Setiausaha DAP Perak itu juga menafikan ada memberikan kenyataan bahawa akan mengambil tindakan memboikot persidangan itu dalam sebuah portal terkenal.
“Kenyataan yang ditulis itu adalah salah dan tidak benar sama sekali, saya menafikan memberikan kenyataan demikian.
“Saya tidak boleh mengambil sebarang tindakan secara peribadi. PR hanya akan memberikan jawapan berkaitan pendirian saya dan PR selepas perbincangan diadakan.
“Kami akan mengadakan perbincangan itu pada 30 April. Mesyuarat itu akan dihadiri oleh kesemua wakil dan ADUN dari komponen PR iaitu dari PAD, DAP dan Keadilan,” katanya semalam.
Menurutnya, PR juga akan menunggu arahan yang akan dikeluarkan oleh Speaker DUN, V Sivakumar sebelum mengambil sebarang keputusan lanjut.
“Tindakan yang diambil oleh Menteri Besar Barisan Nasional (BN). Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk mengadakan sidang pada 7 Mei itu seolah-olah beliau telah membelakangkan keputusan mahkamah yang bakal diumumkan pada awal Mei hadapan.
“Saya amat berharap agar mahkamah tidak disalahgunakan dan dijadikan forum untuk melanjutkan lagi pergolakan politik di Perak.
“Pihak yang paling layak untuk menentukan masa hadapan politik di negeri ini bukanya peguam atau hakim tetapi adalah rakyat.
“Saya harap agar Zambry akan faham dengan fakta ini,” katanya.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Singh Kasmir Singh tidak mengiktiraf persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditetapkan pada 7 Mei ini berikutan kedudukan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir masih dalam penelitian mahkamah.
Katanya, dengan kedudukan menteri besar yang belum ditentukan itu lagi menyebabkan ADUN PR tidak mengiktiraf dan persidangan itu akan mejadi lebih kontroversi.
“Dr. Zambry sepatutnya menunggu keputusan yang dibuat oleh mahkamah terlebih dahulu sebelum menetapkan tarikh persidangan. Ini kerana, kita telah failkan status beliau sebagai menteri besar,” katanya.
Beliau berkata, sidang DUN yang telah dirancang kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak diiktiraf selagi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur belum mengeluarkan sebarang keputusan rasmi bagi menentukan siapa yang layak menjadi kerajaan sah di Perak.
Menurutnya, mereka tetap tidak mengiktiraf persidangan itu, tetapi pada masa sama belum membuat keputusan untuk menghadiri atau tidak sidang itu.
“Ia terpulang kepada hasil mesyuarat kepimpinan yang akan dijalankan minggu ini untuk membuat keputusan sama ada wakil rakyat PR akan menghadiri sidang DUN atau tidak.
“Mesyuarat penentuan yang akan dijalankan pada bila-bila masa itu akan membolehkan kepimpinan berbincang untuk hadir atau tidak, lebih-lebih lagi kes mahkamah belum selesai,” katanya.
Keshvinder Singh berkata, kalau mencapai kata sepakat tidak perlu hadir, mereka tidak akan hadir.