Ikuti Blog ini

Zulkfili ajak MP Umno sertai PAS, Dewan Pemuda Alu-alukan Pemimpin Muda Umno Sertai Pemuda PAS

http://buletinonline.net/images/stories/berita/kelabpenyokongPASTelukIntan.JPG
Orang-orang India mahu bersama PAS.... takkan UMNO tak mahu (Gambar - Kelab Penyokong PAS India dari Teluk Intan turut berkempen semasa pilihanraya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini)


Kuala Terengganu - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), menggesa ahli-ahli Parlimen dari Umno agar menyertai PAS, manakala Dewan Pemuda PAS (DPP) mengajak pemimpin-pemimpin muda UMNO meneruskan perjuangan mereka dalam pentas politik PAS.

Zulkifli yang mengajak ahli-ahli Parlimen UMNO menyertai PAS bagi membolehkan kerajaan persekutuan yang baru berkata, cara terbaik menyelesaikan masalah penyakit kronik Umno ialah dengan membubarkan parti itu.


"Apa yang menyedihkan, kelemahan pimpinan dan parti UMNO hari ini menyebabkan bukan sahaja hak istimewa bangsa mula dipertikaikan, malah agama Islam sendiri turut diserang dan diperlekehkan.


"Saya percaya cara terbaik untuk memartabatkan dan memperkukuhkan Islam dan bangsa Melayu ialah dengan membubarkan Umno, sekali gus saya menyeru supaya semua ahli dan pimpinan Umno supaya menyertai PAS," kata beliau dalam blognya.


Kata beliau, jika cadangan itu diterima, PAS yang mempunyai 24 Ahli Parlimen akan menambah kedudukannya sebanyak 89 Ahli Parlimen.


"Ini akan menjadikan Ahli Parlimen PAS berjumlah 113 orang, sekali gus membolehkan PAS membentuk Kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah (sebanyak 112).


"Dengan sokongan Ahli Parlimen PKR seramai 31 orang (21 beragama Islam) maka PAS akan boleh membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti yang selesa.


"Insya-Allah dengan menjadikan peristiwa Gaza sebagai pengajaran, saya berharap dan berdoa agar pimpinan dan ahli Umno akan dapat berlapang dada dan memikirkan serta menimbang cadangan saya ini," katanya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, melalui kenyataan yang dikeluarkan semalam, Dewan Pemuda PAS
dengan penuh kesedaran mengajak pemimpin-pemimpin muda UMNO yang ikhlas memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara, juga kepentingan Islam dan Melayu untuk meneruskan perjuangan mereka dalam pentas PAS.

Berdasarkan perkembangan politik tanahair masakini, Dewan Pemuda PAS percaya UMNO tidak lagi mampu menjadi parti yang boleh diharapkan bagi meneraju kepimpinan negara pada masa ini.


“UMNO menghadapi kecelaruan nilai di dalam UMNO menjadikan ia sebuah organisasi yang sarat dengan masalah dalaman,

“UMNO tidak mampu dipulihkan dalam waktu terdekat kerana masalah amalan rasuah politik sudah menjadi sebati dengan kepimpinan tertinggi UMNO,”jelas Setiausaha DPP Ahmad Sabki Yusof dalam kenyataan yang diemelkan kepada Buletinonline.

Menurutnya,
DPP yakin ada ruang untuk pemimpin muda UMNO yang akan menyertai PAS cukup luas memandangkan PAS adalah kerajaan bersama-sama Pakatan Rakyat di lima buah negeri pada masa ini.

“Dewan Pemuda PAS di semua peringkat bersedia bertemu dan berbincang dengan mana-mana pemimpin muda dari UMNO atau mana-mana pertubuhan belia yang bernaung di bawah UMNO untuk membolehkan mereka terus berperanan bagi kepentingan masa depan negara dan rakyat bersama PAS,”tambahnya.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .