Mengecewakan! Itulah yang dapat aku katakan bilamana dimaklumkan oleh seorang petugas di Taman Tamadun Islam (TTI) bahawa Taman Monumen ditutup pada setiap hari Selasa (kecuali cuti Umum dan Cuti Persekolahan). Taman Monumen ini menempatkan replika-replika masjid terkenal di seluruh dunia dan merupakan kawasan yang berbayar di TTI.
Kekecewaan yang aku rasai tidak seberapa jika dibandingkan dengan 45 orang pengunjung dari Seremban dan Singapura yang datang semata-mata mahu melawat replika-replika masjid berkenaan. Mereka ini merupakan tetamu aku dan isteri yang datang ke Terengganu bagi menjayakan program yang mereka namakan Jalan-Jalan Cari Masjid.
Selain 45 orang terbabit yang juga merupakan tetamu aku, terdapat kira-kira 6 buah bas lagi yang kebanyakannya membawa pengunjung dari luar negeri Terengganu turut kecewa bilamana taman terbabit ditutup pada hari berkenaan. Kebanyakan dari mereka tidak dapat menerima pusat pelancongan terbabit ditutup seminggu sekali dengan alasan penyelenggaraan. Apatah lagi maklumat penutupan hanya diperolehi setelah berada di depan pintu berkenaan.
Bas ini membawa pelajar Kolej Komuniti Kuantan. Antara sebahagian Bas yang sempat diambil gambarnya. Bas-bas lain bergerak meninggalkan TTI selepas kecewa.
"Cuba bayangkan berapa banyak mereka (pihak TTI) rugi sebab tutup hari ini. Sekarang sahaja mudah-mudah untuk mereka dapat RM 3000". Luah seorang pengunjung dari Singapura yang membuat kira-kira mudah.Bayaran RM10 dikenakan kepada setiap pengunjung dewasa manakala RM5 bagi pengunjung kanak-kanak. Harga ini dikatakan harga promosi setelah diberi potongan 50% kononnya. Namun, mengikut pemerhatian aku harga yang dikatakan promosi ini sebenarnya sudah patut berakhir selepas cuti persekolahan bulan Jun 2008 yang lalu. Namun, kerana kurang mendapat sambutan dan kos RM20 bagi seorang adalah amat tinggi bagi kebanyakan pengunjung, maka dikekalkan harga RM10 sehingga sekarang.
Berbalik kepada penutupan pada setiap hari Selasa, aku mengira ianya merupakan suatu kesilapan besar dan tidak patut sama sekali berlaku. Bayangkan suatu tempat yang diangkat sebagai satu destinasi utama pelancongan Terengganu dan bersempena Tahun Melawat Terengganu, maka taman terbabit hendaklah sentiasa bersedia dan dibuka setiap hari sepanjang tahun. Apatah lagi hebahan mengenai penutupan tempat berkenaan setiap Selasa tidak dilakukan dengan berkesan.
Lebih mengecewakan lagi bilamana Laman Web TTI (http://www.tti.com.my) seolah-olah mati dan langsung tidak dapat memberi apa-apa maklumat melainkan alamat dan nombor talian telefon sahaja. Sedangkan TTI ini sudah dilancarkan seawal Februari 2008 lagi. Aku pada mulanya berkira web terbabit bukanlah web yang rasmi, namun pencarian menunjukkan hanya itu sahaja rujukan rasmi yang ada.
Pegawai yang bertugas mengatakan Selasa ditutup bagi menjalankan tugas penyelenggaraan dan pembaikian. Pada aku, tugas-tugas penyelenggaraan dan pembaikan seharusnya dijalankan pada waktu malam sahaja. Ini sesuai kerana Taman Monumen terbabit dibuka dari pagi sehingga jam 7 malam sahaja kepada umum.
"Sepatutnya buka setiap hari. Pelancong yang datang kebanyakannya percaya bahawa TTI ini dibuka sepenuhnya setiap hari" Luah seorang Ustazah yang mengetuai rombongan dari Seremban. Kekecewaan jelas terpancar di wajahnya.
Apa tidaknya, mereka sanggup datang ke Terengganu dengan menaiki Kapal Terbang di awal pagi dari Kuala Lumpur dan menyewa bas di sini untuk tujuan program ziarah masjid mereka. Mereka berlepas pulang pada malam hari yang sama juga dengan Kapal Terbang.
Nota: Lawatan rombongan JJCM terbabit ke TTI (Masjid Kristal) adalah selepas melawat Masjid Terapung (Masjid Tengku Tengah Zaharah), Kuala Ibai dan Masjid Rusila beserta rumah YB Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Marang.