Ikuti Blog ini

Pendakwa Raya kena Jerkah Dek Mat Sabu Di dalam Mahkamah.


Bicara Protes: Mohamad Sabu jerkah pendakwa

KUALA LUMPUR – Kecoh. Itu merupakan gambaran tentang situasi Mahkamah Sesyen di sini hari ini yang mendengar perbicaraan 44 penyokong Gabungan Memprotes Kenaikan Harga (Protes) yang didakwa menyertai perhimpunan haram pada Januari tahun lalu.

Kebanyakan tertuduh yang hadir termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu dilihat membuat bising termasuk menyorak, ketawa dan mengeluarkan komen-komen ‘nakal’ sepanjang perbicaraan.

Mereka juga dilihat seolah-olah mempermainkan saksi-saksi ketika memberi keterangan.

‘‘Dah lama kerja, baru sarjan,’’ kata salah seorang tertuduh diikuti gelak tawa daripada mereka yang lain apabila saksi pendakwa pertama, jurugambar, Detektif Sarjan Zainal Sidek, 50, memberitahu telah berkhidmat selama 30 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Disebabkan keadaan tidak terkawal, pada peringkat awal, Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling telah membuat bantahan kepada Hakim Mohamad Sekeri Mamat tetapi telah disorak oleh kesemua tertuduh.

‘‘Tolong bagi kerjasama. Jangan buat perangai sama macam kamu buat di KLCC. Kalau bulan lain, boleh tahan sikit, tapi ini bulan Ramadan, hormat sikit,’’ tegur hakim tersebut.

Namun ia disambut dengan ketawa kecil para tertuduh yang sebahagian besarnya berada di galeri awam kerana kandang tertuduh terlalu sempit.

Teguran itu juga tidak ubah seperti mencurah air di daun keladi kerana keadaan menjadi lebih teruk selepas timbul bantahan oleh peguam Chong Kok Wei @ Jonson Kok Wei Chong yang mewakili dirinya sendiri dalam kes itu, mengenai gambar yang dikemukakan oleh pendakwaan.

Bantahan dibuat selepas Kok Wei mendapati salinan gambar tersebut tidak mengikut turutan dan ketika Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani membuat perbandingan gambar-gambar itu, tertuduh tidak henti-henti memberikan ‘komen’.

Ini menyebabkan Idham berang dan meminta semua tertuduh diam.

‘‘You shut up! You wasting our time here! You should respect us! (Kamu diam! Kamu buang masa kami di sini! Kamu yang patut menghormati kami),’’ jerit seorang daripada tertuduh kepada Idham.

Keadaan mahkamah bertambah hingar apabila hampir kesemua tertuduh bertindak memarahi pihak pendakwa sehingga tidak boleh dikawal peguam bela dan Mohamad Sabu pula secara tiba-tiba bertindak menjerkah Idham.

Perbicaraan bersambung esok.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .