Marang – Tiga wakil pemimpin muda umat Islam Kemboja dari Ikatan Muslimin Kemboja (IMK), mengunjungi Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di rumahnya, Rusila dekat sini semalam.
Presiden IMK, Mohamad Suleiman (gambar) berkata kunjungan hormat beliau dan dua sahabatnya adalah mengunjungi pimpinan utama PAS itu dalam usaha meningkatkan hubungan antara saudara seagama Kemboja-Malaysia selain membalas kunjungan Tuan Guru ke Kemboja dua tahun lalu. (Gambar kanan - Presiden PAS, bersalama dengan Gabenor Pursat semasa merasmikan masjid di Kemboja dua tahun lalu)
“Dua tahun lalu, Tuan Guru datang ke Kemboja untuk merasmikan masjid yang diusahakan pembinaannya oleh Asian Federation of Muslim Youth (AFMY) di Kampung Khla Krabe, Pursat, Kemboja,
“ketika kami bersama-sama mengiringi Tuan Guru, beliau menjemput kami datang ke sini,”kata Mohamad yang ditemui selepas kunjungan tersebut.
Disamping itu menurut beliau, kunjungan tersebut adalah untuk mendapat sokongan dan kerjasama bagi usaha beliau memulihkan kembali Pusat Pengajian Islam Gunong, Bachok, Kelantan.
Katanya penubuhan pusat pengajian tersebut pada tahun 1990 adalah hasil kerjasasama diantara beberapa orang ustaz yang berasal dari Kemboja dengan beberapa pimpinan PAS Kelantan termasuk Ustaz Yahya Othman.
Dalam pertemuan dengan Tuan Guru yang berlangsung selama 30 minit, beliau berkata, Tuan Guru turut bertanya tentang hal ehwal umat Islam serta aktiviti-aktiviti pendidikan dan dakwah yang sedang berjalan di Kemboja.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh umat Islam, khususnya PAS dan beberapa NGO yang telah menyumbangkan tenaga dan wang ringgit membantu umat Islam Kemboja.
“Saya ucapkan JazakumuLlah Khairal Jaza’ kepada semua yang membantu kami di Kemboja membina masjid, surau dan madrasah serta aktiviti kebajikan dan sosial termasuk rawatan perubatan dan program korban setiap Eidul Adha,
“Kami (umat Islam) yang berjumlah 500,000 kini masih lemah dari sudut ilmu dan ekonomi berikutan perang yang berpanjangan,”kata beliau.
Menurutnya pada Eidul Adha tahun ini, pihak beliau (Ikatan Muslimin Kemboja) menganjurkan program korban di Kemboja dan turut menawarkan kepada semua umat Islam di Malaysia untuk melakukan ibadah korban di Kemboja.
Bagi mereka yang berhajat untuk menyertai program korban atau memberikan sumbangan untuk Pusat Pengajian Islam boleh menghubungi beliau di talian 017-971 8972.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun AFMY : 14032010037306 (BIMB) dan memaklumkan kepada kepada Hj Mohamad Said di talian 019 – 9850048 yang akan ke Kemboja pada Eidul Adha nanti.