Ikuti Blog ini

Apa Kata Dr Asri mengenai Zul Nordin dan Khalid Samad


Saya amat berdukacita apabila membaca krisis antara YB Zulkifli Nordin dan YB Khalid Samad. Kedua-duanya sahabat yang dikasihi. Saya serba salah untuk mengulas. Namun isu ini telah dimainkan oleh media. Saya amat berharap ia menemui penyelesaian yang harmoni. Kedua-duanya pejuang rakyat, dan kedua-duanya mempunyai sumbangan yang tersendiri.
Walaupun bukan lama saya bersahabat dengan Zulkifli Nordin, namun saya dapat memahami sedikit sebanyak hati nuraninya. Perasaan islami dan sayangkan masa depan umat Islam dalam jiwanya amat tebal. Walaupun kadang-kala saya berbeza pendapat dengannya, namun saya tetap menghormati jiwanya yang sensitif dan sentiasa berkobar-kobar dalam membela agama.
Adapun YB Khalid Samad baru sahaja saya bersahabat dengan beliau. Pada saya, beliau cuba agar Islam dilihat sebagai agama yang praktikal dan adil untuk semua pihak. Dalam menangani dakwah di Malaysia, apa yang menjadi masalah adalah bukan-muslim gagal melihat keagungan Islam, keadilannya dan kebenaran risalah tersebut sebagai bukti ia benar-benar dari Tuhan Yang Sebenar. Mesej inilah barangkali yang cuba disampaikan.
Kedua-dua tokoh ini kesayangan kita semua. Kita tidak mahu ada antara mereka yang terbuang atau dipinggirkan. Jika hendak terpinggir, biarlah ahli-ahli politik sampah yang kontang idea dan sumbangan yang wujud dalam masyarakat kita. Bukan mereka berdua ini.
Isu nama Allah semua kita sepakat bahawa kemungkinan untuk ia diselewengkan atau menimbulkan ketidakharmonian itu wujud. Cuma kita berbeza dalam menanganinya. Ada yang meminta agar dihalang secara mutlak. Ada yang menyatakan diizinkan, cumanya garis panduan mestilah ditetapkan untuk mengelak kegusaran. Jika garis panduan itu dilaksanakan dengan teliti, maka ketakutan pihak pertama juga mungkin dapat dihilangkan.
Saya mengharapkan kedua sahabat ini tidak bertegang, kerana kita semua masih memerlukan khidmat mereka berdua.
-dr mohd asri zainul abidin, USM.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .