Assalamu'alaikum WMWB.
Semoga sejahtera selalu hendaknya.
Tuan/Puan,
"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan Kamu akan melihat manusia memasuki Agama Allah dengan berbondong-bondong" (Surah An-Nashr Ayat 1 dan 2).
Seperti yang sama-sama kita maklum, menegakkan Islam itu perkara logik dan wajib. Ini kerana kita menumpang bumi Allah yang sepenuhnya dicipta oleh Allah. Jika dimisalkan, perintah ini samalah juga dengan sembanhyang. Sebagaimana sembahyang itu wajib maka apa jua perkara yang berkaitan dengan persiapan untuk menegakkan sembahyang turut menjadi wajib. Wudhu' untuk sembahyang itu wajib. Menggali telaga dan memasang paip itu wajib.
Demikian jugalah dengan keaedah menegakkan Islam di zaman ini. Zaman sekarang, orang menegakkan Islam dengan mengambil alih kuasa melalui pilihanraya. Ini yang timbul kerja mengundi melalui pilihanraya.
Oleh kerana undi itu hak mutlak diri, tiada ada siapa berhak merampas, mengugat dan memaksa. Apabila dihubungkan hak kebebasan mengundi ini dengan tanggungjawab kita untuk menegakkan Islam, maka tunaikanlah hak yang satu ini dengan penuh iman. Biar bagaimana rahsia sekalipun undi pada 17 Januari 2009 ini, ia tetaplah akan terakam sebagai amal makruf. Sebagaimana menggali telaga dan memasang paip untuk menyempurnakan wudhu' itu wajib kerana sembahyang itu wajib, MAKA mengundi sebuah parti yang mahu menegakkan Islam itu juga adalah wajib.
Oleh itu, tunaikanlah tanggungjawab kita dengan sehabis amanah. Gunakan senjata undi masing-masing di hari itu yang sekira-kiranya bila ditanya oleh Allah SWT kelak, tuan/puan boleh kata bahawa tuan/puan pernah membela Islam melalui sepangkah undi dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu sewaktu di dunia dahulu - sekurang-kurangnya. Wassalam
Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Mursyidul Am PAS.