Hal ini telah dimaklumkan oleh pihak pegawai perhubungan RTM kepada penerbit album Xifu Nasir semalam.
Lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' yang dinyanyikan oleh kumpulan Kopratasa difahamkan tidak mendapat kelulusan kerana liriknya.
Xifu berkata, beliau sendiri tidak diberitahu secara khusus dan terperinci kenapa lagu itu tidak lulus.
"Mereka cuma memberitahu kerana masalah lirik sahaja,"jelas Xifu Nasir.
Menurut beliau, hanya stesen RTM saja yang tidak meluluskan lagu ini sedangkan di stesen lain sudahpun mendapat kelulusan sepenuhnya.
Lagu ini merupakan salah satu dari 8 buah lagu puisi Dr Asri yang dimuatkan di dalam album 'Yang Benar Tetap Benar.'
Selain lagu 'Aku Bukan Musuh Harta', lagu title track 'Yang Benar Tetap Benar' juga masih belum lulus sepenuhnya kerana akan disemak semula disebabkan ahli panel tidak berapa arif tentang perkataan 'makar' yang digunakan dalam puisi tersebut.('Makar' adalah kalimah Arab dari Al Quran).
Ketika dihubungi hari ini, Dr Asri melahirkan rasa kemusykilannya kenapa liriknya digam.
"Saya hairan mengapa lirik saya 'Aku Bukan Musuh Harta' digam oleh pihak berkenaan, sedangkan nilai moral dalamnya tinggi, ia tidak ditujukan kepada pihak tertentu, tetapi untuk sesiapa sahaja yang menyalahgunakan harta rakyat dan awam," jelas beliau dari kediamannya di Lampeter, United Kingdom.
"Dalam negara kita hari ini berbagai parti memiliki kerajaan, lagu tersebut mempunyai pengajaran untuk semua.
"Jangan anda menghalang sesuatu ungkapan umum atau pengajaran am yang akhirnya orang lain akan menuduh bahawa andalah orang khusus dari yang umum atau am itu," kata Dr Asri yang kini berada di UK untuk tempoh setahun bagi cuti sabatikalnya.
Katanya lagi,"Saya menulis lirik itu untuk mengingatkan sesiapa sahaja yang berurusan dengan harta awam dan rakyat. Apa ertinya perjuangan kerajaan menghapuskan rasuah jika lirik seperti itu pun diharamkan."
Dr Asri, bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut tentang kesukaran pihak panel RTM memahami perkataan 'makar' di dalam puisi beliau yang bertajuk 'Yang Benar Tetap Benar' itu.
"Semua pihak tahu bahawa saya bukan orang politik, maka ketika saya menulis lirik saya bebas dari kepentingan kerusi atau kepartian. Mereka silap jika bertindak demikian," kata tokoh agama yang terkenal kerana kelantangannya melontarkan idea tentang apa saja berhubung isu agama, politik, sosial mahupun hiburan.
Lagu-lagu puisi lain yang dimuatkan dalam album yang sudahpun berada di pasaran sejak bulan lepas itu ialah Aku Rela, Biarlah Aku Di Daerah Ini, Derita Hati Seorang Bonda, Islam Di Cina dan Dunia Yang Beredar.
Kesemua lagu telah disampaikan oleh penyanyi Aishah, Kopratasa, Dakmie dan band nasyid pertama di Malaysia iaitu Algebra.
Selain 8 buah lagu ini, album ini juga turut memuatkan puisi yang disampaikan oleh Dr Asri bertajuk, ‘Itulah Politik Namanya’ dan ‘Salah Menduga.’
Gabungan nama-nama besar dalam industri muzik antaranya Dakmie selaku Penerbit, Xifu Nasir, Eddie Marzuki, Adnan Abu Hasan, Zairi Ariffin, Ujang dan lain-lain menjadikan album ini cukup istimewa dan unik.
Album ini juga adalah terbitan dan edaran Nasyeed.Com.