SHAH ALAM: Jenazah Ustaz Asri dimaklumkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, di sini selepas Maghrib bagi memberi peluang kepada keluarga mertuanya yang datang dari Johor memberikan penghormatan terakhir buat arwah.
Jenazah telah dibawa ke rumahnya di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, di sini.
Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar.
Menurut salah seorang anggota Rabbani, Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, arwah jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Balu arwah, Haliza Shahadan hadir di hospital beserta dengan beberapa rakan artis seperti penyanyi Nash, Yasin Sulaiman dan Mas Omar.
Selain itu, lebih 100 orang melibatkan rakan terdekat dan ahli keluarga arwah turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.
Dua hari lalu, Asri bersama anggota Rabbani yang lain menghadiri majlis sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana untuk terus membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan ramadan yang bakal tiba nanti.
Rabbani akan mengadakan persembahan sepanjang ramadan di Hotel Singgahsana sambil menghiburkan para pengunjung yang hadir serta menikmati hidangan yang bertemakan 'Citarasa Ramadan 1 Malaysia' bermula 1 Ramadan nanti.
Rabbani telah bekerjasama dengan Hotel Singgahsana selama 18 tahun dan sejak itu Rabbani telah menghiburkan para pengunjung hotel tersebut yang datang untuk berbuka puasa dengan persembahan 'live' mereka.