Ikuti Blog ini

Tindakan Polis Ala Yahudi


Himpunan 100 ribu rakyat membantah
Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik
dalam Bahasa Inggeris.

Tepat jam 2.00 petang saya berada di Kompleks Sogo dan kemudian bergerak ke Masjid Negara untuk menyertai Himpunan 100 ribu rakyat bagi turut membantah PPSMI

Sejurus saya sampai ke Masjid Negara , seingat saya lebih 10 kali gas pemedih mata ke kawasan Masjid Negara . Keadaan menjadi kucar kacir akibat serangan polis ala Yahudi tersebut .

Saya yakin dan percaya , perhimpunan ini akan berlangsung secara aman dan tenteram tanpa gangguan dan provokasi dari pihak polis atau FRU .

Anggota Unit Amal sememangnya konsisten malah telah dikenali bagaimana disiplin mereka mengendalikan perhimpunan biarpun sebesar 100 ribu . Pengalaman Unit Amal yang sangat cemerlang sewaktu mengendali himpunan BERSIH diiktiraf oleh dunia .

Malang apabila pihak polis , yang saya percaya mereka bertindak pula atas arahan "orang atasan" bertindak bodoh dan ganas tanpa belas simpati menyimbah air asid dan menembak gas pemedih mata ke arah peserta himpunan yang awalnya berhimpun dan berarak secara aman penuh disiplin .

Andai pihak polis memberi kerjasama , memorundum dapat diserah dengan cara baik dan aman , perarakan berlalu dalam masa yang singkat dengan aman tanpa sebarang insiden yang mengancam keselamatan sesiapa .

Yang mencetus keganasan dan keadaan kucar kacir ialah pihak polis yang gagal memahami suara hati rakyat dalam isu PPSMI ini .

Sedang FRU adalah anggota keselamatan bagi mencegah rusuhan berlaku . Malangnya mereka pula yang mencetuskan situasi yang tidak selamat dan lebih parah mereka pula yang merusuh bukan rakyat .

Peserta tidak membawa senjata bahkan tidak membawa apa jua yang mengancam keselamatan awam atau harta benda . Kecuali mereka datang dengan hasrat nurani yang tulus mengiringi tokoh - tokoh dan pejuang bahasa bersama memeorundum membantah PPSMI yang ingin dipersembahkan kepada Tuanku Yang dipertuan Agong .

Persoalannya kenapa mereka tidak mahu mendengar suara hati rakyat dan kenapa mereka tidak layan rakyat mereka dengan baik ?

Ada orang berkata , kenapa perlu buat demonstrasi ?

jawabnya , apalagi yang boleh rakyat lakukan ? setelah sekian lama rakyat menegur dan membantah tetapi kerajaan pekak badak ini enggan mendengar suara rakyat !

Mereka hanya mahu mengadu pula kepada Yang diPertuan Agong . Himpunan 100 ribu rakyat ini menandakan bantahan ini bukan mewakili kelompok kecil dari rakyat sehingga suara mereka hanya layak diketepikan . Sebaliknya ini suara besar dari rakyat terbanyak .

Lebih menarik untuk dikaji ialah penglibatan tokoh - tokoh pejuang bahasa yang mendapat anugerah dari kerajaan sendiri sebelum ini . Kenapa suara mereka juga dipinggirkan ? kenapa bantahan mereka dipandang sepi ? mereka pakar bahasa dan pejuang bahasa , kemahiran mereka telah diiktiraf oleh kerajaan . Tetapi apabila mereka menegur kerajaan dalam isu PPSMI , apa yang membuatkan kerajaan degil dan angkuh ? .

Timbul pula tuduhan kononnya pakar bahasa ini diperalatkan oleh pembangkang . Isunya , apakah manusia secerdik pakar - pakar bahasa yang berderet dengan pelbagai anugerah dan gelaran seperti Prof Emeritus , Doktor Falsafah , Sasterawan Negara dan pelbagai anugerah nobel tiba - tiba menjadi bodoh lalu diperalat oleh pembangkang ?

Bagaimana pula sewaktu mereka berada bersama kerajaan dan bertugas pula di university dan lainnya , apakah mereka pada waktu itu diperalatkan oleh kerajaan pula ?

Mereka selayaknya tidak memperbodohkan tokoh - tokoh bahasa dengan segala kepakaran yang mereka miliki , sebaliknya kerajaan UMNO dan BN mesti mengakui kebodohan mereka sendiri .

Tragedi malang yang menimpa sistem demokrasi negara malah menimpa nasib rakyat dalam tanahair sendiri apabila kekasaran digunakan keatas rakyat marhain yang rata - ratanya lemah malah tidak bersenjata pun .

Al Fadhil Ustaz Ghani Abdul Rahman seperti dihujung nyawa apabila diserang air asid dan gas pemedih mata oleh pihak FRU . Sedang beliau hanya seorang ulamak yang hadhir dengan tangan kosong untuk memberi sokongan kepada pejuang bahasa . Bahasa kita !

Dato Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi turut mengalami penderitaan akibat serangan "membuta babi" oleh pihak FRU .

Mengalami nasib serupa ialah Yb. Salahudin Ayub Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga turun untuk menyatakan sokongan bagi memperjuangkan bahasa dan mempertahankannya agar ia terus menjadi bahasa ibunda yang dihormati dan diberi kepercayaan sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu . kenapa tidak ?

Peristiwa ala Yahudi menyerang Gazzah ini telah menimbulkan rasa marah , benci , kecewa dan putus harap rakyat terhadap kerajaan UMNO dan BN yang memerintah hari ini .

Perdana Menteri semalam akhirnya mengakui bahawa perlunya isu PPSMI ini diselesaikan segera agar tidak bangkit penentangan yang lebih besar dari pihak Ngo terhadap kerajaan .

Harapan saya , pihak kementerian mengambil serius padangan Perdana Menteri dan segera mengambil kira bantahan rakyat .

Tidak berbangkit kenapa selepas 6 tahun barulah rakyat bangkit membantah . Kerana bantahan ini telah dibuat sejak awal dulu oleh pelbagai pihak termasuk parti politik . Tetapi dikala itu kerajaan tidak memperdulikannya. Kini kesabaran rakyat telah berada ditahap sempadan akhir untuk mereka bertindak .


Kalau demontsrasi bukan cara untuk menyelesaikan masaalah sebagaimana yang dibangkitkan oleh ketua polis dan kerajaan , soalnya apakah keganasan pula cara yang sesuai untuk menyelesaikan masaalah ?

Mereka menghayun cota , melepaskan gas dan air asid kepada rakyat mereka sendiri tanpa sedikit pun simpati .

menambah kejam dan biadabnya mereka apabila rakyat yang berlindung di dalam Masjid Negara turut dibedil dengan gas pemedih mata .

Kemuliaan masjid tidak dipedulikan lagi oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan ini .

Gerakan Mansuhkan PPSMI turut disokong oleh bangsa selain melayu . Mereka menyokong berasaskan ianya adalah bahasa ibunda

Tak kan melayu tidak tersentuh jiwa dan hati kecil mereka , apabila bahasa ibunda mereka diperlekeh sedang bahasa melayu adalah bahasa besar di dunia yang berpotensi untuk menjadi bahasa ilmu dan membawa kemajuan kepada negara .


Keranda bahasa ! apakah ini juga simbolik bahawa bahasa ibunda kita akan terkubur 10 ke 20 tahun akan datang .

Hari ini ajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris . Kemudian satu masa kelak , geografi dan sejarah dunia pula perlu dibelajar dalam bahasa inggeris .

Alasannya tak kan kita nak maju dalam sains dan matematik sahaja ? kenapa tidak geografi juga ?

Tidak mustahil idea gila ini boleh dikemukakan kelak supaya mata pelajaran agama juga mesti dipelajari dalam bahasa inggeris atas nama kemajuan dan ingin bersaing dengan dunia luar .

Kenapa kita tidak berbangga dengan bahasa kita ? kenapa mesti bahasa inggeris ? tidak cukup lagi mata pelajaran bahasa inggeris tu sendiri ?

Bahasa jiwa bangsa !












Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .