Intifadah tersebut akan diadakan Selasa ini, 30 Disember, jam 11.00 pagi.
Salahuddin menyeru semua rakyat Malaysia yang prihatin, tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik menyemarakkan Intifadah di hadapan kedutaan Amerika itu.
"Jika anda ragu-ragu untuk menyertai Intifadah rakyat Malaysia menentang keganasan Israel Selasa ini, anda boleh membaca apa yang diucapkan oleh seorang pegawai pertahanan awam entiti haram Israel bernama Ofer Shmerling: Saya akan bermain muzik hari ini dan merayakan apa yang dilakukan oleh tentera udara Israel".
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin, pengganas-pengganas Israel tidak akan bertindak sekejam itu jika tidak mendapat sokongan, dukungan dan restu Amerika.
Dalam keganasan terbaru itu, lebih dari 100 tan bom dihunjam oleh pengganas-pengganas Israel ke atas orang-orang awam, kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua di Gaza dan angka kematian kini menghampiri 250 manakala lebih 400 cedera.
Amerika hari ini menyalahkan Hamas kerana "melanggar perjanjian gencatan senjata" dan menuduh sengaja memprovokasi Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza.
Negara penaung keganasan Israel itu juga tidak menuntut supaya entiti haram itu menghentikan serangan tersebut.
Dakwaan Amerika itu bertentangan dengan pendedahan akhbar Haaretz Israel yang menyatakan, keganasan terbaru Israel di Gaza itu telah dirancang sejak enam bulan lalu dan bukan disebabkan sebarang provokasi.
Amerika dilihat cuba menyingkirkan Hamas sejak ia memenangi pilihan raya Parlimen Palestin, Januari 2006.
Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak menyatakan, serangan "Operation Cast Lead" itu akan berlanjutan selagi diperlukan oleh entiti haram itu.