Ikuti Blog ini

Najib dituduh bersama Altantuya



Datuk Seri Najib Razak sekali lagi dikaitkan dengan Altantuya Shaariibuu - kali ini dakwaan yang lebih menggemparkan daripada penyiasat persendirian kepada Abdul Razak Abdullah Baginda.

Penyiasat persendirian itu, P Balasubramaniam hadir dalam sidang media bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR Petaling Jaya hari ini.

Dalam akuan berkanunnya yang diedarkan kepada media, Balasubramaniam memberikan beberapa butiran maklumat yang didakwa menunjukkan hubungan awal antara Altantuya, wanita Mongolia yang dibunuh, dengan timbalan perdana menteri.

Balasubramaniam, yang diupah Abdul Razak pada Oktober 2006, mendakwa majikannya itu pernah memberitahunya bahawa Najib memperkenalkan Altantunya kepadanya dalam sebuah pameran berlian di Singapura.

Abdul Razak, yang kini dituduh bersubahat membunuh wanita Mongolia itu, didakwa memberitahu sedemikian pada 14 Oktober dua tahun lalu untuk memujuknya terus bertugas dengannya.

Selain maklumat tersebut, dakwa Balasubramaniam lagi, penganalisis politik yang dekat dengan pemimpin negara itu juga memberitahunya:
Najib memaklumkan kepada majikannya itu bahawa mereka berdua pernah melakukan hubungan seks.

Oleh sebab beliau sekarang timbalan perdana menteri, Najib meminta Abdul Razak menjaga Altantuya agar wanita berkenaan tidak mengacaunya.

Ketiga-tiga mereka – Najib, Abdul Razak dan Altantuya - didakwa pernah makan malam bersama di Paris.

Altantuya menuntut wang komisyen sebanyak US$500,000 daripadanya berhubung pembelian kapal selam Malaysia di negara itu.

Dalam akuan berkanunnya, Balasubramaniam berkata beliau pernah berbual dengan Altantuya di luar pagar rumah Abdul Razak pada 19 Oktober tahun itu semasa bertugas mengawal rumah majikannya.

Dalam perbualan mereka, penyiasat itu mendakwa wanita itu memberitahunya:

Altantuya bertemu dengan Abdul Razak dan Najib di Singapura.

Mereka bertiga pernah makan malam bersama di Paris.

Wanita itu pernah dijanjikan wang komisyen US$500,000 berhubung urusan pembelian kapal selam.

Altantunya memerlukan wang untuk menebus kembali rumah yang dibelikan untuknya oleh Abdul Razak tetapi telah dibiayai semula oleh saudara lelakinya.

Ibunya sedang sakit dan beliau memerlukan wang untuk rawatan.

Oleh kerana niatnya untuk bertemu Abdul Razak masih tidak kesampaian, Altantuya meminta Balasubramaniam menguruskan pertemuannya dengan Najib.

Dakwaan-dakwaan menggemparkan ini terkandung dalam akaunnya setebal 16 halaman - yang turut diedarkan di sidang media tersebut tengah hari ini. Akuan berkanun tersebut difailkan pada 1 Julai.

Balasubramaniam, yang ditahan polis di awal siasatan kes berprofil tinggi itu pada pertengahan November 2006, turut mendakwa maklumat mengenai Najib yang didedahkan kepada polis tidak dimasukkan dalam kenyataan beramarannya.

Bekas anggota Cawangan Khas ini, yang bertugas selama 17 tahun bersama pasukan polis, disoal siasat lebih kurang 10 jam selama tujuh hari ditahan.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .