Ikuti Blog ini

Khairy,Ahmad wajar ditahan bawah ISA - Pemuda MCA


KUALA LUMPUR, 18 Okt -Selepas mencadangkan agar satu slot Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) diwujudkan untuk diisi oleh MCA, semalam parti Umno yang menunjangi BN menerima tempelak besar apabila pimpinannya digesa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ungkapan pimpinan Umno ditahan di bawah ISA terpacul daripada mulut seorang perwakilan MCA sewaktu sedang membuat perbahasan dalam perhimpunan pemuda parti tersebut di Kuala Lumpur semalam.

Perwakilan dari Perak, Ting Tai Fong menggesa pihak berkuasa untuk menahan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di bawah ISA kerana membuat kenyataan yang berbaur perkauman.

Beliau juga mahu ISA turut dikenakan ke atas pemimpin Umno Pulau Pinang, Dato' Ahmad Ismail yang mencetuskan kontroversi sewaktu pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru kerana menganggap kaum Cina menumpang di Malaysia.

Dalam ucapannya,Ting membidas Khairy,berhubung kenyataannya mengenai nisbah kuota biasiswa untuk bumiputera dan bukan bumiputera.

Jelasnya, kenyataan menantu Perdana Menteri itu bukan sahaja dibiarkan oleh pimpinan Umno tetapi telah mendorong Ahmad untuk membuat kenyataan yang senada dengannya.

Dalam pada itu, portal Malaysiakini pula melaporkan, Ting berkata, ISA tidak sepatutnya digunakan terhadap orang awam seperti yang telah dilakukan bulan lalu.

"Jika kita mahu menggunakan ISA, gunakan ISA terhadap orang-orang ini terlebih dahulu...Saya juga percaya Khairy, pemimpin yang tidak bertanggungjawab ini akan kalah teruk dalam pemilihan Umno yang akan datang," katanya sambil mendapat sorakan dan tepukan gemuruh para perwakilan.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .