Ikuti Blog ini

Nizar : Saya Tidak Kehilangan Kepercayaan Majoriti



Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin memberitahu Mahkamah Tinggi semalam bahawa beliau tidak meminta Sultan Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan.

Katanya semasa beliau menghadap Sultan Azlan Shah mengenai krisis politik di negeri itu pada 4 Feb lepas, beliau masih mendapat kepercayaan penuh majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).

Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Abdul Aziz Abd Rahim dalam prosiding di sini hari ini untuk memeriksa balas afidavit yang diikrarkan oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Ahmad Kamal Md Shahid, yang didakwa oleh Nizar tidak konsisten dengan fakta sebenar semasa beliau menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb.

Nizar yang mencabar pelantikan Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak, juga menawarkan untuk diperiksa balas.

Dalam prosiding bermula 3 petang hari ini, peguam Cecil Abraham, yang mewakili Zambry, bertanya kepada Nizar mengenai berapa ramai wakil anggota Dun yang menyokongnya semasa beliau menghadap Sultan Azlan Shah. Nizar menjawab “28 anggota Dewan Undangan Negeri”.

“Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa Barisan Nasional mempunyai 31 kerusi pada ketika itu?” soal Cecil.

“Yang rasmi hanya ada 28. Saya tak tahu yang tiga anggota Dewan Undangan Negeri Dun lagi kerana mereka tidak dapat dihubungi. Saya tidak tahu sama ada mereka sokong Pakatan Rakyat atau BN. Yang saya tahu cuma mereka meletak jawatan,” kata Nizar.

Beliau merujuk kepada tiga Adun iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) yang dilaporkan mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat bertarikh 20 Jan dan 3 Feb.

Cecil: “Semasa kamu menghadap Sultan pada 4 Feb, adakah kamu sedar yang tiga Adun berkenaan telah menarik balik surat peletakan jawatan mereka?”

Mohammad Nizar: “Saya tidak sedar.”

Cecil: “Adakah kamu menyatakan sebagai Menteri Besar pada ketika itu, Speaker tidak memaklumkan kepada kamu mengenai perkembangan tentang apa yang berlaku, sebelum 4 Feb, 2009?”

Nizar: “Saya tidak dimaklumkan.”

Cecil: “Kamu sudah tentunya mempunyai seorang speaker yang tidak efisien! Adakah kamu Seri anggap speaker sebagai seorang yang tidak efisien?”

Nizar: “Soalan itu tidak relevan.”

Terdahulu dalam prosiding itu, Ahmad Kamal, 46, dalam keterangannya semasa diperiksa balas oleh peguam Ranjit Singh, tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela itu bahawa beliau adalah saksi yang berat sebelah dalam kes itu.

“Malahan, anda pernah mewakili responden sebelum ini dalam kes ini dan anda mungkin mendapatkan arahan dan nasihat beliau untuk membantah dalam kes ini, kata Ranjit dan dinafikan oleh Ahmad Kamal.

Ahmad Kamal, dalam keterangannya mengaku yang beliau pernah mewakili Zambry sebelum ini dan beliau diarahkan oleh peguam yang mewakili Zambry untuk mengikrarkan afidavit untuk menyatakan apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb.

“Bila kes ini telah diambil alih oleh peguam, dan setelah (mereka) mengetahui bahawa saya mengetahui apa yang berlaku pada 4 hingga 6 Feb, maka dari hasil perbincangan peguam dan saya, saya mengikrarkan apa yang saya tahu pada 4 hingga 6 Feb.

Kepada soalan kenapa beliau menyatakan afidavit itu diikrarkan tanpa sebarang kepentingan peribadi, Ahmad Kamal menjelaskan: “Sebagai Penasihat Undang-undang, saya adalah penjawat awam dan mempunyai pendirian berkecuali.

“Kalaupun saya mengikrarkan afidavit ini bagi pihak responden, ini tidak bermakna yang saya akan menyebelahi responden kerana sebagai Penasihat Undang-undang Negeri, saya adalah berkewajipan untuk menyampaikan apa yang saya tahu pada tarikh-tarikh tersebut.

“Bagi saya sama ada pemohon atau responden yang menang dalam kes ini, ianya tidak memberi apa-apa kelebihan atau keuntungan bagi diri saya. Kerana saya ialah Penasihat Undang-undang Negeri bukan penasihat undang-undang kepada parti politik,” katanya.

Ahmad Kamal juga berkata beberapa bahagian dalam afidavit yang diikrarkan oleh Nizar adalah tidak benar.

Ranjit: “Saya cadangkan kepada anda bahawa pemohon (Nizar) telah berkata kepada Sultan bahawa ’saya telah memaklumkan Sultan bahawa oleh kerana ketiga-tiga Jamaluddin, Osman dan Hee telah meletakkan jawatan mereka, mereka bukanlah ahli Dun lagi dan tidak berhak melibatkan diri dalam urusan atau perkara berkenaan Dun.

Ketiga-tiga mereka juga tidak dapat dihubungi yang ini sangat luar biasa, dan nampaknya mereka telah hilang.”

Ahmad Kamal: “Sebahagian betul, sebahagian tidak betul. Bahagian yang ‘mereka tidak dapat dihubungi dan hilang’, betul. Yang lain tidak betul.”

Ranjit: “Saya cadangkan kepada anda bahawa pemohon telah berkata kepada Sultan bahawa ’saya memohon Sultan untuk membubarkan Dun kerana ia lebih wajar dan sesuai untuk pilihanraya bagi Dun Perak diadakan demi mengelakkan keadaan jalan buntu dalam Dun dan hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri Perak.”

Ahmad Kamal: “Saya setuju bahagian ‘mohon bubarkan Dun’ tapi alasan pembubaran saya tidak setuju (pemohon ada mengatakan kepada Sultan).

Pada hari ini Mahkamah pula diberitahu Sultan Perak tidak memecat Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, sebaliknya beliau disingkirkan daripada jawatan itu mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .