalah tempat persembunyiannya selama ini.

Sulaiman Taib telah gagal memperlihatkan dirinya di khalayak umum di Malaysia sepanjang tahun lepas, walaupun dia masih seorang ahli Parlimen, di mana ‘kehilangannya’ telah menimbulkan bermacam-macam spekulasi. Walau pun umum tertanya-tanya akan kehilangannya, tetapi keluarganya tetap mendiamkan diri dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu. Dia telah lama tidak menjejakkan kaki ke Parlimen Malaysia atau mengunjungi para pengundinya di kawasan pilihanrayanya, di mana dia boleh dikira sebagai menyalahi tugas dan tanggunjawabnya sebagai penjawat awam yang dibayar gaji yang lumayan menggunkan wang pembayar cukai. Kehilangannya yang dianggap luar biasa itu telah mencetuskan khabar-khabar angin di kalangan umum yang menganggapnya telah meninggal dunia, atau menjalani rawatan penyakit ganjil.

Sarawak Report berasa begitu yakin kerana dapat melakukan khidmat awam dengan mengesahkan bahawa anak Ketua Menteri itu masih hidup, kelihatan sihat dan diandaikan masih mengeluarkan wang gaji menterinya di London. Sebenarnya ‘Rahman’ dapat ditemui beberapa kali di dalam atau di sekitar London sejak beberapa bulan yang lalu, dan terdapat spekulasi yang mengatakan dia mendapatkan khidmat perubatan yang baik di London, yang tidak terdapat di Sarawak atau Malaysia.

Pekerja Taib menyerang jurugambar kami

Walau pun pada kedudukan sosial yang tinggi dan terkenal, tetapi Taib sekeluarga tetap tidak suka pada cara kami menyiarkan berita mengenai pergerakan mereka, atau mendedahkan harta-harta yang mereka miliki. Rahman Taib yang ternampak jurugambar wanita kami, dan kemudiannya menjelaskan sesuatu kepada para pekerjanya, yang kemudian keluar dari bangunan apartmen tersebut untuk mendekati jurugambar kami itu.

Tidak lama kemudian pemandu keretanya mengasari jurugambar tersebut ketika dia sedang mengambil gambar-gambar penumpang-penumpang wanita yang keluar dari bangunan itu dan masuk ke dalam keretanya. Pemandu Taib telah menangkap leher jurugambar tersebut dan memaksanya memadamkan kesemua gambar dalam kameranya itu sehingga dia diselamatkan oleh seorang yang sedang lalu di tempat itu. Perkara tersebut kini sedang disiasat oleh pihak polis London sebagai kes mendatangkan kecederaan yang disengajakan. Kes seperti ini, walaupun selalunya disembunyikan dari pengetahuan umum di Sarawak, tetap dilarang di UK.

Pada lewat petang hari Selasa, jurugambar berkenaan percaya dia ternampak Ketua Menteri itu bergegas-gegas masuk ke dalam bangunan itu, tidak lama setelah penerbangannya dengan Singapore Airlines mendarat di lapangan terbang Heathrow. Sarawak Report ingin ingin mempelawa sesiapa dari kalangan pembacanya yang memiliki gambar-gambar Ketua Menteri yang lebih jelas semasa beliau masuk atau keluar dari bangunan Hampshire House, 12 Hyde Park Place, dihantarkan kepada kami, dan kami akan berasa bangga untuk memaparkannya untuk tatapan umum.

Siapakah pemilik flat bernilai berjuta-juta pound itu?

Sarawak Report ingin mengetahui dengan lebih terperinci lagi siapakah sebenarnya pemilik flat di tingkat bawah yang kerap didiami oleh keluarga Taib, dan juga merupakan kediaman Sulaiman. Menurut dokumen-dokumen yang terdapat di pejabat Pendaftar Tanah London, harta tersebut dimiliki oleh Sultan Abdul Halim Mu Adzam, salah seorang rakan kongsi Taib dari Malaysia yang pernah menganugerahkan Onn Mahmud dengan gelaran “Datuk”.

Hubungan erat kedua-dua keluarga ini, dan siapakah di antara mereka yang memiliki salah sebuah harta yang terkenal di London itu menimbulkan syak wasangka di kalangan umum. Dengan gaji rasminya sebagai Ketua Menteri selama 30 tahun, tidak mungkin Taib mampu memiliki kediaman semewah itu, dan kediaman itu pula hanya sebahagian dari harta-harta yang lainnya. Taib pernah dirakamkan menyebut, “Saya memiliki wang lebih dari yang dapat saya belanjakan”.

Ketua Menteri itu juga diketahui kerap menyembunyikan pemilikannya ke atas syarikat-syarikatnya dan juga harta-hartanya dengan meletakkan nama orang lain yang telah bersetuju secara peribadi menyerahkan balik apabila diminta olehnya. Sarawak Report dapat membuktikan beberapa kes di mana beliau meletakkan orang lain sebagai penama untuk memegang saham-sahamnya secara rahsia. Kekeliruan hakmilik rumah-rumah mewah yang diserahkan kepada keluarga Taib oleh Samling di US merupakan salah satu contoh taktik yang telah didedahkan oleh Sarawak Report.

Justeru itu, adakah kediamannya di Hampshire House sebenarnya dimilikinya, tetapi buat sementara waktu didaftarkan menggunakan nama rakannya yang seorang sultan? Jika tidak, dan jika betullah sultan itu yang memiliki kediaman tersebut, kenapakah baginda membenarkan keluarga Taib mendiami rumah tersebut seolah-olah mereka yang memilikinya? Kenyataan dari Ketua Menteri sendiri mengenai perkara ini, dan juga perkara-perkara lain yang melibatkan pemilikan harta yang begitu banyak seperti mana yang telah kami dedahkan selama ini, amatlah kami alu-alukan. -sarawakreport

Tambahan RM500: Kenapa Muhyiddin takut sangat?

PAS hari ini mengingatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar jangan mudah melatah jika tidak mahu sikap takut dan gelabah beliau terhadap janji Pakatan Rakyat terbongkar, lapor Harkahdaily.

idris ahmad information chief pas muktamar in kota bharuKetua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, parti Islam itu berasa pelik dengan sikap Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno yang sangat emosi terhadap komitmen Pakatan Rakyat untuk menaikkan RM500 sebulan kepada guru jika Pakatan Rakyat menerajui negara seperti diumum Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"PAS merasa pelik seorang Timbalan Perdana Menteri mencabar Datuk Seri Anuar Ibrahim menaikkan gaji guru-guru di negeri Pakatan Rakyat.

"Iltizam Pakatan Rakyat kepada guru-guru jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat, bukannya sekarang.

"Kenapa perlu takut dengan janji Pakatan Rakyat? Janganlah buat tuduhan yang tidak menentu," katanya.

azlanBeliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa tawaran Pakatan Rakyat untuk pendidik itu hanya janji politik dan sukar dilaksana untuk guru sahaja dan memberi alasan dengan mempersoal imbuhan kepada kakitangan awam lain.

Menurut Idris, untuk peringkat awal janji berkenaan hanya diberikan kepada guru namun semua kakitangan awam akan diambil perhatian juga selepas itu.

"Pakatan Rakyat mengambil tindakan awal untuk guru-guru sebagai satu penghargaan dan pengorbanan mereka mendidik rakyat di negara ini.

NONE"PAS menasihatkan Tan Sri Muhyiddin dapat turun ke bawah, memerhatikan bagaimana beban guru-guru yang berat, jangan hanya mendesak guru-guru melakukan macam-macam tugas," katanya.

Idris, sehubungan itu, menasihatkan Muhyiddin supaya sabar dan tidak emosi. Beliau juga mahu timbalan perdana menteri itu meneliti ayat-ayat yang terkandung dalam buku jingga yang merupakan manifesto Pakatan yang telah diedar di Konvensyen Pakatan Rakyat 19 Disember lalu.

Selaku Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin juga katanya, Muhyiddin tentu lebih arif dalam hal kewangan negara berbanding pendapatan kerajaan negeri yang terlalu kecil.

azlan"Jangan beliau bercakap macam ketua cawangan Umno sahaja.

"Pakatan Rakyat hanya berjanji untuk menaikkan taraf hidup rakyat dan meletakkan rakyat di tempat yang sepatutnya setelah 53 tahun rakyat dipinggirkan.

"Sekarang ini pun dengan kekangan kewangan negeri, Pakatan Rakyat telah membuat yang terbaik untuk rakyat, seperti skim kifalah, air percuma, bantuan pendidikan," katanya.

Gambar : Sekitar Majlis Perkahwinan Perdana Anjuran Kerajaan Kelantan

Menghulurkan bunga untuk isteri tersayang
Kata Tuan Guru, "Saya berkahwin pada tahun 1962 dengan maskahwin sebanyak RM100, alhamdulillah kekal hingga ke hari ini. Untuk anak-anak saya, saya letakkan harga maskahwin tidak melebihin RM1000. Pesan saya, janganlah letakkan maskahwin yang tinggi menyebabkan urusan perkahwinan menjadi sukar..."

YAB Tuan Guru sedang menyampaikan khutbah nikah


Wang tunai sebanyak RM500 daripada pihak kerajaan negeri. Kerajaan negeri Kelantan telah memperuntukkan pemberian wang dinar (RM700) dan wang tunai RM500 untuk setiap pasangan.
YAB Tuan Guru sedang menikahkan pasangan pertama




Salah satu pasangan Orang Asal. Sebanyak 18 pasangan Orang Asal telah dinikahkan di dalam majlis ini. Alhamdulillah.

Majlis Jamuan selepas majlis akad nikah




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .