GERAKAN Mansuhkan PPSMI (GMP) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran yang baru bagi membincangkan tindakan selanjutnya pihak kerajaan mengenai dasar PPSMI, lapor Salmiyah Harun.
Menurut Setiausaha Agung GMP Hasni Abas, pertemuan itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi GMP yang akan diadakan pada 13 April ini. Beliau agak optimis dengan pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Pelajaran yang baru memandangkan mereka berdua di antara individu yang secara personalnya membantah dasar PPSMI.
Malahan katanya, di dalam pemilihan Umno baru-baru ini Umno Johor juga di antara pihak yang tidak menyokong PPSMI. Dengan pelantikan Muhyiddin Yassin dan Puad Zarkashi, Hasni berharap mereka mempunyai kecenderungan untuk mengkaji semula dasar PPSMI.
"Kita berharap menteri akan memberi pandangan yang baik dan menyokong suara rakyat yang diwakili oleh GMP untuk memansuhkan PPSMI," katanya ketika dihubungi. Justeru, beliau meminta menteri berkenaan bersikap lebih mendengar desakan rakyat dan berharap perubahan itu akan dilakukan secepat mungkin supaya dasar itu tidak lagi menyusahkan rakyat.
Sebelum ini, ketika kempen pemilihan Umno pada akhir Mac lalu, Muhyiddin berkata, penyelesaian isu bahasa tidak perlu dilengah-lengahkan dan menteri terbabit perlu memberi kata dua dalam menyelesaikan masalah ini.
Beliau yang menang jawatan Timbalan Presiden Umno tidak menolak kesan isu bahasa Melayu memberi persepsi yang tidak sihat kepada partinya sehingga membawa kepada keyakinan rakyat terhadap kerajan pimpinan Umno.