Ia adalah kerana jelapang tersebut yang dirasmikan pada 14 Jun lalu, kini hanya dipenuhi oleh rumput menerong, tanpa sebatang pokok padi yang tumbuh.
Selain Perdana Menteri, Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad said yang berucap dalam majlis itu turut berjanji jelapang tersebut akan mula diusahakan pada bulan Oktober. (gambar kiri - majlis perasmian 14 Jun lalu)
Namun, sehingga tinjauan dibuat ke tapak jelapang berkenaan kelmarin, adalah mustahil jelapang tersebut akan diusahakan pada tahun ini.
“Paling awal pun boleh buat kerja bulan dua (Februari) tahun depan, itu hak (tamah milik) sayalah, hak orang lain saya tak tahu,
“saya memang sudah buat padi pada tahun 2000 mula (lalu), masa PAS perintah, tapi lepas itu banyak sangat hal politik, saya berhenti dulu,”kata Nasir Daud, 50 (bukan nama sebenar) seorang penduduk tempatan Kampung Jelapang, Langkap, Setiu.
Beliau berkata campurtangan politik JKKK menyebabkan bekalan air tidak dapat disalurkan dengan baik selepas tahun 2000 dan usaha penanaman padi beliau terpaksa dihentikan.
Katanya usaha kerajaan negeri menghidupkan semula jelapang tersebut juga tidak akan berjaya sekiranya bekalan air untuk pengairan sawah tersebut tidak dibuat.
Menurutnya tidak ada sumber air yang kekal dan banyak dari kawasan sekitar kerana tidak terdapat sungai yang besar.
“Seluruh kawasan ini boleh mencapai (keluasan) 1000 hektar untuk dimajukan, sumber air yang ada dari anak sungai tak cukup, kerajaan cadang bawa air dari Besut, tapi tahun 2013 baru siap,”kata beliau yang juga bekas kakitangan kerajaan persekutuan.
Dalam perkembangan yang sama Timbalan Pengerusi Gerak Tani Sedar (Sedar Tani) Haji Mohammad Said, 62, menyifatkan pemilihan kawasan Mak Jintan untuk tanaman padi secara besar-besaran adalah tidak sesuai.
“Jenis tanah di kawasan ini adalah tanah gambut, pemendapan akan berlaku dalam jangka masa panjang dan kawasan ini akan menjadi lebih rendah,”ujarnya yang turut sama dalam tinjauan kelmarin.
Beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu berkata keadaan kawasan Mak Jintan yang terletak sama tinggi dengan aras laut akan menyebabkan ia sentiasa dibanjiri air.
Katanya, sumber dari Jabatan Pertanian mengesahkan, pihak jabatan masih dalam kajian berkenaan kesesuaian kawasan tersebut untuk dijadikan kawasan penanaman padi.
“Saya difahamkan, kajian kesesuaian tanah masih dalam peringkat akhir, bulan Mac akan datang baru boleh disahkan, sekiranya ia sesuai, banyak kerja infrastruktur yang perlu dibuat,
“alur perlu di korek dan betulkan, ini baru hujan sedikit, air sudah hampir melimpah,”katanya sambil menunjuk kearah alur sungai yang airnya hampir melimpahi tebing,
Menurutnya masalah utama dalam penanaman padi adalah pengurusan air iaitu bekalan air yang mencukupi sepanjang tahun dan saliran air keluar dari sawah padi. (Gambar kanan - air hampir melimpah)
Oleh itu katanya, usaha untuk menyalurkan air dari Empangan Peda di Besut dilihat tidak relevan kerana jaraknya yang terlalu jauh.
“Mengapa tidak bawa turun air dari (Tasik) Kenyir yang sudah sedia ada dan terjamin bekalannya?,”soal beliau.
Justeru menurutnya kerajaan perlu membuat satu keputusan tepat bagi mengelakkan pembaziran kerana ia melibatkan perbelanjaan besar yang bakal ditanggung oleh rakyat.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mencari alternatif kawasan tanah lain yang lebih sesuai sekiranya benar-benar mahu menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri pengeluar makanan tertutamanya pengeluaran padi. (Gambar bawah - lokasi Mak Jintan pndangan Salelit)