Ikuti Blog ini

Bantuan kepada SAR disalur semula - Menteri Pelajaran


KOTA BHARU, Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menyekat bantuan perkapita ke sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) di seluruh negara, namun hari ini sumbangan itu diberi kembali kepada SAR di Kelantan.

Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan Kementerian Pelajaran memanterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi mendaftar 20 sekolah di bawah kelolaan Yik dengan kementerian.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Husein menyaksikan majlis bersejarah itu yang berlangsung dalam suasana ukhuwwah di Balai Islam dekat sini.

Pada perjanjian itu, Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Aiseri Alias mewakili Yik, manakala Dato' Ali Muddin dan Tan Sri Dr Zulkarnain Awang mewakili Kementerian Pelajaran.

Sebagai permulaan, Kementerian Pelajaran melulus peruntukan sebanyak RM5 juta bagi menampung keperluan di 20 sekolah terbabit.

Hadir sama dalam majlis yang penuh bermakna itu,?Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri serta pusat.

Pertama kali juga dalam sejarah pegawai kanan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pendidikan Negeri hadir pada program dianjur bersama kerajaan negeri.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyifatkan majlis berkenaan sebagai memperbetulkan saluran demokrasi yang telah dibengkang-bengkok oleh anasir yang tidak bertanggungjawab selama ini.

Katanya, beliau sebagai orang politik dapat duduk semeja dengan penuh ukhuwwah bersama Hishamuddin untuk menjaga masalah anak-anak walaupun berlainan fahaman politik.

"Anak-anak ini walau pun bukan anak kita, tetapi Allah beri pada kita pangkat, pengaruh bukan secara mutlak, tetapi diberi untuk disoal akhirat nanti untuk menjaga tanggungjawab ini," katanya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .