3.55 petang: Peguam pencelah yang juga Peguam Negara, Ghani Patail memulai penghujahan sebelah petang selepas peguam Ds. Nizar, Hj. Sulaiman Abdullah menghabiskan penghujahannya.
3.45 petang: Mahkamah kembali bersidang selepas berhenti rehat sehingga jam 3,30 petang tadi. Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar masih berada dalam mahkamah untuk terus mengikuti sesi yang sedang berlangsung.
3.00 petang: Sementara itu, Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim yang turut berada dalam kamar mahkamah melaporkan sesuatu yang janggal dalam kes kali ini.
Menurutnya, kes pembicaraan MB Perak di Mahkamah Rayuan pada Mei lepas di tempat yang sama dengan Mahkamah Persekutuan hari ini, Keduanya di Istana Keadilan cuma tingkat satu dan dua sahaja. Pada dasarnya kehadiran ramai wartawan dan penyokong Pakatan Rakyat tidak dapat dinafikan pada kedua-dua pembicaraan itu.
"Namun pada hari ini yang tidak kelihatan ialah ADUN-ADUN BN, seorangpun tidak hadir. Seingat saya pada 22 Mei semasa mahkamah ingin memutuskan Zambry sebagai MB Perak saya melihat ada ADUN dari BN yang hadir disamping mereka yang kalah dalam pilihanraya yang lepas. Antaranya ADUN Manjoi dan ADUN Sungai Rapat.
"Hari ini seorangpun dari mereka tidak kelihatan. Cuma pada sesi pagi yang jelas mewakili Umno hanyalah Hamdan Taha dan kawan-kawannya yang datang. Mereka tidak ada apa-apa jawatan dalam Umno cuma yang pasti ada kepentingan,"jelasnya melalui catatan blog peribadinya.
Tambahnya,"keadaan ini menimbulkan banyak persoalan, adakah mereka sudah tahu keputusan awal sehingga seorangpun tidak kelihatan didalam kamar bicara. Yang jelas panel peguam sahaja yang mewakili Zambry termasuklah peguam pencelah, Ghani Phatail.
"Ramai yang bertanyakan kepada saya kenapakah ini berlaku, dan saya pun tidak dapat memberi jawapan yang pasti,"katanya.
12.45 tgh:Dalam pada itu, Nizar sewaktu ditemui menjelaskan, lima hakim yang ditetapkan tidak menggambarkan 1 Malaysia.
Katanya, jika kes dadah boleh didengar oleh lima hakim tentunya kes ini memerlukan hakim lebih besar kerana ia membawa kesan lebih besar.
"Sepatutnya ada hakim dari Borneo juga,"katanya semasa ditemui pada sesi rehat sebentar tadi.
Beliau berharap inilah peluang keemasan untuk membuat keputusan yang memulihkan sistem kehakiman negara.
12.00 tengahari: Sementara itu, menurut Hanifa Maidin yang hadir hari ini, permohonan untuk mendapatkan 11 hakim adalah untuk memastikan tiada unsur 'bias', para hakim membuat keputusan yang tepat dan tidak wujud unsur-unsur yang memihak apabila membuat keputusan.
Beliau juga melahirkan kebimbangan kerana lima panel hakim yang dilantik kini adalah hakim-hakim yang pernah mendengar kes terdahulu dan dibimbangi akan mempengaruhi kes tersebut.
Sementara itu, ditanya mengenai hujah yang dikemukakan oleh pihak Nizar, beliau mengulas bahawa antara yang ditegaskan oleh barisan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah adalah;telah termaktub dalam undang-undang bahawa Tuanku Sultan Perak tiada hak dan kuasa dalam memecat Menteri Besar dan juga jika ingin memecat maka mesti ada undi tidak percaya dalam dewan.
Tambahnya, berkemungkinan keputusan tidak akan diketahui hari ini, tetapi diharapkan Nizar akan menang bersandarkan kepada hujah-hujah yang dikemukakan.
Mahkamah ketika ini berhenti rehat.
Berita sebelum ini
10.15 pagi: Ketika ini, panel lima hakim sedang mendengar rayuan tersebut. Sebelum ini, Nizar memohon supaya panel 11 hakim mendengar kes rayuan tersebut tetapi telah ditolak oleh mahkamah.
Panel hakim tersebut diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Empat lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.
Nizar diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili menteri besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
9.00 pagi:Para wartawan dan orang ramai sudah tiba di kompleks mahkamah Putrajaya seawal jam 7 pagi, bagi mengikuti prosiding rayuan tersebut.
Kawalan keselamatan juga ketat di mana anggota polis dan anggota keselamatan mewajibkan mereka yang ingin masuk ke dewan mahkamah, mendapatkan pas khas.