Ikuti Blog ini

Majlis Perunding Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ditubuhkan


Ipoh : Beberapa pertubuhan NGO Islam diperingkat nasional dan peringkat negeri telah bersetuju secara konsensus untuk bergabung dalam satu pertubuhan yang akan bertindak sebagai badan induk Majlis Perunding bagi menangani isu-isu yang berkaitan umat Islam secara bebas.

Majlis Perasmian Penubuhan dan Persidangan Majlis Perunding Pertubuhan–Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu telah diadakan pada hari Ahad di Dewan Besar Kediaman Menteri Besar Perak.

Majlis tersebut adalah anjuran Sekretariat Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak atau ringkasnya JAMAI’IY.

“Lebih 30 NGO Islam peringkat nasional dan 14 lagi di peringkat negeri telah bersetuju membentuk Majlis Perunding Pertubuhan–Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kelmarin,” jelas Mohd Nazri Sahat , salah seorang exco JAMAI’IY.

Antara yang hadhir dalam majlis tersebut ialah perwakilan daripada ABIM, JIM, TERAS, PKIM, ISMA, MACMA, dan lain-lain.


Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin telah menyempurnakan ucaprasmi Majlis Penubuhan dan Persidangan MPIM tersebut.

Nizar berharap MAPIM akan berperanan aktif sebagai ‘Islamic Council’ , merapatkan kerjasama pertubuhan Islam berikutan dengan pembangunan , ekonomi dan sosial.

Nizar berkata, “ MAPIM ditubuhkan untuk menyatakan lebih bersepadu berikutan dengan urus tadbir negara dan untuk berkongsi maklumat memajukan Malaysia tanpa mengira kaum atau ugama.”

“Dengan tertubuhnya MAPIM, adalah diharapkan kita telah dapat menyelesaikan masalah berbilang-bilang jemaah Islam dalam negara kita hari ini,” jelas Nazri.

Menjawab kepada persoalan mengapa majlis tersebut dibuat dikediaman Menteri Besar, sedangkan MAPIM merupakan satu pertubungan NGO, Nazri menjelaskan bahawa Menteri Besar itu sendiri merupakan satu institusi milik rakyat dan MAPIM juga adalah milik rakyat ; maka tidak ada peliknya kalau dilihat dari sudut demikian.

Penubuhan MAPIM adalah satu detik sejarah bermulanya satu lembaran pemikiran ummat yang menjangkau pandangan politik kepartian dalam mengurus hala tuju ummat Islam dalam negara ini.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .