
Ikuti Blog ini
KONVOI PEMUDA PAS AMPANG SEDANG DI KEPUNG DI MASJID BUKIT KOSAS!! ,Ahad, Jun 26, 2011 at 26.6.11,

Umno Perkudakan Polis Perangi Kempen Himpunan Bersih 2.0 , at 26.6.11,
Menurut Anwar, Umno Barisan Nasional (BN) sepatutnya tidak takut mahupun memerangi himpunan Bersih 9 Julai ini kerana ia merupakan himpunan aman menuntut perubahan dalam sistem pilihan raya.
“Kita tidak minta perubahan yang memihak kepada Pakatan Rakyat. Kita minta perubahan yang tunduk kepada peraturan dan ketelusan,” katanya mengulas tindakan polis yang giat menangkap orang ramai yang memakai t-shirt Bersih 2.0 semalam.
Jumaat lalu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Khairul Anwar Ahmad Zainuddin ditahan kerana memakai baju 'Bersih 2.0' dan 'roadshow' himpunan yang sepatutnya berjalan di Uptown Shah Alam dihentikan.
Semalam hampir 70 aktivis termasuk ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar ditahan berikutan kempen ini.
28 ditahan di Ibu Pejabat Polis Ledang, 38 di Ibu Pejabat Polis Kepala Batas dan lima orang dilaporkan ditahan di Kapar.
Malah 'roadshow' Bersih 2.0 di Dewan Assam Jawa, Kuala Selangor semalam turut diganggu Polis.
Anwar yang ditemui selepas merasmikan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam dan Pejabat Keadilan Cabang Kubang Pasu petang semalam menyifatkan tindakan polis merampas t-shirt Bersih 2.0 itu sebagai bukti keganasan dan kezaliman berterusan pimpinan Umno BN.
“Di Malaysia ini, betapa ganas dan zalimnya pimpinan Umno. Sampai kita pakai baju kuning, jual baju Bersih pun dianggap kesalahan,” katanya- tvs
Senator Thailand turut sokong Bersih 2.0 , at 26.6.11,
KUBANG PASU, 26 Jun: Senator Dewan Negara Thailand Wilayah Pattani, Dr Worawit Baru menyokong penuh perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Beliau berkata, perhimpunan itu sangat penting bagi rakyat untuk menyatakan tuntutan terhadap pilihan raya yang bersih dan adil.
"Perhimpunan itu merupakan kempen untuk pilihan raya yang bersih, adil yang terlepas daripada sebarang tuduhan," kata beliau ketika ditemui di majlis perasmian Pusat Khidmat Dun Bukit Kayu Hitam dan Pejabat PKR Kubang Pasu, petang semalam.
Namun, katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Buruh dan Kebajikan Sosial Pattani, setiap perkara yang dianggap tidak menyokong kerajaan akan mendapat tentangan.
"Tapi memanglah di mana-mana negara pun, apa yang pembangkang buat tak disukai kerajaan," katanya.
Namun ujarnya, selain rakyat Malaysia yang dimomokkan kononnya akan berlaku hura hara jika himpunan Bersih 2.0 diteruskan, tempiasnya turut sampai ke Thailand.
"Dua hari lepas saya diberitahu ada pihak dari kerajaan (Thailand) yang berpesan, kalau ada orang Thai nak ke Malaysia elakkan dulu kerana ada perhimpunan besar," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Pakatan Rakyat memainkan peranan penting untuk mengubah nasib rakyat negara ini.
"Cara pilihan raya di Malaysia dapat menentukan nasib rakyat. Kalau nak baiki nasib masyarakat mesti melalui politik. Kalau nak lawan dalam politik untuk berdepan Barisan Nasional harus ada parti seperti Pakatan Rakyat," katanya.
Justeru ujarnya Pakatan Rakyat mesti bekerja keras untuk mengambil alih kerajaan BN.
"Strategi kena tetapkan, kajian kena dijalankan dan ini kerja berat untuk nak lawan parti yang lama. Susah nak tukar pegangan orang Malaysia yang sudah terbiasa dengan BN," katanya. -Hrkh
Pakatan sasar tawan 11 negeri dalam p'raya umum , at 26.6.11,
Selain mengekalkan empat negeri yang dikuasainya sekarang dan memenangi semula Perak, Pakatan Rakyat mensasarkan untuk menubuhkan kerajaan di enam lagi negeri dalam pilihan raya umum akan datang. Menurut pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, Pakatan telah menetapkan tiga sasarannya dalam pilihan raya umum akan datang, iaitu: 1. Mengekalkan penguasaannya di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan;
2. Memenangi semula negeri Perak yang didakwanya dirampas dari tangan Pakatan secara haram; dan
3. Menubuhkan kerajaan di enam lagi negeri - Negri Sembilan, Johor, Malacca, Pahang, Terengganu dan Perlis.
Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur menegaskan demikian ketika berucap di majlis makan malam DAP Teluk Intan semalam. Beliau menyifatkan pilihan raya umum ke-13 amat penting kerana ia bukan sahaja bakal menyaksikan perebutan hebat di semua 11 negeri di Semenanjung Malaysia, tetapi juga penguasaan Putrajaya. Lim mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyedari perkara itu, menyebabkan beliau teragak-agak untuk menetapkan tarikh pilihan raya umum yang akan datang.
Sehubungan itu, Lim meramalkan pilihan raya umum mungkin diadakan sama ada hujung tahun ini atau tahun depan. Beliau juga berkata, pilihan raya umum kali ini merupakan yang pertama dalam sejarah yang bakal menyaksikan persaingan 'hidup mati' BN dan Umno. Selama ini, kata Lim, Umno dan kerajaan BN mengekal kuasanya dengan mudah sehinggalah tercetusnya tsunama politik pada pilihan raya umum 2008 di mana ia mengalami kekalahan teruk dan hilang penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.
"Umno dan BN akan berdepan dengan persaingan 'hidup matinya' dalam pilihan raya umum ke-13 - bukan setakat sama ada ia boleh memperolehi semula majoriti dua pertiga, tetapi juga sama ada ia dapat mengekalkan kuasa atau bakal menjadi pembangkang," kata Lim. -M'kini
300 Peguam Telah Bersedia Bantu Peserta BERSIH , at 26.6.11,
300 peguam sertai himpunan Bersih 2.0SHAH ALAM : Rakyat tidak bimbang untuk hadir dalam Himpunan Bersih 2.0 kerana lebih 300 peguam sedia membantu mereka jika berlaku sebarang tangkapan.
Untuk tujuan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menggerakkan bilangan peguam yang ramai kali ini memandangkan sambutan terhadap Bersih amat menggalakkan.
Ketua Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Negeri Selangor, Peguam Zainal Said berkata, ramai dalam kalangan peguam telah memberikan komitmen untuk hadir 9 Julai depan.
“Jangkaan kehadiran rakyat dalam Bersih 2.0 ini amat menggalakkan dan kita mempunyai kemampuan untuk menggerakkan seberapa ramai peguam yang kebanyakannya telah memberi komitmen,” tegasnya.
Zainal juga adalah Exco JUHAM Dewan Pemuda PAS Malaysia merangkap Ketua Pemuda PAS Kawasan Kota Raja.
Beliau ditemui ketika memberikan khidmat nasihatnya kepada seorang Pemuda PAS Shah Alam ditahan polis hanya kerana memegang baju Bersih 2.0 berwarna kuning malam tadi.
Musfari Azmi, 27, ditahan jam 11.30 malam sebaik selesai mesyuarat sukaneka di Padang Jawa, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, dekat sini.
Sekitar jam 2 pagi beliau dibebaskan dan diraikan oleh sahabat pemuda pula dalam satu majlis ringkas berhampiran Pejabat Pemuda PAS Shah Alam, di Seksyen 7.
Turut serta adalah Setiausaha PAS Selangor, Peguam Mohd Khairuddin Othman, Timbalan YDP PAS Shah Alam, Haji Azli Yusof, Ketua Pemuda kawasan, Mohd Hilmi Radzuan dan Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Shah Alam, Jefri Zain.
Menurut Musafri, ketika beliau keluar sebaik selesai mesyuarat persiapan menganjurkan sukaneka di cawangan mereka, empat anggota polis berpakaian awam menahannya.
Mengikut Musafri Azmi, 27, beliau mengakui tidak biasa dengan tindakan polis cawangan khas (SB), terus menahan sebaik mengenal pasti terdapat lapan unit baju Bersih di tangannya.
Bendahari Pemuda Padang Jawa Petaling sambil berseloroh berkata kepada pihak polis ketika disoal siasat, tidak berbaloi beliau ditahan dari 11.30 malam hingga 210 pagi hanya kerana hendak menjual lapan helai baju yang hanya untung RM3.
Seriusnya, beliau sempat berhujah dengan anggota polis tentang sahnya Himpunan Bersih kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi.
Lalu, jelasnya, mereka meminta beliau menghuraikan pula apa definisi demokkrasi dan menyatakan apa itu Bersih serta tuntutan lapan perkara.
Lebih dari itu, ujarnya, soalan pihak polis lebih terarah kepada siapa pengedar baju dan penggerak Bersih.
Sementara itu, Peguam Khairuddin mendesak pihak polis agar bertindak mengikut undang-undang sedia ada kerana jika betul tindakan mereka, baharu rakyat dapat menerimanya dengan baik.
“Malang bila kita minta di bawah undang-undang mana pemuda kita ditahan, mereka tidak dapat menjelaskannya dengan baik dan terperinci.
“Kerana itu, saya juga menyeru rakyat agar hadir beramai-ramai dalam Himpunan Bersih 9 Julai kerana pihak polis tidak mempunyai hak untuk menahan sesiapa pun kerana himpunan kita aman,” tegasnya.
Pakar Perlembagaan Malaysia, Dr Abdul Aziz Bari menyatakan polis tidak boleh membuat penghakiman awal berhubung himpunan itu dan jika dilakukan juga, jelas mereka menentang undang-undang.
Paling teruk apabila ia bertentangan dengan hak yang dijamin dalam perlembagaan negara .
Katanya, mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, polis tiada sebarang hak melarang perhimpunan aman yang dijamin.
"Hatta mahkamah juga tidak boleh melakukannya," kata pensyarah undang-undang UIAM itu.
Sebelum itu, pihak polis juga menahan Timbalan Ketua AMK Pusat, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin atau Jonah di Uptown Shah Alam ketika menanti makanan sampai, minta kad pengenalan, digari dan dibawa ke IPD sama.
Beliau menyerahkan kepada Peguam Latheefa Koya yang turut hadir untuk mengambil tindakan undang-undang kerana menahan beliau kerana memakai baju Bersih tanpa sebarang alasan kukuh.
Pihak polis mengawal jalan masuk ke Uptown sejak jam 7 malam hingga jam 4 pagi kerana ada iklan di facebook menyatakan satu majlis Pra Bersih akan dilancarkan di situ.
Kawasan pentas yang selalunya diadakan program karaoke dan juga ceramah agama sebulan sekali itu ditalimerahkan oleh pihak keselamatan. IBH
Setakat mana polis sanggup buat untuk gagalkan BERS✔H 2.0? , at 26.6.11,
Polis akan menggunakan cara tersendiri untuk memastikan perhimpunan haram yang dirancang pada 9 Julai ini tidak akan berlaku, kata Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh.
"Apa rancangan dan jenis tindakan yang akan kita ambil itu, biarlah polis sahaja yang tahu. Yang pasti, kita akan ambil tindakan sewajarnya bagi menghalang perhimpunan ini," katanya dalam sidang akhbar di ibunegara hari ini. - Mkini.
Macam tu jugak Ketua-ketua polis negeri-negeri lain, tentu depa pun dah berikrar untuk sekat orang ramai dari turun ke Kuala Lumpur menyertai himpunan BERSIH 2.0 tu.
Macamana cara? Macam lagu sapa tah, "Biarlah rahsia.."
Semalam tangkapan pertama dibuat. Khairul Anuar atau Jonah, Timbalan Ketua AMK Pusat ditahan, digari dan dibawa ke balai polis. Dia kemudian dibebaskan tanpa perlu dijamin. Takkan kut atas kesalahan pakai baju BERSIH dan hukumannya pulak kena gari dan dibawa ke balai polis.
Katanya tak kurang 10 orang yang dah ditahan pasai BERSIH 2.0. Kalau ikut berita TV depa-depa ni ditahan untuk siasatan pasai mempromosikan perhimpunan haram. Bila pulak ada yang nak buat perhimpunan haram, kami nak buat himpunan BERSIH 2.0 la, bukan Himpunan HARAM 2.0
Baju BERSIH pun dah dilarang dijual secara terbuka. Entah di bawah akta apa taktau yang bagi kuasa kepada polis larang jual baju BERSIH. Hampir semua peniaga tak berani jual secara terbuka, takut kena rampas, untung tak dapat modal pulak lesap.
Ada sorang member bagitau, dia kata dia dapat maklumat yang perjalanan keretapi ke Kuala Lumpur pada 8 dan 9 Julai ni akan tergendala. Member tu bagitau kerajaan dah setuju nak bayar pampasan kepada KTMB akibat sistem keretapi tergendala tu.
Aku harap maklumat tu maklumat palsu, disebarkan pasai takmau bagi orang ramai gunakan keretapi untuk turun himpunan BERSIH 2.0. Tapi kalau maklumat tu betui maknanya peserta himpunan mungkin akan kurang beberapa puluh ribu.
Macam tu jugak dengan pengangkutan awam lain macam bas ekspress pun akan disekat dari masuk Kuala Lumpur, pukul 4.30 petang baru boleh sambung perjalanan tunggu la kat kawasan R&R tu. Kalau bas sewa khas langsung tak boleh lepas, kena patah balik.
Kenderaan sendiri pun dia bagitau tak boleh masuk Kuala Lumpur jugak. Member tu bagitau, semua kenderaan persendirian akan dilencongkan. Kalau dari Utara akan dilencongkan naik balik lebohraya menghala ke Johor, yang dari selatan pulak akan dilencongkan naik lebuhraya hala ke Perak, tak boleh berhenti tak boleh exit masuk Kuala Lumpur. Pusing la hangpa macam tu sampai petang.
Betui ka dak maklumat member tu bai aku taktau, tapi bila fikir balik macam tak logik ja. Tapi main dengan 'si anjing Umno' ni bukan boleh tentu. Benda yang kita fikir tak logik pun depa boleh buat. Yang orang biasa takkan sanggup buat, depa sanggup buat. Janji himpunan BERSIH 2.0 gagal.
Ada sorang lagi member tu kata, satu-satunya cara nak tentu boleh masuk ke Kuala Lumpur cuma dengan naik kapal terbang. Sampai kat ruang udara Kuala Lumpur bukak pintu terjun, tentu sampai punya, hidup ka mati nasib la. (Memang pun member tu tak pernah naik kapal terbang.)
Ada sorang lagi member cadangkan naik helikopter. Dia ingat semua orang macam Rosmah?
Kesimpulannya, kita pi dulu. Sampai ka dak belakang kira. Macam sorang lagi member bagitau, takat mana sampai kat situ la kita berdemo. Ok jugak tu. Jangan ada yang kata dia berdemo depan rumah sendiri sudah laa... agak-agak la kalau nak menipu pun... Malu la kat brader dalam gambar kat bawah ni.
BERS✔H 2.0
Bersih 2.0 – Umno mula bertindak kotor , at 26.6.11,
Oleh: Wan Nik Wan YussofKetua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan telah mula bertindak kotor tatkala menyerang usaha perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Serangannya menggunakan bahasa yang kesat terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Ahmad Maslan selaku peneraju perang saraf dan provokasi Umno ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada14 Julai 2011 lalu menyifatkan perhimpunan tersebut sebagai “himpunan kotor” dan menyindirnya sebagai menjadi "titik hitam" kepada kerajaan Barisan Nasional yang dikuasai Umno.
Paling tidak bermoral, ketua penerangan Umno itu turut menyeru (baca menghasut) pertubuhan bukan kerajaaan (NGO), termasuk Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) supaya mendapatkan khidmat peguam dan membuat laporan polis mengenai perhimpunan itu. Apa pun beliau tidak membuat sebarang hujah rasional kenapa perlu NGO membuat laporan polis.
Sebenarnya, pendekatan Ahmad Maslan yang cuba menafikan perhimpunan Bersih 2.0 itu boleh dianggap pemikiran kotor seorang mewakili kelompok Umno yang berkuasa. Tanpa meneliti terlebih dulu maksud sebenar perhimpunan tersebut. Ia menggambarkan rasa gusar dan gementar hati pemimpin Umno yang berada dipaksi kuasa!
Matlamat Bersih
Perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat dan beberapa NGO adalah bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong bagi menyerahkan tuntutan lapan perkara ke arah penambah baikan sistem pilihan raya di Malaysia.
Lapan perkara itu ialah membersihkan daftar pemilih, mereformasikan sistem pengundian pos, memperkenalkan dakwat kekal, memastikan akses kepada media bebas dan adil, menjamin tempoh minimum 21 hari berkempen, menghentikan rasuah dan politik kotor serta desakan menghentikan penyalahgunaan jentera dan wang kerajaan (oleh parti penguasa) semasa kempen pilihan raya.
Semua matlamat ini merupakan penegasan yang membela hak dan kebebasan rakyat daripada terus dimanipulasikan oleh kerajaan Barisan Nasional. Justeru itu, apakah perhimpunan Bersih 2.0 itu sesuatu yang kotor!
Apa pun perhimpunan Bersih 2.0 dijangka bakal mencetus lebih meluas kesedaran rakyat untuk menolak sistem pilihan raya yang tempang, senget dan terdorong kepada autoritarian. Mudah-mudahan ia dapat membuka pintu hati rakyat untuk menolak sistem pilihan raya ikut selera kerajaan Barisan Nasional. Maksudnya, rakyat sejawarnya bangkit melakukan perubahan untuk menggantikan pilihan raya yang ikut kehendak penguasa (semata-mata ingin terus berkuasa) sehingga mencantas kewarasan rakyat berfikir ikut lunas pendemokrasian.
Hak berhimpun dizalimi
Lunas undang-undang negara membenar perhimpunan. Tidak timbul soal perhimpunan itu untuk tujuan apa sekali pun. Kerajaan Barisan Nasional yang dikemudikan oleh Umno tahu dan memahami Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberi hak eksklusif untuk rakyat berhimpun.
Namun, apabila pihak PAS dan Pakatan Rakyat mahu pun gabungan NGO seumpama Bersih akan mengadakan perhimpunan, maka secara cepat Umno bercakap ia sebagai perhimpunan haram. Ia sebagai pre-amptive agar polis bertindak tidak membenarkan sebarang perhimpunan anjuran pihak selain Umno-BN. Ini kerana kuasa polis telah disandarkan sebagai pihak yang betul atas alasan menjaga keselamatan awam.
Sesungguhnya cara pengurusan hak rakyat berhimpun sedemikian adalah suatu kezaliman penguasa (kerajaan Barisan Nasional dipimpin Umno) terhadap hak dan kebebasan bersuara untuk menzahirkan kehehendak sebenar. Meskipun rakyat (berhimpun) itu mewakili kelompok di luar kerajaan, NGO atau pun individu, maka aturan demokrasi dan sistem politik tamadun tetap membenarkan!
Justeru kerajaan Barisan Nasional ditunggangi Umno kini sudah bertindak bercanggah dengan sistem politik tamadun. Ia suatu tindakan yang harus ditentang oleh semua rakyat. Maka, perhimpunan Bersih 2.0 seharusnya menjadi gelombang kebangkitan rakyat untuk menolak amalan politik tidak bertamadun, mungkar dan berdosa. Logiknya, pihak Umno-BN sudah mengamalkan politik tidak bertamadun kerana menyekat hak dan kebebasan bersuara kelompok rakyat. Maka di sisi fekah politik Islam, ia suatu kemungkaran dan setiap yang mungkar adalah berdosa. Kebalikannya, rakyat yang menyokong dan terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0 nanti akan mendapat pahala kerana menentang amalan berdosa penguasa Umno-BN!
Perkasa menyokong dosa
Satu NGO yang menyahut hasutan Ahmad Maslan ialah Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), sebuah NGO totok Melayu pro-Umno. NGO ini dilihat terlalu mesra menentang setiap perkara yang pro-PAS-Pakatan Rakyat, walau pun dalam perkara mungkar (termasuk menghalang Bersih 2.0). Justeru dalam hal perhimpunan Bersih 2.0 ini pun Perkasa dilihat lebih lantang bersetuju dengan Umno yang menentang gelombang kebangkitan rakyat untuk meraih pahala menerusi perhimpunan Bersih 2.0.
Kenyataan tidak bertamadun Perkasa dikatakan akan turut menganjurkan perhimpunan balas untuk menyekat kehadiran rakyat meraih pahala di perhimpunan Bersih 2.0. Lalu berlapikkan ‘nilai agama’ Perkasa telah menyeru umat Islam dan umat Melayu agar hadir ke Majlis Pelancaran “menentang golongan anti Islam” yang diadakan pada 19 Jun di Padang Kelab Sulaiman, Kuala Lumpur dengan motif ‘lawan perhimpuan Bersih 2.0’.
Atas asas ini, maka Perkasa sudah bertaraf serupa Umno yang menyanggah usaha membersihkan sistem pilihan raya di Malaysia. Meskipun tindakan membersihkan pilihan raya satu usaha baik, tetapi bagi Perkasa serupa dengan Umno menganggap usaha membersih itu sebagai bercanggah dengan kehendak mereka. Ini kerana Perkasa dan Umno yang sering menang dengan sistem kotor tidak mungkin bersetuju dengan usaha membersih pilihan raya anjuran Bersih.
Apakah kemenangan pilihan raya berlapikkan sistem kotor adalah sesuatu yang mulia di sisi agama? Apakah puak yang menyokong pihak yang ingin mengekalkan kekotoran itu sebagai puak yang mulia? Logik agama ialah setiap kekotoran tetap kotor (najis). Justeru rezeki yang diperolehi menerusi cara kotor, ia tetap kotor.
Maka penentangan Umno dan disokong Perkasa terhadap perhimpunan Bersih 2.0 adalah berniat mengekalkan kekotoran. Oleh itu, tindakan Umno dan Perkasa itu merupakan kerja anti-bersih yang pro-kotor. Apakah ia bakal meraih pahala? Mungkinkah tindakan Perkasa yang selari dengan Umno itu adalah menyokong dosa atau pahala?
Seruan menjaya Bersih 2.0
Ayuh turun ke Kuala Lumpur menyertai Bersih 2.0 demi pahala untuk membersihkan sistem pilihan raya yang tidak bertamadun. Kehadiran secara aman adalah keutamaan demi membersihkan segala kekotoran yang sengaja dikekalkan oleh penguasa yang sentiasa menzalimi hak dan kebebasan rakyat.
Atas maksud tersebut, Pengerusi Badan Pengerak Mobilisasi Demokrasi PAS, Haji Mohammad Sabu (sekarang Timbalan Presiden PAS) dalam satu sidang media di Pejabat Agung PAS (21 Mei 2011) menegaskan tujuan Bersih 2.0 adalah sama dengan tujuan perhimpunan Bersih 1.0 pada 10 November 2007, iaitu menuntut pilihan raya bersih dan adil. Harapannya, pihak PAS dapat menghantar sekurang-kurangnya 100 ribu ahli hadir pada perhimpunan tersebut. Ia sesuai dengan nama perhimpunan kali ini adalah 'Walk for Democracy' sebagai gelombang baru yang bakal mengubah senario politik pilihan raya umum ke-13 nanti.
Hal yang sama turut disuarakan oleh Dr Mohd Hatta Ramli (sekarang Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS) yang menaruh harapan kejayaan lapan matlamat Bersih 2.0 (bakal menjadi memorandum rakyat kepada Yang Dipertuan Agong) sebagai meneruskan tuntutan sebelum ini (penggunaan dakwat kekal, media yang bebas, pemansuhan undi pos dan pembersihan daftar pemilih) yang langsung tidak dilayan oleh kerajaan. Justeru itu, sekurang-kurangnya 62 NGO yang bergabung dalam Bersih dijangka hadir.
Harapnya, Bersih 2.0 bakal membuat bayaran tunai kepada Umno dan Perkasa. Maka segala hutang piutang kezaliman dan kemungkaran serta dosa terhadap rakyat dalam sekian kali pilihan raya akan terlangsai. Ayuh bersama berdoa, semoga gelombang Bersih 2.0 akan berjaya dan sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT.
Lagu Hak & Kesedaran Warganegara Malaysia ,Sabtu, Jun 25, 2011 at 25.6.11,
Memberikan keyakinan dan kesedaran tentang keperluan pengetahuan dan hak sebenar sebagai warga negara Malaysia.
- Tiada nyawa yang akan kekal selamanya, pasti akan menemui ajalnya.
- Tiada kuasa yang dapat bertahan selamanya, pasti akan tumbang atas kezalimannya.
- Tiada banyak harta yang dapat kaya seluruhnya, pasti akan hilang ditelan usianya.
- Tiada pengaruh yang kekal selamanya, pastikan terhina dimamah tipu daya manusia sekelilingnya.
RTM Lakukan Kesilapan Secara Langsung Kepada Penonton , at 25.6.11,
Majlis Peguam Pertikai Mahkamah Benarkan Tayangan Semula Video Seks , at 25.6.11,
Kes Datuk T: Majlis Peguam terkejut tayang video seks di mahkamahKUALA LUMPUR, 25 Jun — Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee (gambar) menegaskan Mahkamah Majistret tidak sepatutnya membenarkan tayangan semula rakaman video seks, yang pelakunya didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana trio Datuk T telah pun mengaku bersalah.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Lim berkata tindakan mahkamah membenarkan tayangan rakaman video seks itu dalam perbicaraan pagi semalam adalah sesuatu “amat luar biasa.”
Ini kerana jelas beliau, sepatutnya sekiranya tertuduh mengaku bersalah mana-mana bahan bukti tidak perlu didedahkan.
“Tidak perlu buat macam itu sebab mereka sudah mengaku bersalah, saya hairan kenapa rakaman video seks itu disiarkan dalam mahkamah.
“Ini satu prosedur yang amat luar biasa, saya terkejut kenapa ia berlaku... kalau sudah mengaku bersalah sepatutnya tidak perlu (dedahkan bahan bukti),” kata beliau lagi.
Pagi semalam, ketiga-tiga Datuk T telah mengaku bersalah menayangkan rakaman video seks dan dikenakan denda keseluruhan RM5,500.
Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Aizatul Akmal Maharani selepas mendengar hujah-hujah yang dikemukakan pihak tertuduh.
Ketiga-tiga tertuduh — ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atas mereka.
Shazryl didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan sementara Shuib dan Abdul Rahim masing-masing RM1,500 atau dua bulan dan RM1,000 atau satu bulan.
Shazryl dan Shuib didakwa secara bersama menayangkan bahan lucah secara terbuka di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.
Sementara, Abdul Rahim pula didakwa secara berasingan atas tuduhan bersubahat dengan mereka untuk melakukan kesalahan tersebut.
Mengulas lanjut, jelas Lim, tindakan mahkamah itu juga tidak selari dengan prosedur biasa yang dilakukan dalam kes sedemikian.
“Dan, ini tidak selari dengan prosedur biasa, lagipun biasanya kalau mahu dedahkan bahan bukti ia dibuat ketika perbicaraan ketika pesalah tidak mengaku bersalah, sedangkan hari ini (semalam) mereka mengaku bersalah.
“Kalau kita ikut prosedur biasa, pesalah akan didakwa, kemudian hakim akan tanya sama ada mereka mengaku bersalah atau tidak dan jika mengaku bersalah hukuman akan terus dijatuhkan.
“Hukuman pula berdasarkan dengan kesalahan yang mereka lakukan, jadi tidak perlu untuk mahkamah bawa bahan bukti,” katanya.
Ditanya mengenai hukuman yang dikenakan terhadap Datuk T, Lim berkata, keputusan tersebut relevan dengan kesalahan yang dilakukan.
“Dalam kes ini, saya merasakan hukuman yang dikenakan kepada mereka bertiga relevan, tiada masalah dengan itu.
“Cuma tindakan yang menayangkan video seks itu yang jadi persoalan,” katanya.
Datuk T telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontonkan rakaman video seks itu kepada media di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 21 Mac lalu.
Mengikut laporan media, peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Abdul Rahim berkata, lelaki dalam video seks adalah “99.99 peratus” Anwar.
Shafee memberitahu pakar video Amerika yang dirujuk Polis Diraja Malaysia telah membandingkan imej lelaki dalam video itu dengan sekeping gambar Anwar dan mengesahkan yang kedua-dua adalah seiras.
“Ini bererti A and B adalah orang yang serupa,” katanya sambil mendakwa mengikut laporan 4 Jun lalu, Profesor Hany Farid dan Lorenzo Torresani dari Dartmouth College di Hanover, New Hampshire, terdapat keirasan 99.99 peratus lelaki dalam klip video itu dengan bagi foto Anwar.
Shafie menunjukkan salinan laporan tersebut kepada wartawan tetapi enggan membenarkan salinan dokumen itu dibuat.
Dalam fakta kes yang dibacakan di mahkamah, mahkamah juga mendengar bahawa pakar tersebut mengesahkan bahawa video itu tulen tanpa pengubahsuaian dan ia dirakam dengan perakam DVR milik Shazryl. -TMI
'Larangan polis tak sah, langgar perlembagaan' , at 25.6.11,
Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berpendapat tindakan pihak polis malarang perhimpunan BERSIH pada 9 Julai depan bukan sahaja tidak sah, malah melanggar perlembagaan."Mereka bertindak secara tidak sah apabila secara umum memaklumkan tidak akan mengeluarkan permit.
"Sebagai pihak berkuasa awam, mereka hanya boleh membuat keputusan apabila permohonan dibuat," kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu kepada Malaysiakini.
Abdul Aziz (kanan) menjelaskan, bawah perlembagaan, polis perlu menimbangkan setiap permohonan permit dan tidak patut membuat sebarang pertimbangan tidak wajar.
Beliau berhujah, polis membuat penghakiman awal berhubung perkara itu dan sekali gus menentang undang-undang.
Paling teruk apabila ia bertentangan dengan hak yang dijamin dalam perlembagaan.
Katanya, mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Perskutuan, polis tiada sebarang hak melarang perhimpunan aman yang dijamin.
"Hatta mahkamah juga tidak boleh melakukannya," kata pensyarah undang-undang itu. -M'kini
JOM PAKAI BAJU KUNING HARI NIE..!! Depa dah start tangkap dah..!! , at 25.6.11,


source: http://milosuam.blogspot.com
Rakyat Palestin kagum komitmen Kelantan , at 25.6.11,
KOTA BHARU, 25 Jun: Rakyat Palestin, Dr Naji Abu Zuhair Al-Sirhi melahirkan rasa kagum dengan kepimpinan ulama Kelantan diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat khususnya kepada komitmen kepimpinan negeri terhadap isu Palestin.
Beliau melihat Menteri Besar dan rakyatnya ada kelainan dalam ‘menghayati’ isu tersebut dengan menunjukkan simpati yang tinggi.
“Isu Palestin adalah isu sejagat, isu akidah dan isu ummah seluruhnya, bukan isu Palestin semata-mata.
“Semoga apa yang dibuat ini berterusan dan Allah swt mengembalikan kemuliaan ummah dan kemuliaan Islam, seterusnya akan membebaskan Masjidil Aqsa, hasil perjuangan seluruh umat Islam,” tegasnya.
Beliau bercakap kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Misi Bantuan Ke Gazza oleh Menteri Besar di Medan Ilmu, semalam.
Beliau kini menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi di negara ini. Hadir sama rakannya Arafat Abdullah. Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Besar Wan Nik Wan Yusoff.
Program misi penghantaran bantuan untuk rakyat Palestin menjelang Ramadhan, Aidul Fitri dan Qurban Aidul Adha itu anjuran Sekretariat Misi Cakna Palestin (Cakna Palestin) dengan kerjasama Badan Kebajikan Ar-Rahmah, Daerah Khan Younis Palestin (BKA) yang diasaskan sejak 1993 di Palestin di samping kerjasama Al-Quds Travel Sdn Bhd.
Menurut Dr Naji, komitmen itu satu terjemahan kepada komitmen Tok Guru dan rakyat Kelantan seluruhnya terhadap isu Palestin.
“Dan saya lihat di Kelantan, Tok Guru Nik Aziz dan rakyat Kelantan ada ‘kelainan’ terhadap rakyat Palestin dari sudut kesihan belas dan kesayangan mereka kepada rakyat Palestin dan perjuangannya di Palestin.
“Saya tidak mampu untuk mentakbir (menggambarkan) dengan kata-kata terhadap komitmen Tok Guru dan Kerajaan Negeri, namun sambutan program ini menjelaskan keadaan sebenarnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Cakna Palestin Nazri Deraman menjelaskan perancangan Cakna Palestin ialah menghantar bantuan kepada rakyat Palestin sebelum penghujung Sya’aban atau awal Ramadhan, 1432 Hijriah.
“Justeru bantuan daripada rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin, akan disampaikan khususnya bagi menghadapi Ramadhan di Palestin.
“Program hari ini dilancarkan untuk rakyat Kelantan di mana mulai hari ini mereka bolehlah memberi sumbangan melalui Cakna Palestin untuk dihantar bantuan tersebut ke Gazza, melalui wakil kita sebelum Ramadhan nanti,” katanya.
Pada majlis pelancaran itu, Menteri Besar melepaskan belon bersama bendera Palestin sebelum melepaskan sembilan ekor burung, yang melambangkan bahawa suatu hari nanti Palestin akan bebas, selaras dengan motto perjuangan rakyat Palestin: “Kita yakin Al-Quds adalah milik kita dan kita akan kembali”. -Hrkh
Demo Aman Bantah Kebiadaban Utusan Seluruh Negara , at 25.6.11,
Peserta demonstrasi aman bakar UtusanKUALA LUMPUR : Lebih 200 menyertai himpunan aman di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru bagi membantah kebiadaban akhbar milik Umno, Utusan Malaysia berhubung penerbitan karikatur "Kekeliruan Kes Rogol" yang didakwa menghina Islam.
Ianya antara siri bantahan Dewan Pemuda PAS pusat yang berlangsung di seluruh negara sejurus selesai solat Jumaat hari ini.
Turut menyertai himpunan itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Ahmad Sabki Yusof, Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah, Suhaimi Abdul Aziz serta wakil pelajar.
Ketika berucap, mereka masing-masing mengecam tindakan Utusan itu yang disifatkan melampau.
Mereka juga menyeru rakyat agar memboikot akhbar itu.
Bantahan itu dibuat ekoran sikap angkuh dan enggan memohon maaf, akhbar tersebut biarpun didesak pelbagai pihak.
Sebelum ini, Utusan Malaysia diberi tempoh tujuh hari agar memohon maaf bermula dari tarikh karikatur itu disiarkan pada 15 Jun lalu.
Selain itu, Dewan Pemuda PAS Pusat juga mahu Utusan Malaysia mengambil tindakan ke atas pelukis karikatur itu yang hanya dikenali sebagai “Miki.”
Sebagai tanda kecaman, mereka turut membakar akhbar itu di hadapan hadirin yang hadir.
Di KUALA TERENGGANU, lebih 500 berhimpun bersama Mohd Nor Hamzah Adun Bukit Payung yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu di hadapan Masjid Pengadang Baru bagi menyatakan bantahan kepada Utusan yang memperlekehkan dan menghina Islam.
Utusan, akhbar Umno tanpa rasa bersalah dan takut menghina Islam melalui satu lakaran kartunnya sehingga kini masih belum berganjak dan mempertahankan kartun itu dan enggan memohon maaf.
Turut berucap Yahaya Ali, Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu yang mendesak seluruh rakyat memboikot Utusan yang sentiasa membuat angkara tanpa rasa takut dan penuh bongkak.
Kemuncak perhimpunan aman hari ini, Yahaya bersama orang ramai membakar akbar Utusan sebagai simbolik membantah tindakan Utusan yang tidak mahu memohon maaf kepada umat Islam.
Di PULAU PINANG, Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang bersama Persatuan Ulamak Cawangan Pulau Pinang berkerjasama menjayakan piket aman membantah penyiaran kartoon di akhbar Utusan Malaysia yang nyata menghina Islam di tiga lokasi masjid iaitu Permatang Janggus, Permatang Pauh, Masjid Padang Lalang, Bukit Mertajam dan Masjid Hashim Yahya, Jelutong.
Semua demontrasi aman di tiga lokasi berkenaan berlangsung dengan baik dan tiada provokasi pihak polis.
Semasa berucap Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali mengajak Umat Islam bangkit segera daripada lena kerana Utusan Malaysia bersikap begitu melampau terhadap Islam.
Utusan Malaysia tambahnya, tidak ubah seperti orientalis Barat, Salman Rushdi yang cukup berani mencerca hukum Islam.
"Apa bezanya Utusan Malaysia dengan Salman Rushdi yang menghentam kesyumulan Islam. Mereka harus dikenakan tindakan yang sewajarnya," tegas beliau.
Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Haji Omar Hasan pula mengajak Umat Islam supaya lebih peka terhadap sebarang isu angkara agen Yahudi.
“Ke mana perginya Ulamak dalam Umno kenapa mereka membisu seribu bahasa walhal Islam adalah agama suci yang tidak harus diperkecilkan begitu sahaja.
"Kita kena peka dengan isu yang membabitkan Islam supaya mereka tidak berani mencabar kesucian tamadhun Islam," jelasnya.
Sementara itu, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Permatang Pauh, Ustaz Zakaria Hamzah pula menegaskan Utusan Malaysia yang menjadi tangan dan kaki Umno Barisan Nasional (BN) sanggup menentang kebenaran untuk menegakkan kebatilan.
Isu ini jelas, agen Yahudi telah berjaya menyerap masuk dalam pemerintahan negara serta media arus perdana sehingga begitu berani dan agresif mempersendakan Islam yang sejati.
Lebih kurang 200 orang berdiri di luar perkarangan masjid mengatakan tentangan penyiaran kartun yang sehingga kini tidak menyiarkan permohonan maaf.
Banyak sepanduk dipegang peserta, antaranya berbunyi Utusan Malaysia kunco Umno, Utusan Malaysia perosak syariat Islam, wajib boikot Utusan Malaysia, Utusan Meloya hati dan jiwa rakyat dan sebagainya.
Di akhir demo berkenaan kesemua yang terlibat membakar akhbar tersebut sebagai tanda bantahan kerana bersikap ego ketika mempersendakan kemuliaan hukum Islam.
Di IPOH, bertempat di Masjid Sultan Idris Shah 11, Masjid Negeri Ipoh telah diadakan satu himpunan membantah akhbar Utusan Malaysia yang telah menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam pada minggu lepas.
Oleh kerana Utusan Malaysia masih gagal memohon maaf berikutan penyiaran tersebut, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak bersama beberapa badan bukan kerajaan telah menganjurkan himpunan bagi membantah Utusan Malaysia selepas solat Jumaat tadi.
Hampir 200 orang telah bersama membantah kebiadapan Utusan Malaysia dan kegagalan Kementerian Dalam Negeri bertindak terhadap Utusan Malaysia sehingga sekarang.
Himpunan yang berjalan hampir 30 minit dengan pelbagai sepanduk mendesak agar Utusan Malaysia segera memohon maaf.
Beberapa pimpinan PAS turut berucap dan telah diakhiri dengan bacaan doa setelah pihak polis mengarahkan agar himpunan tersebut dihentikan.
Berikutan itu juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien yang turut hadir kesal kerana pihak Utusan Malaysia tidak sensitif kepada umat Islam. -Hrkh
Karikatur Hina Islam, PAS Demo Seluruh Negara
Ditulis oleh Afix Redzuan
24/06/2011
Share
KUALA LUMPUR 24 JUN : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menuntut permohonan maaf secara terbuka dari akhbar Utusan Malaysia berhubung tindakan penyiaran karikatur ‘Kekeliruan Kes Rogol’ yang disifatkan sebagai menghina agama Islam.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Sabki Yusof menyatakan tindakan penyiaran karikatur itu menghina sensitiviti umat Islam di negara ini dan mendesak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat serta mengambil tindakan segera terhadap Utusan.
“Utusan telah menghina hukum agama Allah. Perhimpunan kita menyatakan bahawa mereka telah melakukan satu kesilapan besar terhadap umat Islam dalam negara.
“Kepada pihak JAWI dan KDN supaya mereka menyiasat dan mengambil tindakan keras terhadap Utusan. Sekiranya tiada tindakan yang diambil, kita akan meneruskan bantahan kita dengan skala yang lebih besar,” katanya.
Sabki berkata demikian sebelum mengadakan demonstrasi membantah karikatur terbitan Utusan Malaysia pada 15 Jun lalu.
Lebih 50 orang menyertai demonstrasi berkenaan yang diadakan di perkarangan Majid Jamek Kampung Baru, di ibu negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda, DPPP Wilayah Persekutuan, Suhaimi Abd Aziz pula mendesak agar pihak KDN mengkaji balik permit Utusan Malaysia ekoran paparan akhbar itu yang sering menyimpang dari landasan sebenar.
“Tindakan awal kita menghantar memorundum kepada Utusan Malaysia agar mereka menarik balik karikatur terbabit dan memohon maaf kepada umat Islam. Kita juga minta KDN mengkaji balik permit Utusan Malaysia yang kita rasakan isu ini serius. Kalau mereka hina kita, kita boleh maafkan. Ini mereka menghina Islam seperti bantahan yang kita lakukan berhubung penyiaran karikatur di Sweeden dan Denmark,” katanya.
DPPP hari ini menggerakkan demonstrasi di seluruh negara bagi membantah tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan karikatur mengelirukan tentang hukum Islam dalam mengadili sesuatu kes jenayah.
Selain di Kuala Lumpur, demonstrasi turut diadakan di beberapa negeri termasuk Perak, Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu ekoran keengganan Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan karikatur itu.
Dalam demonstrasi aman yang disertai kira-kira 50 orang turut melaungkan slogan “Utusan Hina Islam”, “Hancur Utusan Malaysia”, Boikot Utusan Malaysa”, “Hidup Umat Islam”, “Jangan Hina Ajaran Islam” dan “Batalkan Permit Utusan Malaysia.”
Peserta demonstrasi itu juga membakar Utusan Malaysia sebagai simbolik membantah tindakan akhbar milik Umno.
Karikatur itu yang disiarkan pada muka surat 15 Utusan Malaysia, menyaksikan dua situasi berbeza yang terpaksa dialami oleh mangsa rogol.
Dalam situasi pertama, mangsa rogol telah mengemukakan aduan kepada seseorang yang mirip seperti pegawai jabatan agama, namun ditolak kerana menurut watak itu mangsa memerlukan empat orang saksi sedangkan mangsa hanya mempunyai rakaman video.
Sementara itu dalam situasi kedua, mangsa telah membuat laporan polis dan pegawai yang menguruskan kes itu berkata rakaman video boleh dijadikan bukti.
Pada Jumaat lalu, Pemuda PAS menghantar memorandum bantahan kepada Utusan Malaysia dan memberikan tempoh tujuh hari untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengambil tindakan terhadap kartunis yang berkenaan. -tvsnews
GAMBAR sekitar demonstrasi Boikot Utusan di Masjid Negeri Ipoh ,Jumaat, Jun 24, 2011 at 24.6.11,
Lebih 200 orang berhimpun di perkarangan Masjid Negeri Ipoh selepas solat Jumaat mendesak Utusan memohon maaf atas karikatur yang disiarkan dalam Utusan yang menghina Islam. Demonstrasi itu dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Perak. Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar, Ketua Penerangan Dewan Ulama' Ustaz Norazli Musa dan beberapa badan bukan kerajaan seperti ABIM sera Dewan Himpunan Penyokong PAS..
Demonstrasi itu diganggu oleh pihak Polis. Namun berjalan dengan lancar. Sebelum bersurai, Pesuruhjaya PAS Perak bersama-sama yang lain membakar akhbar Utusan Malaysia tanda kekesalan terhadap Utusan yang menghina Islam.









