Ikuti Blog ini
Harakah dua kali seminggu dilancarkan penuh simbolik ,Jumaat, Ogos 15, 2008 at 15.8.08,
IPOH, 15 Ogos - Dalam usaha meningkatkan penyebaran maklumat kepada ahli dan orang awam mengenai PAS dan isu semasa, akhbar rasmi parti, Harakah dilancarkan secara rasminya, di Muktamar PAS Pusat, pagi ini.
Pelancaran Harakah sempena keluaran sulung bagi dua kali seminggu ini dilancarkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan penuh simbolik.
Para hadirin kelihatan agak teruja dan bangun dari tempat duduk masing-masing apabila mendengar bunyi enjin motosikal memasuki dewan yang menempatkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pemerhati.
Penunggang motosikal tersebut, Abdul Manaf Dahalan, yang juga merupakan pengedar Harakah paling lama di Perak, diiringi petugas Unit Amal kemudiannya terus menuju ke pentas utama.
Ketika itu, laungan takbir dan tepukan mengiringi motosikal yang terus menuju ke pentas utama. Para jurugambar dari pelbagai agensi sibuk merakamkan detik-detik pelancaran akhbar rasmi parti itu.
Sejurus watikah rasmi dibacakan Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali, Harakah keluaran 15 Ogos diserahkan kepada semua Pesuruhjaya PAS Negeri, bermula dari Kelantan yang diwakili Dato' Takiyudin Hassan dan diakhiri oleh Pesuruhjaya Sabah, Mohamad Abdullah.
Sementara itu, Mustafa menyerahkan cenderahati kepada Ustaz Abdul Hadi.
Sejurus selepas pelancaran tersebut, satu tayangan multimedia khas berkenaan Harakah ditayangkan kepada para hadirin.