Semakin hari, semakin ramai polis dan tentera berkampung di Manek Urai kononnya untuk menjaga keamanan dan mengelakkan sebarang insiden pergaduhan antara penyokong PAS dan Umno menjelang hari penamaan calon.
Dalam tinjauan yang dibuat, kelihatan 'perkampungan Martek PDRM' telah pun didirikan di Laloh dan semakin banyak pondok-pondok polis dibina di sekitar Manek Urai.
Di sebalik perang poster dan bendera yang semakin rancak di kiri kanan jalan, kenderaan polis seperti trak, kereta dan motorsikal juga semakin bertali arus dilihat di sepanjang jalan raya menuju ke Kota Bahru.
Bilik-bilik gerakan kedua-dua belah pihak juga semakin banyak dan aktif menjalankan mesyuarat tidak kira pagi atau petang.