Ikuti Blog ini

RAMADHAN: BULAN MENENTANG KEZALIMAN ISA

Saya sangat tersentuh apabila berbicara soal kezaliman ISA. Manakan tidak, akta yang zalim ini meragut kasih sayang suami isteri dan anak-anak. Mereka dihumban ke dalam tahanan tanpa boleh membela diri. Muktamat bersalah...

Sebab itulah dalam siri tazkirah saya sepanjang ramadhan saya selit kisah disebalik tabir keluarga ISA. Penderitaan isteri dan anak-anak mereka. Saya menjelajah ke seluruh surau/ masjid bersama Lap top dan LCD untuk dedahkan sebahagian dari penderitaan keluarga ISA.

Amaran keras dari Allah ke atas penyokong kezaliman, dalam surah Hud ayat 113
Jangan kamu cenderung hati pada orang-orang yang zalim nanti kamu akan disambar api neraka, sekali-kali kamu tidak mempunyai penolong selain dari Allah, kemudian kamu tak akan diberi pertolongan.

Walaupun saya telah acap kali ulang kisah yang sama namun, saya tetap tak dapat menahan sebak di dada apabila berbicara soal penderitaan mereka. Saya beberapa bergenang air mata dalam siri tazkirah saya.

Setakat ini boleh dikatakan hampir semua surau/masjid yg saya paparkan isu ini, maka akan berhamburanlah air mata jamaah disitu. ISA memang patut menerima kutukan laknat dari seluruh rakyat yg cintakan keadilan. Emosinya saya, sehingga saya katakan "sesiapa yg bersetuju dengan ISA, mereka tak layak untuk bergelar manusia"
Lihatlah anak-anak ini. Sedari kecil lagi mereka terpaksa berdikari untuk menyara keluarga. Mereka hidup dibawah bayangan kezaliman. Hak ayah yg dicintai untuk bersama anak dirampas, kasih sayang diragut. Manusia apakah, yang masih tergamak menyokong kezaliman ini?

Ini sahaja yang mampu saya bantu... memberi penerangan pada rakyat tentang kezaliman ISA, melancarkan sumbangan untuk mereka dan berdoa semaga mereka menjadi insan yang tabah mengharungi kezaliman ini.

Hari ini hati saya tersentuh lagi dengan kisah di bawah... ikutilah kisah itu. Mengertilah, mengapa kita wajib menentang ISA


Hari raya tanpa 'Abi', terpisah kerana kezaliman ISA

Semalam (23 September), penulis bersama rakan wartawan, Azamin Amin dan, Penyunting, M.Khaleel melangkah kaki ke Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan, satu-satunya kampung dimana orang Melayu dahulu berkubu daripada ancaman komunis.

Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Simpang Durian mengambil masa kira-kira empat jam jika kelajuan pemanduan sekitar 80 km sejam.

Maklumlah perjalanan dalam musim perayaan ini memaksa penulis memperlahankan kenderaan, kurangkan memotong dan cukup berhati-hati ketika mahu mencelah.

Semalam juga Ops Sikap dilancarkan di seluruh negara yang mana polis dan JPJ ditugaskan mengawal seluruh trafik.

Misi kami ke Kampung Simpang Pertang untuk menyampaikan bantuan hari raya kepada seorang isteri tahanan ISA, Hidayu Kamaruzzaman yang mana suaminya, Mohammad Amir Mat Hanafiah ditahan pada 5 April 2007.

Hidayu kini tinggal dengan bapanya, Kamaruzzaman Mat Kilau yang hanya bekerja sebagai Penoreh Getah, sementara Hidayu terpaksa bekerja sebagai Guru Kafa dengan gaji hanya RM500 sebulan.

Setibanya kami di rumah Hidayu, tiga anaknya, Fathur Rahman Al-Ghazi; Uwais Al-Qarani dan Ubaidah Al-Harith menyambut kami dengan mesra malah seakan telah mengenali kami seperti bapa saudara mereka.

Bapa Hidayu (Kamaruzzaman) membuka pintu pagar rumah yang telah usang dengan memandang tepat ke arah muka kami sambil menghulurkan salam.

Menitis airmata penulis apabila melihat, anak sulong Hidayu, (Fatur Rahman) meluru ke arah penulis memeluk erat penulis bagaikan memeluk bapa sendiri.

Terpancar di wajah Fatur Rahman kerinduan yang amat sangat malah adik-adiknya turut mendakap penulis, seakan tidak mahu kami segera beredar.

Dalam pertemuan selama kira-kira setengah jam itu, sempat kami berkongsi pengalaman Hidayu, seorang isteri yang masih muda yang terpaksa menempuhi ranjau hidup sendirian tanpa suami di sisi.

Walaupun Hidayu rancak berbual dengan kami mengenai pengalamannya, namun dari sayu matanya, terpancar perasaan yang amat mendalam, kesengsaraan hidup dengan suami terpisah di tembok besi kejam binaan kerajaan.

Sebaris kata HIdayu yang tidak dapat penulis lupakan "Abang kata, tak mengapa sabarlah dengan dugaan, insyaAllah Allah akan membalasnya di akhirat".

Renungan sayu wajah Hidayu dan anak-anaknya sememangnya memberikan satu lagi pengalaman yang cukup sedih kepada penulis yang hanya mampu menukil kisah beliau hanya dalam tulisan.

Apakah perasaan sebenar Hidayu tatkala berhadapan dengan sengsara ciptaan ISA ini, hanya Hidayu dan anak-anak serta ayahnya yang telah tuan sahaja yang mengetahui.

Sedetik tidak pernah Hidayu menyesali dugaan itu, tetapi di hatinya jelas terbayang betapa beliau tidak redha suaminya diperlakukan sedemikian tanpa perbicaraan di mahkamah untuk membuktikan kesalahan.

Sesungguhnya tuduhan terbabit dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) menjadi alasan kerajaan untuk menahannya, namun sehingga kini Hidayu pelik mengapa tuduhan sahaja yang dilemparkan sedangkan proses pembuktian tidak pernah berlaku.

Hidayu pasrah dengan dugaan itu, namun hatinya sesekali tercuit dengan suara anak-anak yang meminta bertemu dengan Abi (Ayah) yang masih terpenjara di Kem Tahanan Kamunting.

Biarpun rakan-rakan sebaya dengan anak-anaknya kini cukup gembira menyambut Aidilfitri, namun ujar Hidayu, anak-anaknya lebih merindui Abi yang entah bila akan dibebaskan.

Hiba perasaan penulis tatkala Hidayu menyatakan anak sulongnya sukar untuk menjawab pertanyaan rakan-rakan di Tadika apabila rakan bertanyakan di mana ayah mereka.

Entah bilakah Fatur Rahman, Uwais dan Ubaidah akan dapat mendakap tubuh bapa mereka, hanya Allah yang tahu.

Sebelum pulang, penulis telah menyampaikan bantuan berupa wang Rm1000 untuk persiapan hari raya kepada Hidayu.

Wang ini diberi kepada isteri-isteri tahanan ISA hasil kutipan tabung Harakahdaily yang diusahakan selama ini.

Namun terdetik di hati penulis, apalah sangat bantuan Rm1000 berbanding berat resah dan hiba kerinduan Hidayu dan anak-anak terhadap Mohammad Amir yang hanya akan beraya di tirai besi.

Kisah ini hanya secebis kisah malang isteri-isteri tahanan ISA yang merana selepas suami mereka ditahan tanpa bicara, namun kisah ini tidak pernah menjadi pedoman kepada pemerintah untuk menghapuskan undang-undang rimba ini


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .