Mohammad Hassan menanti detik untuk digugurkan
KUALA LUMPUR - Sekutu kuat Tun Abdullah Ahmad Badawi di Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Mohammad Hassan kini dikhabarkan hanya menanti saat untuk digugurkan dari jawatan Menteri Besar negeri tersebut.
Beberapa sumber dalaman Umno menyatakan, detik kejatuhan Mohammad Hassan itu boleh dilihat berlaku dalam masa terdekat ini selepas beberapa signal kelihatan.
Kata seorang sumber, terawal sekali abang kepada Mohammad, Dato’ Azman Hasan dikhabarkan telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Sembilan berkuatkuasa pada 16 April 2009 yang lalu.
Kata sumber itu, khabar itu juga telah disahkan melalui khidmat pesanan ringkas (sms) daripada Azman Hasan sendiri kepada salah seorang Pemuda Bahagian Rembau.
Bagaimanapun Azman Hasan dikhabarkan tetap meneruskan tugasnya sebagai Setiausaha Umno Bahagian Rembau selagi dikehendaki oleh adiknya sendiri selaku Ketua Umno Bahagian Rembau, katanya.
Khabar ini juga dilaporkan oleh beberapa blog politik di Negeri Sembilan yang rata-rata meyakinkan akan kewujudan perihal ini, kata sumber.
Sementara beberapa sumber lain turut menyebut, Mohammad Hasaan juga akan digugurkan dari jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan.
Maklumat itu juga menyatakan, pengerusi baru akan dipilih di kalangan ahli Majlis Tertinggi Umno, bagi memastikan saki-baki pengikut Tun Abdullah dibersihkan.
“Desas-desus turut melaporkan bahawa salah seorang Ketua Umno Bahagian yang juga seorang Adun telah disebut-sebut akan menggantikan Azman Hasan selaku Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Sembilan yang baru,” kata sumber.
Dalam pemilihan lalu, Mohammad Hassan tewas dalam merebut jawatan MT Umno, sementara di peringkat bahagian, ‘orang kuatnya’ juga tewas.
Sejak dari itu, timbul beberapa laporan mengenai kemungkinan Mohammad akan digugurkan dari jawatan MB.Beberapa blog politik di Negeri Sembilan termasuk blog Badrul Hisham Shaharin menyatakan hal tersebut.
Namun hingga ke saat ini, Mohammad Hassan masih kekal selaku MB, dan abangnya, Azman Hassan tidak pernah membuat sebarang pengumuman rasmi berhubung peletakan jawatannya.