Ikuti Blog ini

Guan Eng tidak nafi penyertaan Arif Shah ke PKR


SHAH ALAM: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak menafikan khabar angin yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah (gambar) menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau bagaimanapun turut tidak mengesahkan sejauh mana kebenaran khabar angin yang mula tersebar itu yang kononnya penyertaan Arif ke PKR kerana kecewa dengan penyokong Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang.

"Kami dalam Pakatan Rakyat menerima sesiapa sahaja yang ingin masuk menyertai kami yang menyokong prinsip yang kami perjuangkan.

"Saya pun tidak tahu dari mana laporan ini datang," katanya dalam sidang media selepas menghadri Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, hari ini.

Menurut Lim lagi Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti demokratik mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai mana-mana komponen Pakatan Rakyat sama ada DAP, PKR mahupun PAS.

Tambah beliau lagi, sesiapa sahaja yang menyertai Pakatan Rakyat seharusnya sedar mengenai matlamat yang diperjuangkan berdasarkan prinsip keadilan sejagat.

Ditanya sama ada wujudnya usaha daripada pihaknya untuk membawa Arif yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) menentang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lalu menyertai Pakatan Rakyat, beliau enggan mengulas lanjut.

Mengulas mengenai kehadiran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ke Pulau Pinang Jumaat lalu, Lim berkata perkara itu tidak memberi sebarang pengertian mengenai pendirian politik Zaid.

"Saya menghargai kehadiran Zaid bukan sahaja ke Kongres PKR malah ke Jamuan Makan Malam Raksaksa di Pulau Pinang.

"Ini menunjukkan beliau berkongsi wawasan yang sama dengan Pakatan Rakyat untuk wujudkan sebuah negara yang adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan, Arif Shah berada dalam keadaan dilema sama ada ingin terus kekal bersama Umno atau menyertai Pakatan Rakyat.

Arif Shah yang merupakan satu-satunya ADUN yang berjaya mengekalkan kerusi cawangannya untuk penggal kedua di bahagian Permatang Pauh berkata, beliau sedang serius mempertimbangkan kedudukan politikynya itu berikutan apa yang disifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa yang teruk dalam kepimpinan Umno Permatang Pauh yang diketuai Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .