Ikuti Blog ini

Pelik : Razak Baginda Minta Henti Fitnah TPM Dan Isteri Dalam Kes Pembunuhan Altantuya !!


KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dalam penampilan pertamanya sejak dibebaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu meminta semua pihak berhenti menyebar fitnah terhadap Timbalan Perdana Menteri dan isteri. Beliau berkata, dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor pernah menemui Altantuya adalah tidak benar. Abdul Razak berkata demikian pada sidang akhbar di Hotel Maya di sini.

[Sesuatu yang amat pelik, nampak benar yang pembebasan Razak Baginda ada campurtangan oleh TPM dan Isteri. Ini kerana sesuatu yang menghairankan kita bila beliau yang diragui pembebasannya oleh rakyat cuba untuk mempertahankan bakal PM Malaysia itu. Walhal seluruh dunia melihat terdapat ada kaitan langsung pemimpin itu dengan kes ini. Jika benar Najib tidak terlibat, beliau harus hadir ke mahkamah dan menyaman Raja Petra yang telah membuat akuan bersumpah terhadap beliau dulu. Kenapa Najib dan Rosmah tidak berani menyaman Raja Petra?. Bagaimana pula dengan bukti bergambar yang cuba ditunjukkan oleh sepupu Altantunya bahawa beliau nampak jelas tokoh itu bersama Altantunya di Paris dulu. Bukankah melucukan bila Razak Baginda cuba pertahankan Najib dalam keadaan orang mempertikaikan pembebasannya itu].


Perak sediakan RM2 juta bantu mangsa ISA


Kerajaan Perak sediakan RM2 juta bantu mangsa ISA

BAGAN SERAI - Kerajaan Pakatan Rakyat Perak akan memperuntukkan dana sebanyak RM2 juta bagi Tabung Khas Kebajikan Rakyat dalam Perbelanjaan Bajet 2009 terhadap kes-kes seperti penderitaan penahanan mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan keluarganya.

Menteri Besar, Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin mengumumkan demikian dalam pengulungan Perbelanjaan Bajet 2009 di Persidangan Akhir Dewan Negeri Perak di Ipoh baru-baru ini dan perkara ini dinyatakan oleh Exco Agama, Pendidikan Islam,Wanita dan Kebajikan, Haji Mohd. Zainuddin Mohd.Yusof ketika berucap merasmikan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parti Pakatan Rakyat di Bandar Baru, Bagan Serai kelmarin.

"Kerajaan Perak menubuhkan tabung khas untuk membantu rakyat ditimpa nasib malang seperti memastikan dapat memberi bantuan tetap terhadap kebajikan anak-anak dan isteri mangsa keluarga tahanan ISA selagi suaminya di dalam tahanan,"kata Mohd. Zainuddin.

Tegasnya, dana itu bertujuan membantu dalam perbelanjaan persekolahan anak-anak dan saraan isteri mangsa ISA yang keseorangan menanggung bebanan hidup keluarga.

Dalam ucapannya itu, beliau menjelaskan bahawa ISA adalah akta yang zalim di mana mangsa tidak diberi peluang untuk membela diri.

"Itulah sebabnya kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf ISA malah berusaha untuk menghapuskan akta tersebut dan setidaknya kem ISA di Taiping itu dinyahkan dari Perak segera,"katanya.

Tegasnya, ISA ditubuhkan di zaman penjajahan British di Tanah Melayu dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk membanteras pengganas komunis.

"Bukannya seperti dilakukan oleh umno-BN sekarang tangkap sesiapa sahaja dengan sesuka hati dan kenakan akta ISA itu dengan menyumbatkan mangsa di dalam Tahanan Kem Kamunting, Taiping tanpa bicara,"jelas Zainuddin.


Shah Rukh Khan Sibuk.... anugerah 'DATUK' tunda lagi.

Lupakan sahaja Shah Rukh kalau nak jadi Timbalan Presiden

“Shah Rukh Khant come” demikianlah tajuk muka tiga akhbar The Star hari ini. Menurut laporannya bintang Bollywood yang difikirkan layak menerima anugerah “Datuk” Melaka oleh Ketua Menteri Melaka itu tidak dapat hadir menerima anugerah tersebut pada tarikh yang ditetapkan kerajaan negeri iaitu 29 November ini.

Alasannya beliau sibuk.

Sebelum ini penganugerahan bintang-bintang kebesaran negeri sempena ulangtahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Melaka telah pun berlangsung tanpa kehadiran Shah Rukh walaupun beliau diseneraikan menerima gelaran tertinggi negeri itu juga atas alasan yang sama. Maka kelam-kabut dan bergelutlah kerajaan negeri menetapkan tarikh baru khas untuk mengalungkan gelaran kepada anak asing yang tidak pernah berjasa kepada negeri itu.

Dikhabarkan pihak TV juga akan menyiarkan secara langsung majlis untuk anak Bollywood itu nanti, dan kini tiba-tiba beliau tiada masa untuk Melaka kerana sibuk! Bagi saya ini suatu penghinaan kerana ternyata si Shah Rukh tidak ambil berat apalagi meletakkan Melaka sebagai satu keutamaan buat beliau. Saya tidak faham kenapa kita perlu meletakkan diri kita terlalu rendah seolah kebulurkan sangat kelibat beliau yang tidak langsung memperdulikan kita pun.

Kini sekali lagi kerajaan negeri mencari pula tarikh baru.

Kalau pun benar Ali Rustam mahu menang jawatan Timbalan Presiden Umno, tak perlulah mahu mencuri “glamour” melalui Shah Rukh. Malah saya meraskana puaka Shah Rukh ini nampak-nampaknya akan menghantui Ali Rustam dan berkemungkinan beliau nanti kecundang kerananya. Sekarang pun isu ini dijadikan bahan senda gurau oleh semua pihak termasuk kalangan Umno.

Jebat rebah kerana Taming Sari, Ali Rustam tersungkur angkara Shah Rukh!


Rakyat Menderita, Pimpinan UMNO Bina Istana RM3 juta.

http://buletinonline.net/images/berita14/rumahdhaifwanzainal.jpg

Setiu – Cerita kemiskinan rakyat Terengganu khususnya di daerah ini, tidak langsung menyedarkan pemimpin UMNO dan mengambil iktibar serta prihatin atas kesusahan rakyat . (Gambar - Wan Zainal dan keluarga)

Sebaliknya mereka terus mempamerkan kehidupan bermewah-mewah melalui laba yang mereka perolehi dari projek-projek kerajaan, tanpa merasa segan silu.

Sebuah akhbar media perdana baru-baru ini mendedahkan pasangan peneroka, Wan Zainal Wan Sulong, 55, dan isteri, Naimah Nik Li, 35, di kampong Alor Lek dekat sini, terpaksa meneruskan kehidupannya empat beranak dalam pondok buruk kerana terlalu miskin.

Wan Zainal yang didakwa mendapat rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) namun tidak berpindah dan terus tinggal empat beranak dalam pondok buruk kerana tidak mampu membayar deposit bekalan elektrik yang bernilai tidak lebih dari RM200.

Bahkan lebih malang beliau tidak mampu membayar tunggakan bil elektrik rumah usang yang didudukinya sebanyak RM181.00 sejak lapan bulan lalu.

http://buletinonline.net/images/berita14/mangsahujanbatu.jpg“Bagaimana hendak saya jelaskan kedua-duanya, pembayaran deposit dan bil elektrik jika pendapatan tidak menentu. Isteri pula sakit jantung, banyak berehat dari bekerja dan ini membuatkan kehidupan kami bertambah sukar.

“Bagi kami sebagai penduduk miskin nilai RM100 adalah besar walaupun kecil bagi orang lain. Jadi jalan terbaik ialah terus tinggal sahaja di sini,” kata Wan Zainal.

(gambar kiri - Atap bocor ditimpa hujan batu)

Begitu juga empat keluarga di Kampung Pak Ba dekat sini yang tidak dapat memperbaiki semula rumah mereka yang rosak ditimpa hujan batu.

Pasti mereka terpaksa tidur dalam kedinginan dengan atap yang bocor dalam musim tengkujuh ini, sejak bencana itu menimpa pada 21 September lalu.

http://buletinonline.net/images/berita14/wandaud.jpgSeorang bekas kakitangan awam Wan Daud A. Rahman, 59, (Gambar kanan) ditemui meluahkan rasa sedih dengan keadaan yang menimpa rakyat ini.

Apabila ditanya tentang kehidupan rakyat yang masih dalam kemisikinan, sedang pemimpin UMNO mendakwa kemiskinan telah dikurangkan, beliau berkata rakyat umumnya masih susah.

Beliau berkata yang terus kaya dan terus bermewah-mewah adalah pemimpim-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.

“Rakyat merana sedang seorang pemimpin UMNO dalam daerah ini rancak menyiapkan istana bernilai RM3 juta,

http://buletinonline.net/images/berita14/din.jpg“Itulah sikap pemimpin UMNO yang dikatakan membela rakyat,” katanya ketika ditemui Buletinonline semalam.

Menurutnya pimpinan UMNO Bahagian Setiu itu sedang membina istananya di kawasan Putrajaya tidak berapa jauh dari Bandar Permaisuri.

Rakannya, seorang pengusaha, Zainal Abidin Abd. Rahman, 58, (Gambar kiri) memberitahu pemimpin UMNO tersebut cukup berkuasa walaupun baru berusia 40-an.

“Dia adalah orang yang berdiri dibelakang Ketua UMNO Bahagian Setiu, juga menjadi penyumbang kewangan dan tulang belakang kepada pergerakan UMNO Setiu,” katanya.

Tinjauan yang dibuat dikawasan Putrajaya semalam mendapati sebuah banglo mewah milik pemimpin UMNO itu sudah mencapai 70% pembinaannya (Gambar bawah)

Kawasannya cukup strategik, terletak dilereng bukit, persis rumah-rumah jutawan di bukit Damansara Kuala Lumpur sedangkan mereka adalah pemimpin yang dimanahkan oleh rakyat !

http://buletinonline.net/images/berita14/rumahsabri.jpg



Peralihan kuasa sia-sia - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 20 Nov - Jika Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan polisi-polisi yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sia-sia sahaja peralihan kuasa, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, beliau menjangka, para pengundi akan terus menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) jika para pemimpin barunya meneruskan polisi-polisi hari ini dan tidak bersungguh-sungguh memerangi rasuah dan politik wang.

"Najib menyatakan bahawa beliau akan meneruskan Islam Hadhari. Ini bukan petanda yang baik kerana ia menunjukkan peralihan yang berlaku hanya peralihan bentuk tubuh badan sahaja, bukan polisi-polisi.

"Para pengundi tidak suka polisi-polisi yang dibawa oleh Abdullah, oleh itu mereka akan terus menolak Umno. Oleh itu, peralihan itu sia-sia sahaja," The Star memetik beliau berkata dalam ucapan kepada para pemimpin dan ahli Umno, bekas-bekas menteri dan kumpulan-kumpulan pelajar Melayu di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Dr Mahathir berkata, ketika Umno memerlukan pemimpin yang berani untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh parti, Najib hanya menjaga air muka Abdullah sahaja.

"Kita perlu berfikir sama ada orang yang mengambil alih kuasa dari Perdana Menteri akan membersihkan Umno dari mereka mereka yang kini terlibat dengan rasuah.

"Jika beliau berat sebelah dan tidak berlaku pembersihan, rakyat akan menolak parti itu. Jika mereka akhirnya memilih pembangkang, ia akan mengakibatkan dilema kepada kita kerana kepimpinan mereka tidak meyakinkan," katanya.

Ketika berdialog dengan mereka yang menghadiri perjumpaan itu, bekas Presiden Umno itu menegaskan beliau sanggup ditangkap polis demi mendedahkan nama mereka yang terlibat dengan rasuah politik di dalam Umno.

Beliau berjanji akan mendedahkan nama mereka di dalam blognya, chedet.com

Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak takut mendedahkan kebenaran dan identiti mereka yang teerlibat dalam rasuah politik itu.

"Saya tidak boleh lakukan apa-apa terhadap aduan (rasuah politik) melainkan menyerahkan nama mereka kepada lembaga disiplin Umno. Saya akan dedahkan nama-nama (yang terlibat dengan rasuah politik) itu dalam blog saya.

"Saya tidak takut disaman kerana memfitnah atau ditangkap oleh polis. Jika mereka boleh membebaskan (Editor Malaysia Today) Raja Petra Kamarudin, adakah mereka tidak boleh membebaskan saya juga?"

Sebelum ini, pembantu Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz berkata, lembaga disiplin Umno bukan sebuah badan bebas dan tidak perlu membuat laporan kepadanya.


Anak Kedah Pertama Syahid Di Bumi Afghan

As Syahid Fauzi Ismail


Firman Allah yang bermaksud:


"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang untuk jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh"
At Taubah:111

Tahun 1980an banyak merakamkan peristiwa penumpahan darah para syuhada tanahair ini sebagaimana yang dicatatkan di Memali dan Lubuk Merbau. Dalam pada itu, ribuan para mujahiddin bermandikan keringat dan darah di Afghanistan, Chechnya, Iran, Arakan, Moro, Kashmir, Pattani, penyembelihan di Tanjung Periuk dan bumi Aceh di Indonesia. Di medan pertempuran bumi Afghanistan, ramai pula anak bangsa kita turut berjuang atas nama agama. Di antaranya ada dua anak Melayu yang telah diterima dagangnya oleh Al Khaliq. Salah seorang darinya ialah Assyahid Fauzi Ismail. Bagi mengenang gugurnya putera Melayu itu maka saya muat-turunkan selingkar kisah dari buku 'Dagangnya Diterima Allah' tulisan saudara C.N Al Afghani untuk tatapan pengunjung laman web ini.

Latar Belakang As Syahid

Fauzi Ismail ialah anak kampung Kelut dalam Pokok Sena, Kedah. Dilahirkan dalam pada 1 September 1962, anak muda yang periang dan kental dengan semangat perjuangan ini merupakan pemuda PAS yang istiqomah mempertahankan tapak pusat pengajian Muassasah Darul Ulum iaitu projek terbesar PAS Kedah dalam tahun 1987. Muassasah ini terletak di Batu 14 1/2 Jalan Kuala Nerang berkeluasan lebih kurang 48 relung. Apabila berlaku rampasan sebahagian tanah tapak projek oleh pihak berkuasa, ratusan pemuda telah menawarkan diri untuk mengawal muassasah tersebut. Assyahid antara pemuda yang sanggup berjaga malam di sana.

Miskipun tidak mempunyai pendidikan asas agama yang mendalam tetapi semangat untuk menghayati perjuangan agama begitu kental. Sebelah siangnya beliau membuka kedai runcit di kampung dan malam pula dipenuhi dengan aktiviti keagamaan seperti mengaji al Quran, mengikut kuliah pengajian agama dan berusrah di tapak muassasah itu. Bermalam di sana memang mencabar kerana bertemankan nyamuk dan kedinginan malam. Mereka juga melibatkan diri dalam kerja sosial di kawasan setempat.

Fitnah Menduga Jiwa

Penglibatan pemuda-pemuda di Muassasah tersebut rupanya kurang disenangi oleh banyak pihak samada pihak luar maupun veteran-veteran PAS sendiri. Ekoran dari itu pihak berkuasa tempatan telah mengawasi mereka, lebih-lebih lagi bila aktiviti seni pertahanan diri diamalkan di sana. Guru silat mereka telah dilucutkan tauliah mengajar gara-gara tekanan pihak tertentu. Tekanan banyak pihak ini benar-benar mencabar mereka untuk bermujahadah di jalan Allah.
Berjihad.

Idea untuk berjihad bersama mujahidin di bumi Afghanistan tercetus selepas menyaksikan kekejaman kaum kuffar menzalimi saudara-saudara seagama di sana. Ekoran dari itu mereka bersepakat untuk mewakafkan diri sebagai anggota mujahiddin. Setelah bersusah payah mencari wang perbelanjaan untuk pergi ke bumi yang sedang bergelora itu, akhirnya sebilangan anak muda dari tapak muassasah ini berjaya menyertai lain-lain sukarelawan perang jihad dari berbagai negara.

Dagangnya Dibeli Allah.

As Syahid dan rakan-rakannya berpeluang kali pertama melawat kem musuh dan bandar Argoon yang telah menjadi padang jarak padang terkukur ditawan oleh mujahiddin. Bangkai musuh masih terbiar di jalanan tetapi keadaan cuaca yang begitu sejuk di sana menyebabkan bangkai tersebut tidak busuk. Berjuang di sini begitu mencabar ketika di musim sejuk kerana kedinginannya begitu mencengkam hingga ke tulang hitam.

Di Khemah, mereka berkawal dan bertugas mengikut jadual. Berpuasa sunat, sholat malam dan latihan jasmani dilakukan. Suatu pagi, dikisahkan assyahid ini bangun mandi sedangkan waktu itu musim sejuk. Rupa-rupanya beliau telah berhadas kerana malamnya bermimpi didatangi bidadari. Dikatakan bahawa bermimpi bidadari di kalangan mujahiddin adalah perkara biasa dan kebanyakannya mereka inilah yang akan terpilih sebagai syuhada dan berpeluang menghampiri bidadari.

Dimaklumkan setelah pasukan mujahiddin berjaya menawan daerah Khost, mereka telah pergi ke wilayah Jalalabad untuk bergabung dengan mujahiddin Arab di sana. Beliau telah diarahkan menjaga kubu di atas bukit yang sederhana tingginya di waktu malam. Bertemankan seorang rakan dari bangsa Arab, mereka mengawal kubu tersebut dan kawasan itu memang kerap disinggah peluru musuh. Telah ramai pula yang menemui syahid di bukit itu.

Memang sudah ditakdirkan antara ratusan biji bom dari kereta kebal musuh itu, ada peruntukan oleh Allah untuk assyahid Fauzi Ismail. Dengan gugurnya ledakan bom itu, berterbanganlah bidadari dari syurga Firdaus menyambut assyahid. Janji Allah itu benar, mimpi beliau sebelum ini memang menjadi kenyataan. Allah telah membayar nyawanya dengan keharuman kasturi dan bidadari yang serba suci. Anak muda itu syahid pada 28 Julai 1989. Allahu Akbar!!

Tanda Kesyahidan.

As Syahid Fauzi gugur di kubu itu dan rakannya yang parah dibawa turun untuk mendapat rawatan. Walaupun hampir 10 jam jenazah beliau berada di atas bukit itu, darah merah masih segar bugar dan panas mengalir.

" Jangan kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki" - Ali Imran 169.

Manakala ibu-bapanya di kampung pula, telah dipertemukan Allah dengan anak lelaki mereka bergelar syuhada itu melalui alam mimpi. Mimpi mereka lebih mendahului berita dari manusia. Wajah anak mereka tersenyum sayang dengan berjubah dan berserban merah. Mengertilah mereka bahawa dagang anaknya telah dibeli Allah dan tentunya mereka juga akan mendapat imbuhan dari pelaburan yang termahal ini.
Apabila ditanya kepada bapanya tentang anaknya itu, beliau menjawab:

" Dia tak mahu dunia. Dia tinggalkan kedai dan motornya untuk cari akhirat. Sekarang dia dah dapat... saya bersyukur."

Nota:Terima kasih dan jazakumul'Lah Khairan kathira kepada C.N Al Afghani kerana membukukan kisah perjuangan ini. Semoga Allah memberi ganjaran dan rahmat kepada saudara. Bersabarlah dalam merintis onak dan duri tribulasi ini. Amin.



Hidup Mulia atau Mati Sebagai Syuhada’


Hidup Mulia atau Mati Sebagai Syuhada’











BPR perlu segera siasat, peruntukan RM38 juta 'hilang'?


Profile
KUALA LUMPUR, 19 Nov - Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof mendesak Badan Pencegah Rasuah (BPR) agar menyiasat peruntukan untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri Kelantan oleh kerajaan pusat berjumlah RM38 juta.

Beliau memberitahu Harakahdaily bahawa terdapat makluman oleh pihak tertentu bahawa hanya 1.6 peratus sahaja daripada keseluruhan peruntukan untuk PBT tersebut diguna berpandukan perancangan yang telah ditetapkan.
"Jadi, ke manakah pergi wang peruntukan yang selebihnya? Pihak BPR perlu menyiasat kedudukan wang tersebut kerana dibimbangi ianya disalahgunakan pihak JPPP seperti menggunakannya bagi tujuan kempen pilihan raya umum Umno Kelantan," katanya ketika ditemui di lobi parlimen abru-baru ini.

Beliau turut dimaklumkan bahawa peruntukan yang disalurkan kerajaan pusat ke Kelantan hanya diberikan untuk kawasan Parlimen Jeli dan Gua Musang sahaja.
"Bahkan saya diberitahu sendiri oleh pegawai JPP bahawa setiap projek yang hendak dilaksanakan dengan peruntukan kerajaan pusat perlu mendapatkan kelulusan daripada Pengerusi Umno Kelantan, Dato' Mustapa Mohamed.
"Diskriminasi ini telah berlaku sejak PAS menerajui kerajaan negeri Kelantan dan ianya masih diteruskan dalam suasana katanya Umno ingin merubah sikap dan layanan mereka kepada Kelantan," tegasnya.


Dalam pada itu, isu diskriminasi bangkit lagi pada sesi pengggulungan perbahasan sidang parlimen pada 17 November lalu.
Situasi tersebut berlaku ketika ucapan Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib - menyentuh isu pembinaan dan pemulihan jalan-jalan rosak di kawasan luar bandar.
Soalan tambahan mula dibuka kepada Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) mengenai pemantauan projek-projek yang dilaksanakan di sesuatu kawasan memandangkan sebarang projek yang hendak dilaksanakan perlu mendapatkan kelulusan daripada pemimpin Umno-BN di sesuatu kawasan khususnya di Kelantan.
"Malah kami sebagai ahli-ahli parlimen pun tidak diberi maklumat mengenai projek tersebut apatah lagi untuk mendapat peruntukan bagi projek untuk rakyat," tegasnya.
Turut membangkitkan isu yang sama, Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) memohon penjelasan mengenai kesediaan menghapuskan amalan diskriminasi kerajaan pusat terhadap negeri-negeri pakatan Rakyat.
"Sudikah kerajaan menghapuskan diskriminasi terhadap negeri Pakatan Rakyat dan sekaligus menghapuskan JKKP kerana ianya sudah tidak diperlukan lagi?" soalnya, namun ianya tidak mendapat sebarang jawapan menteri.


Eksklusif: Zahid Hamidi Selar Raja Petra Pertikai Prosedur Tahanan ISA Tidak Dibenarkan Solat !!



PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zahid Hamidi hari ini menyelar tindakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Raja Petra yang mempertikaikan prosedur ISA yang tidak membenarkan tahanan mengerjakan solat Jumaat. "Solat Jumaat memang tidak diizinkan pada tahanan ISA. Jangan bagi alasan untuk mempertikaikannya. "Saya bukan nak tuduh tapi saya nak tanya, berapa kali dia (Raja Petra) sembahyang Jumaat selama ini," katanya pada sidang media ketika melawat ke Institut Penyelidikan Produk Halal di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini. Zahid yang enggan mengulas lanjut berhubung hal itu bagaimanapun berkata, Raja Petra tidak sepatutnya mencabar aspek agama Islam yang telah ditetapkan itu. "Setakat mana pegangan agama Islam dia? Sedangkan dalam blognya, dia ada juga menghentam tentang Islam," kata Zahid.

Ditanya mengenai dakwaan Raja Petra mengenai ceramah seorang ustaz dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dikatakan menghentam agama lain dan kitab-kitab suci mereka, Zahid hanya berkata: "Saya tidak tengok. Itu dia (Raja Petra) yang kata. "Saya tak pernah duduk dalam ISA dan saya tak tahu," katanya. Semalam, Raja Petra yang pernah ditahan di bawah ISA selama 52 hari sebelum ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul terhadap pusat tahanan ISA di Kamunting kerana tidak membenarkan beliau menunaikan solat Jumaat. Beliau juga membuat laporan terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana dikatakan menghina agama-agama lain. Beliau membuat laporan tersebut setelah menolak untuk memberi kenyataan lain berhubung dakwaan Jakim yang mengatakan beliau menghina orang Melayu, agama dan orang Islam.

[Nampaknya kini puak-puak UMNO dan kerajaan terkena pula dengan permainan Raja Petra. Apa tidaknya, jika dulu beliau dituduh menghina Islam dan Nabi Muhammad, kini beliau pula membuat laporan polis tentang perkara solat tersebut. Memang jahat dan zalim ISA, kerana mengharamkan tahanan bersolat!! Ini bermakna Zahid Hamidi juga turut bersubahat, hingga sanggup mepertahankan akta zalim itu dengan mengatakan ianya adalah prosedur. Itu bukan prosedur namanya!! Itu menghina agama. Justeru itu Zahid Hamidi harus didakwa menghina agama pula kali ini. Inilah namanya "buku bertemu dengan ruas". Zahid tidak perlu pertikaikan keislaman Raja Petra, apatah lagi berapa kali beliau mengerjakan solat Jumaat. Jika begitu Raja Petra juga boleh mempertikaikan berapa kalai Zahid Hamidi solat Jumaat. Tambahan pula Zahid dikatakan pernah membelasah seorang ahli kelab motosikalnya, hanya kerana gara-gara anak muda itu dikata bercinta dengan anak gadis menteri itu. Apakah begini sikap seorang Menteri yang dikatakan menjaga hal ehwal agama Islam dalam negara Malaysia Hadhari ini?].


BAWA KES KE MAHKAMAH, KENA PECAT?



Ahli jawatankuasa Umno bahagian Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim telah dipecat daripada Umno ekoran tindakannya mengemukakan saman pemula dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi menghalang 32 ahli termasuk bekas Ketua Pemuda, Ikmal Hisham Abdul Aziz menghadiri mesyuarat bahagian tersebut.

Beliau mendapatkan perintah itu pada 4 November lalu yang berkuatkuasa sehingga esok.

Menurut surat dari ibupejabat Umno yang bertarikh 18 November, pemecatan Abdul Rahman berkuatkuasa pada 4 November lalu.

Surat tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ia antara lain menyebut, mesyuarat jawatankuasa pengurusa Majlis Tertinggi Umno yang bersidang kelmarin memutuskan keahlian Abdul Rahman gugur berkuatkuasa 4 November mengikut Fasal 20.7 Perlembagaan Umno kerana membawa perkara parti ke mahkamah.

Ketika dihubungi petang ini, Abdul Rahman mengesahkan beliau menerima surat tersebut semalam.

Menurut beliau, Mahkamah Tinggi Kota Bharu akan mendengar kes tersebut esok.

Sebelum ini, beliau juga telah menerima surat tunjuk sebab bertarikh 12 November dari ibupejabat Umno berhubung tindakannya mendapatkan perintah mahkamah tersebut.

Surat tersebut, yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerja Umno, Datuk Husainay Hashim, meminta Abdul Rahman memberi sebab-sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya ekoran tindakannya itu.

Beliau diberi tempoh seminggu untuk memberi jawapan.



AHLI PARLIMEN BN BELANJA RM1 JUTA UNTUK ACARA PERAYAAN

KUALA LUMPUR: Sepuluh anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) menggunakan hampir RM1 juta bagi membiayai penganjuran pelbagai acara perayaan termasuk rumah terbuka di kawasan mereka sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Johari Baharum berkata mereka adalah antara 196 anggota Parlimen BN yang menggunakan peruntukan khas bagi membiayai penganjuran acara sambutan perayaan seperti bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri/Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali, Gawai, Pesta Keamatan, Krismas, Wesak, Hari Kebangsaan dan sebagainya.

“Perbelanjaan itu meliputi kos penyediaan makan minum, sewaan khemah dan peralatan, pemberian sumbangan kepada golongan fakir miskin, bantuan kepada anak yatim serta golongan kurang upaya dan pembekalan perkhidmatan yang berkaitan dengannya,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras)mengenai bilangan dan jumlah perbelanjaan program keraian yang dianjur anggota Parlimen BN yang disalur menerusi peruntukan khas bagi 2007 dan 10 kawasan Parlimen yang tertinggi berbelanja.

Mohd Johari berkata daripada 10 kawasan itu, tiga kawasan Parlimen di Terengganu paling banyak menganjurkan acara perayaan didahului Kuala Terengganu yang menganjurkan 304 acara dan membelanjakan sejumlah RM917,588.00.

Kawasan Parlimen Kuala Nerus pula menganjurkan 248 acara dengan kos RM946,115.30 manakala Marang menganjurkan 186 program dengan kos RM914,250.00, katanya.

Kawasan lain yang turut menggunakan peruntukan itu ialah Tenom (58 program, RM988,475), Dungun (87 program, RM977,000.00), Putatan (86 program, RM971,000), Tawau (66 program, RM948,575), Silam (40 program, RM946,420.00), Sepanggar (54 program, RM918,480.00) dan Parit (37 program, RM916,407.50).


DISKAUN 10% PLUS MENIMBULKAN TANDA TANYA



Pada awalnya rakyat Malaysia khususnya pengguna yang sering menggunakan lebuhraya PLUS menarik nafas lega apabila ura-ura pemilik konsesi lebuhraya itu bercadang menurunkan kadar tol.

Namun, apabila kadar baru tol itu ( diskaun) selama setahun mulai tahun depan bermula 1 Januari 2009 ramai yang merasa pelik dan tertanya-tanya dengan langkah PLUS yang dianggap tidak praktikal.

Dalam hal ini,PLUS seolah-olah bersandiwara dalam membantu mengurangkan beban pengguna lebuhraya berkenaan. Saya tidak nafikan, ia menggurangkan sedikit beban tetapi berapa kerat pengguna yang mendapat manafaat? Langkah PLUS ini bakal mengundang isu lain jika kita perhalusi untuk jangka masa setahun tempoh diskaun yang diberikan. Di antara isunya ialah :

1. Tidak ramai pengguna yang berulang alik ke tempat kerja pada waktu malam. Untuk makluman pihak PLUS, waktu bekerja adalah bermula dari 8.00 pagi - 5.00 petang. Adakah pengguna kena tunggu pada waktu malam untuk balik ke rumah baru dapat diskaun berkenaan?

2. Diskaun pada waktu malam akan mendorong pengguna untuk menggunakan lebuh raya pada waktu malam terutama bagi perjalanan jauh. Memandu di waktu malam, pengguna lebih terdedah kepada risiko seperti mengantuk dan jarak pemandangan terhad yang boleh mengundang kemalangan.

3. Kadar diskaun hanya untuk kenderaan kelas 1 adalah tidak praktikal bagi membantu pengguna berjimat cermat dan pemulihan ekonomi negara khususnya bagi pengguna pengangkutan awam dan pengendali syarikat pengangkutan. Bermakna tidak ada inisiatif kepada syarikat bas ekspres dan syarikat lori. Sekali gus mereka sukar untuk mengkaji mengurangkan kadar tambang dan mengurangkan kos pengangkutan.

4.Memandu pada waktu malam, terutama kepada wanita yang memandu bersendirian bakal menimbulkan masalah keselamatan diri dan terdedah kepada pelbagai kemungkinan.

Namun begitu, kadar diskaun ini mungkin memberi sedikit faedah terutama pada musim perayaan iaitu pemandu terutama warga kota gemar untuk pulang beraya dan bercuti dengan memandu di waktu malam. Walau bagimanapun faktor di atas masih tetap mempengaruhi.

Ajal maut memang di tangan Allah, tetapi manusia perlu berhati-hati dengan tidak mendedahkan diri kepada musibah.Pandu Cermat Jiwa Selamat. Jangan biarkan orang tersayang menyambut anda pulang dengan tangisan.


SHARIZAT SEPERTI KACANG LUPAKAN KULIT?


Khamis ini Sharizat dijangka akan mengumumkan keputusannya sama ada bertanding atau tidak. Walau bagaimanapun ramai meramalkan Shahrizat akan menurut desakan akar umbi(ubi kayu?) untuk bertanding jawatan Ketua wanita mencabar Rafidah.

Sebelum ini sharizat seperti berdolak dalik bahawa sebarang keputusan sama ada mencabar Rafidah atau tidak bergantung kepada Kamilia ketua wanita Umno Perak sama ada bertanding atau tidak jawatan naib ketua wanita Umno. Kamilia tetap dengan keputusannya bertanding. Jadi apa lagi yang perlu ditunggu? Pencalonan 77 wanita bahagian yang diperolehi Shahrizat untuk jawatan ketua wanita adalah sesuatu yang telah 'menggoncang' kesetiaan Shahrizat kepada Rafidah.

Sikap dan tindakan Shahrizat umpama mengkhianati janji dan ikrar yang dibuat sebelum ini.Wanita Umno Selangor misalnya menggesa Shahrizat agar berpegang dengan janji-janjinya untuk tidak mencabar Tan Sri Rafidah Aziz dalam pemilihan ketua Wanita Umno Mac depan.

Sumber-sumber yang rapat dengan Wanita Selangor mendakwa, Shahrizat sebelum ini pernah berjanji - dengan disaksikan oleh ketua-ketua Wanita negeri - akan mematuhi pelan peralihan kuasa pada Jun 2009.

Dalam perbincangan tersebut kata sumber-sumber itu, Shahrizat juga berkata, beliau amat menghormati Rafidah dan tidak akan menentang ketuanya.

"Ekoran itu, wanita akar umbi berasa tidak senang dengan keputusan Shahrizat mendesak supaya peralihan kuasa dipercepat ke Mac ini dan tidak seperti mana yang dirancang Jun depan.

"Mereka rasa dimain-mainkan, dianiayai," kata sumber-sumber itu.

PENTINGNYA USTAZ AZIZAN

Prof Hamirdin | Jatuh bangun PAS dalam pilihanraya ke 13 nanti akan banyak ditentukan oleh prestasi satu individu. Beliau adalah Menteri Besar Kedah Ustaz Azizan Abdul Razak. Ini adalah kerena apa yang berlaku di Kelantan lebih kurang telah dapat dibaca oleh pengundi, dan aura Tuan Guru Nik Aziz memang diakui tetapi ia telah mencapai saturation point. Lonjakan baru diperlukan untuk membolehkan PAS mengembangkan pengaruhnya lebih luas lagi.

Dengan sebab itu, prestasi yang benar benar akan mempengaruhi pengundi dan masyarakat umum ialah prestasi yang ditunjukkan oleh negeri lain yang diperintah oleh PAS, iaitu Kedah, bukan Perak. Oleh itu apa juga tindak tanduk yang dilakukan oleh Ustaz Azizan akan diterjemahkan sebagai undi kepada PAS atau undi meredumkan PAS.


Pada peringkat awal pemerintahan Ustaz Azizan, beliau telah score beberapa point yang menunjukkan prestasi yang baik. Tindakan memberi peluang rakyat Kedah menonton perlawanan bolasepak yang melibatkan pasukan Kedah secara percuma adalah satu tindakan popular yang memang akan diterjemah menjadi undi kepada PAS, ditambah lagi dengan anugerah tanpa disangka dalam masa singkat pemerintahan beliau Kedah telah menang tiga trofi berprestij dalam bolasepak. Ini meletakkan beliau seolah Alex Ferguson bagi Malaysia.

Setail pemerintahan yang menunjukkan kematangan dan keintelektualan menjulang prestasi Ustaz Azizan begitu baik sehingga mantan perdana menteri Tun Mahathir pun tabik kepada beliau. Oleh itu beliau harus terus melakukan pembaharuan yang akan membuka mata seluruh rakyat Malaysia.

Walau bagaimana pun, sekiranya berlaku kesilapan, ia harus diakui dan diperbetul. Kita tidak mengharap dalam beribu ribu decision yang beliau akan buat sepanjang pemerintahan, kesemuanya akan betul dan melonjakkan imej beliau. Tentulah ada yang kurang popular dan ada juga yang silap. Decision mengenaikkan kuota pemilikan rumah bumiputtra kepada 50% yang beliau umumkan adalah satu decision yang silap. Sebab itu saya tidak setuju dengan pendekatan Roslan SMS yang mempertahankan decision tersebut.

Bagi saya, lorong yang patut dipilih ialah retract dan perbetul semula, berbanding dengan mempertahan dan berdebat yang merugikan secara strategik.

Kita tidak perlu pertahankan tindakan Ustaz Azizan, kerana beliau akan membuat beribu ribu lagi tindakan, tetapi kita kena pertahankan Ustaz Azizan. Pertahankan beliau dengan maksud supaya apa juga tindakan yang beliau lakukan nanti akan sentiasa membawa keuntungan kepada PAS. Cuma apa yang perlu sekarang ini ialah kesedaran ini, idea ini, mestilah sampai kepada Ustaz Azizan supaya beliau mengimbangi semua tindakannya agar setiap tindakan dan decision beliau disenangi rakyat dan diterjemah menjadi undi kepada PAS.

Ustaz Azizan perlu difahamkan bahawa beliaulah sekarang ini memegang obor PAS.






Rasuah tertinggi, boikot sahaja pemilihan Umno Mac ini

KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyeru ahli dan perwakilan Umno memboikot pemilihan jawatan parti itu Mac ini berikutan barah rasuah yang berlaku dalam pencalonan.

Mahfuz yang ditemui di Parlimen semalam menyatakan, beliau terkejut dengan pendedahan Pengerusi Perhubungan Umno Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob bahawa lebih 900 aduan kes rasuah diterima setakat ini.

"Ini senario paling parah dalam sejarah Umno, ini yang dilaporkan yang tidak dilaporkan kita tidak tahun berapa banyak lagi, dan ia mungkin melibatkan jutaan wang," katanya ketika mengulas isu rasuah dalam pemilihan Umno yang kini semakin mendapat perhatian media.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga melahirkan kebimbangan dengan senario rasuah yang membarah dalam Umno ini kerana pemimpin yang bakal dipilih adalah kalangan mereka yang menang dengan rasuah.

"Rasuah ini boleh jadi dengan sogokan wang atau janji-janji kuasa atau projek oleh seseorang wakil kepada calon. Dalam Umno hal ini secara terang kini didedahkan pelbagai lapisan pemimpin parti," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan berlakunya politik wang dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Umno, Mahfuz merasakan adanya permainan kepimpinan atasan Umno.

Beliau mendakwa kemungkinan Najib dan Abdullah terpaksa meletakkan calon yang boleh dipercayai iaitu Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Mohd Taib berikutan ketidakpercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Muhyiddin sangat dikenali sebagai orang kuat Abdullah, namun selepas mengkritik keras kepimpinan Abdullah dan menggesa peralihan kuasa disegerakan, akhirnya Muhyiddin kini bukan menjadi pilihan kepada dua pemimpin utama Umno masa kini, katanya.

Walaupun Muhyiddin mendapat pencalonan tertinggi bagi Timbalan Presiden, namun Najib sendiri pastinya merasai kehadiran Naib Presiden Umno itu sebagai orang nombor dua Mac ini, akan memberi tekanan kepadanya, kata Mahfuz.

Akhirnya, Najib sendiri terpaksa menggunakan dua orang kuat Abdullah (Muhammad Taib dan Ali Rustam) sebagai calon yang dirasakan tidak memberi tekanan kepadanya untuk mentadbir Umno penggal akan datang, kata Mahfuz.

Justeru beliau melihat, ada kemungkinan perang jawatan nombor dua Umno ini mungkin bakal menyaksikan korban wang yang agak besar untuk pemimpin tertentu memastikan kemenangan masing-masing.

Sehubungan itu, Mahfuz melihat ada baiknya ahli dan perwakilan Umno memboikot sahaja pemilihan jawatan Mac ini bagi menghentikan sindrom rasuah yang sukar dibendung.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .