Ikuti Blog ini

Rahsia & risipi Kelantan bangkit semula selepas cemas-cemas tumbang - TMB Kelantan




Muqqaddimah: Apabila bercakap mengenai kerajaan Islam, Kelantanlah menjadi fokusnya. Sehingga kini sudah lebih 18 tahun ulama mentadbir negeri terbabit. Sepanjang tempoh itu ada pasang dan surutnya. Biar apa pun Kelantan terus gagah meredah arus politik. Penggal lalu kerajaan PAS berada dalam suasana paling gentir. Seumpama telor di hujung tanduk. Namun biar pun dijarak dengan kelebihan satu kerusi kerajaan PAS terus utuh. Apa rahsianya. Ikuti temubual bersama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yakub bagi melihat dari dekat lonjakan kembali PAS di Kelantan ketika ditemui.

Apa rahsia PAS Kelantan dapat bangkit selepas hampir rebah pada penggal lalu?

Kita mendapat lonjakan sokongan pada pilihan raya baru-baru ini kerana hasil kerja keras sebelum ini, di samping itu jentera kita penuh disiplin. Selain itu kerajaan negeri juga melaksanakan beberapa program baru yang lebih kepada kebajikan kepada rakyat.
Ini menyebabkan rakyat memberi keyakinan semula kepada PAS. Manifesto dalam pilihan raya baru-baru ini untuk melebarkan lagi program kebajikan rakyat. Utama sekali istiqamah serta dakwah 'bil hal' dan pemimpin kita berpegang teguh dengan prinsip perjuangan Islam.
Dalam keadaan kita menang dengan satu kerusi pada penggal lalu wakil rakyat kita berpegang teguh kepada prinsip Islam. Biar pun ditawarkan dengan jutaan wang ringgit namun mereka tetap dengan perjuangan. Dan ini mendapat pujian daripada rakyat terhadap sikap wakil rakyat PAS.

Ada sesuatu program yang Dato' rasa telah menarik minat rakyat?

Program yang kita lancar antaranya Pembangunan Ladang Rakyat sehingga menjelang pilihan raya baru-baru ini hampir 100 orang dari setiap Dun dipilih sebagai peserta. Ini bermakna mereka dapat menerima bantuan secara langsung daripada kerajaan hasil daripada Ladang Rakyat sebanyak RM200 sebulan.
Kita beri dalam tempoh tiga bulan sekali iaitu berjumlah RM600. Ini sedikit sebanyak dapat menampung kehidupan mereka lebih-lebih lagi kenaikan harga minyak yang begitu tinggi baru-baru ini. Selain itu program Skim Takaful Kifaalah.
Ini cukup berkesan kerana kerajaan begitu prihatin terhadap kesusahan rakyat. Pada hari kematian diberi RM500 dan tidak lama selepas itu akan diberi RM2,000 lagi. Dalam penggal lepas program belia sangat berjaya di bawah Abdul Fattah Mahmood dengan pelbagai program untuk bersama belia.

Banyak pihak mengatakan kekuatan PAS di Kelantan kerana faktor Tok Guru Dato' Nik Abdul Aziz. Sejauh mana Dato' melihatnya?

Ada kebenarannya. Sudah menjadi budaya di Kelantan menghormati Tok Guru sebagai pemimpin, ketua atau apa sahaja. Tok Guru menjadi lambang yang dihormati. Budaya ilmu di Kelantan disebar oleh Tok Guru. Mungkin kita tidak dapat mencari satu calon yang sama dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Namun kita boleh dengan cara kolektif dan suara ramai untuk meneruskan dasar Membangun Bersama Islam asasnya di bawah pimpinan ulama. Maka kita mampu menyediakan pelapis ke arah itu.

Ini bermakna Dato' rasa sudah ada calon boleh menggantikan Tok Guru sekarang?

Bagi saya ramai pemimpin berwibawa dalam PAS sekarang, cuma selagi Tok Guru masih ada kita beri peluang kepadanya untuk terus memimpin. Jadi dalam waktu ini belum nampak lagi calon lain yang menonjol kerana belum lagi diberi peluang. Memang ada calon-calon yang dianggap sesuai.
Namun belum lagi kita tunjukkan. Biasanya pimpinan Islam silih berganti. Selagi kita bergerak di atas dasar Islam dan tidak lari daripada prinsip itu InsyaAllah kita tidak akan ketandusan pemimpin pelapis.

Apa persediaan Dato' sekiranya diberi peluang mengetuai kerajaan?

Saya setakat ini masih lagi Timbalan Menteri Besar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan (ketawa).

Sejauh mana kejayaan Kelantan kalau dibanding dengan negeri-negeri lain, selepas lebih 18 tahun berada di bawah PAS?

Apa yang paling ketara ialah dari segi amanah. Pemimpin walaupun bijak dan hebat tetapi kalau tidak ada amanah akan berlaku ketirisan dan kecurangan. Ini yang tidak berlaku di Kelantan. Kita boleh berbangga dengan sifat amanah yang begitu tinggi menjadi amalan pemimpin di sini.

Kelantan sehingga kini masih lagi dilabelkan sebagai tidak membangun dan ketinggalan. Benarkah demikian?

Pada saya Kelantan sudah jauh membangun kalau hendak dibanding dengan sesetengah negeri lain. Mungkin mereka dipengaruhi pemikiran lama yang masih bersisa.
Pembangunan tetap berlaku cuma yang belum ada industri secara besar-besaran. Kita
tidak ada pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa. Dalam jawatankuasa infrastruktur negeri ada cadangan untuk membina pelabuhan di Tok Bali, Pasir Puteh dan KuaLa Besar. Industri besar-besar juga mungkin memberi kesan yang tidak baik kepada alam sekitar.
Bgaimana pun kita cuba mewujudkan pelabuhan melalui pembangunan ekonomi wilayah timur (ECER). Kita cuba padukan dan saya rasa tidak timbul tiada pembangunan.

Bagaimana penyelesaian masalah tanah?

Sebahagian besar masalah permohonan tanah lebih tertumpu di kawasan Kelantan Selatan, misalnya Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah. Kerajaan sentiasa memberi hak milik tanah kepada rakyat sekadar untuk sara hidup mereka. Kita juga sedang melaksanakan program pembanngunan tanah melalui agensi kerajaan khususnya Perbadanan Menteri Besar dan Perbadanan Ladang Rakyat.

Sejauh mana hak milik tanah sudah diselesaikan?

Sudah banyak diluluskan untuk rakyat. Namun program baru yang sedang kita usaha iaitu tanah-tanah yang diberi kelulusan dasar melebihi 50 ekar, kalau pemiliknya tidak dapat membayar premium dan upah ukur, kerajaan mengambil pendekatan tanah-tanah itu akan diberi milik kepada pemohon melalui kerjasama Perbadanan Ladang Rakyat.
Ladang Rakyat akan membayar premium dan upah ukur. Satu perjanjian akan dibuat bersama peneroka yang akan dimajukan Ladang Rakyat sehingga 30 tahun akan datang.
Apabila ladang yang diusahakan mendapat hasilnya akan dipotong pendahuluan yang diberi pada peringkat awal. Kawasan tersebut ada tempatnya seluas 1,000 ekar dan di tempat lain pula 2,000 ekar.
Kita kenalpasti ada 11 kawasan yang sudah dilulus dasar oleh kerajaan. Kelulusan dasar sudah lama diberi namun penduduk tidak mampu untuk membayar premium sehingga kerajaan tidak mendapat sebarang hasil.
Melalui kaedah baru hasil dapat kepada kerajaan dan peneroka diberi hak milik tanah. Sekarang kawasan itu tidak ada hasil. Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah jajahan akan membuat pemutihan ke atas pemohon kelulusan dasar dan mereka akan diminta membayar premium dan upah ukur sebelum tanah itu diluluskan.
Ladang Rakyat akan tolong membayarnya terlebih dahulu dan akan memajukan kawasan itu. Masalah ini juga dapat menyelesaian penerokaan tanah secara haram peringkat demi peringkat. Syarat tanah tersebut hanya diterima sebelum 1995. Permohonan tanah baru kita tidak benarkan.

Bagaimana sokongan orang bukan Islam terhadap PAS?

Kita dapati sokongan meningkat kerana kita tidak berjuang di atas dasar bangsa. Kita berjuang di atas dasar agama. PAS sekarang sudah berjaya menjelaskan mengenai Islam kepada orang bukan Islam biar pun sebelum ini dihalang parti lawan.
Umno banyak menghalang usaha dakwah kita, namun sekarang orang bukan Islam mulai faham. Sebab itulah orang bukan Islam di Kelantan semakin ramai memberi sokongan kepada PAS. Ini terbukti dengan kaum Cina dan India kepada calon PAS di Dun Kota Lama meningkat dengan mendadak.
Ini kerana kita tidak pernah mengubah budaya mereka dan tetap dapat diamalkan. Kita kemukakan Islam sebagai satu cara penyelesaian bagi kehidupan manusia.

Sistem gadaian Islam (Ar Rahn) yang dipelopori kerajaan negeri nampaknya semakin berkembang. Sejauh mana prestasinya sekarang?

Kita sediakan sistem tersebut bagi memudahkan rakyat menyimpan barang kemas bagi mendapat wang tunai. Kita tidak kenakan sebarang faedah. Ini menyebabkan orang ramai semakin berminat untuk menggunakan perkhidmatannya sehingga Ar Rahn berkembang sehingga ke luar Kelantan.
Berkaitan kes pecah masuk baru-baru ini kerajaan negeri sudah memberi jaminan akan membayar ganti rugi sepenuhnya kepada penyimpan. Dan rakyat yakin dengan kemampuan kita mengurusnya.

PAS juga didapati mendapat sokongan padu anak-anak perantau pada pilihan raya umum lalu?

Kita menghargai pengundi di kalangan rakyat Kelantan yang tinggal di luar negeri, di mana mereka balik mengundi dengan tidak ada upah. Mereka balik dengan menyatakan tidak mahu lagi kepada BN. Ini menggambarkan satu arus yang berlaku.
Mereka sudah merasaikan dari dekat kerenah pemimpin Umno sekarang. Mereka balik dengan penuh kesedaran. Dan ini menyebabkan pemimpin Umno kecewa. Sebelum itu mereka mengharapkan pengundi dari Lembah Kelang, Johor, balik memberi undi kepada BN tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Rakyat yang tinggal di sana sudah mengetahui BN menghadapi banyak masalah.
Selain itu, parti-parti lain dalam BN sudah tidak rapat lagi dengan BN. Sebab itulah ramai penduduk bukan Islam daripada kaum India dan Cina banyak memberi sokongan kepada PAS pada pilihan raya umum lalu. Saya memfokus kepercayaan rakyat kepada PAS dan mereka hilang keyakinan kepada BN.

Pandangan Dato' situasi politik negara sekarang?

Selepas pilihan raya Permatang Pauh dan hari ini selepas berlaku pertukaran jawatan di mana Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan dan Kewangan diberi kepada Dato' Seri Najib menyebabkan saham kita jatuh menjunam 3.09 peratus atau 39.09 mata.
Ini suatu kejatuhan yang sangat membimbangkan ekonomi negara. Perletakan jawatan Dato' Zaid Ibrahim dan keadaan yang semakin tidak menentu menyebabkan rakyat semakin tidak yakin dengan kerajaan BN.
Masa inilah yang terbaik bagi ahli Umno meninggalkan parti dengan menyertai parti lain termasuk PAS. Saya yakin dalam masa tidak lama akan kerajaan BN akan runtuh.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .