Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedang membuat temujanji untuk mengadakan pertemuan dengan perdana menteri secepat mungkin bagi membincangkan tentang penahanan ISA dan masa depan politik Malaysia.
Beliau yang juga penasihat PKR memberitahu satu sidang media di ibupejabat PKR bahawa beliau berharap dapat bertemu dengan Abdullah secepat mungkin.
Dalam sidang media itu, Anwar menjelaskan bahawa keputusan untuk berjumpa dengan perdana menteri telah dipersetujui secara bersama oleh kepimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat hari ini.
Beliau mendakwa penahanan ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok adalah salah satu cara untuk menakut-nakutkan ahli parlimen dan rakyat dan jelas ia melanggar hak asasi seseorang.
Penahanan Teresa dan dua orang lagi - Blogger Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng - dibuat menjelang tarikh Anwar merancang mengambil alih kuasa pada 16 September depan. Tan dibebaskan hari ini.
Anwar mendakwa sejumlah ahli Parlimen BN akan menyertai Pakatan - cukup untuk menubuhkan kerajaan baru.
Ditanya cadangan pertemuan dengan Anwar itu ada kaitan dengan peralihan kuasa, Anwar menjawab, ianya mengenai masa depan negara tanpa bercakap khusus mengenai peralihan kuasa.
Katanya, kepimpinan Pakatan mendesak kerajaan supaya membebaskan Teresa dan Raja Petra.
Menjawab soalan, Anwar tidak menolak kemungkinan penahanan lebih ramai pemimpin Pakatan.
Beliau yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh kesal dengan Umno yang didakwanya memainkan isu perkauman dan jelas mereka berada dalam keadaan terdesak.
Rakyat gelisah
Sehubungan itu, penasihat PKR itu menyatakan komitmennya bersama pimpinan Pakatan untuk tidak membenarkan kerajaan mewujudkan sesuatu yang boleh menimbulkan rasa kegelisahan di kalangan rakyat.
Katanya, beliau bersama pimpinan yang lain akan sentiasa mengadakan perbincangan mengatur langkah seterusnya sekiranya Raja Petra dan Teresa tidak dibebaskan.
Dalam sidang media yang sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaafar menyifatkan penahanan Raja Petra dan Teresa di bawah ISA sebagai satu tindakan yang kejam dan zalim.
Beliau kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menahan mereka dalam bulan Ramadan yang sepatutnya beliau menjaga kemuliaan bulan tersebut.
"Tetapi Ramadan tahun ini perdana menteri menahan orang yang tidak bersalah," kata Kamarudin.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dengan nada kesal dan sedih menyalahkan kerajaan yang tidak menghormati keselamatan awam dan tidak menghormati wartawan.
Desak bebas tanpa syarat
Beliau juga berasa sedih kerana kerajaan tidak membebaskan Teresa yang telah dipilih oleh rakyat sebagai ahli parlimen dan sebagai exco kerajaan negeri Selangor.Ekoran itu, beliau menyifatkan penahanan Raja Petra dan Teresa sebagai penghinaan terhadap demokrasi di Malaysia dan sebagai tindakan membalas dendam kepada Pakatan yang berhasrat untuk mengambil alih kepimpinan negara.
Oleh yang demikian, dalam satu kenyataan akhbar bersama yang diedarkan semasa sidang media itu, kepimpinan Pakatan mendesak kerajaan membebaskan semua tahanan tanpa syarat.
"Sekiranya terdapat sebarang bukti mengenai sebarang kesalahan jenayah, ia harus dibicarakan di mahkamah terbuka," jelas kenyataan itu yang ditandatangani bersama oleh Anwar, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk seri Abdul Hadi Awang.
Selain itu, antara langkah lain yang diaturkan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat ialah mereka akan mengadakan himpunan secara aman bersama kerajaan Selangor di Stadium Kelana Jaya pada malam 15 September ini bagi merayakan Hari Malaysia.