PERMATANG PAUH, 15 Ogos: Barisan Nasional telah menjadikan pilihan raya sebelum ini sebagai alat untuk membuli rakyat dengan pelbagai penipuan, rasuah, sogokan dan propaganda dengan menggunakan media serta agensi kerajaan dan wang untuk mengugut dan menipu rakyat.
Sehubungan dengan itu, adalah diharapkan pilihan raya kecil kali ini berjalan dengan penuh berdisiplin tanpa melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.
Demikian dinyatakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang media selepas mengumumkan calon PAS, Mohd Salleh Man bagi kerusi N.11 Permatang Pasir malam tadi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Mustaffa Ali dan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat daripada PKR dan juga DAP.
Sebelum itu Abdul Hadi berucap di hadapan ribuan penyokong Pakatan Rakyat yang membanjiri perkarangan pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.
Abdul Hadi dipercayai mengulas pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini di mana BN membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk memujuk dan merasuah pengundi.
Selain wang, jentera kerajaan digunakan sewenang-wenangnya untuk membuli rakyat bagi memastikan mereka mengundi BN. Namun sehingga kini, hanya pilihan raya kecil Batang Ai sahaja yang memihak kepada BN.
Dalam ucapannya Presiden PAS itu berkata, dalam musim pilihan raya di negara yang diperintah oleh Umno dan Barisan Nasional rakyat disogok dengan pelbagai-bagai rasuah.
"Rakyat ditipu dengan penjelasan media sebelah pihak yang diamalkan di negara ini.Perkara yang benar tidak akan mendapat liputan kerana ia tidak menyebelahi pemerintah.
"Oleh kerana itu dalam demokrasi ala Umno dan Barisan Nasional hanya media yang menyebelahi mereka sahaja akan dibiarkan menipu dan memutarbelitkan fakta supaya rakyat dapat dibohongi dan dibuli.
"Oleh kerana demokrasi ala Umno dan Barisan Nasional yang telah memerintah negara melebihi 50 tahun, maka rasionalnya mereka dalam memerintah sudah tidak dapat memanfaatkan rakyat dalam jangka masa panjang.
"Oleh itu rakyat harus memberi satu kesedaran kepada Umno dan Barisan Nasional dengan menolak mereka dari terus membuli rakyat termasuklah di Dun Permatang Pasir ini,"katanya.