Ikuti Blog ini

Mahkamah Persekutuan sahkan kemenangan PAS di Manir


Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan kemenangan Dato' Harun Taib daripada PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kawasan Manir setelah menolak dengan kos petisyen pilihan raya calon Barisan Nasional, Wan Sagar Wan Embong.

Panel tiga hakim terdiri Hakim Besar Malaya Tan Sri Alaudin Mohamed Sheriff dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Dato' Arifin Zakaria dan Dato' Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihan raya kawasan Manir adalah cacat.

Bernama melaporkan,Mahkamah Persekutuan mendapati dakwaan Wan Sagar dalam petisyennya kononnya agen-agen Harun telah melakukan rasuah seharusnya lebih spesifik.

Hakim Zulkefli, yang membacakan penghakiman itu, berkata hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dalam mendapati petisyen Wan Sagar itu cacat kerana ia tidak mengandungi butir-butir mengenai amalan rasuah yang didakwa dilakukan oleh Harun.

Wan Sagar membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Mei yang menerima bantahan awal oleh Harun dan mendapati petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Manir adalah cacat kerana ia tidak mengandungi butiran mengenai amalan rasuah, dan menolak petisyen itu.

Dalam pilihan raya 8 Mac lepas Harun menang dengan majoriti 406 undi.

Harun diwakili peguam Mohd Ariff Yusof manakala Wan Sagar diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .