KOTA BHARU, 28 Jan: Umno perlu bertanggungjawab terhadap ketegangan yang berlaku di negara ini termasuk insiden kepala babi yang dilontarkan di dua buah masjid di Petaling Jaya semalam.
Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata perkara buruk seumpama itu berlaku akibat Umno telah menghilangkan rasa hormat masyarakat kepada agama.
Akibatnya, berlakulah perkara negatif seperti merosakkan rumah ibadat agama lain dan melemparkan kepala babi di masjid tempat orang muslim beribadat.
(GAMBAR: TG Nik Aziz makan tengahari bersama paderi Kristian di sebuah hotel hari ini. Turut serta 200 pemimpin lima agama utama di Malaysia)
“Astaghfirullahalazaim…saya mendoakan semoga Kelantan terselamat dari gejala itu termasuk Malaysia juga.
“Kalau kita tidak suka pada ajaran agama lain, kita tidak boleh menghianati, kalau buat jahat kita kena dakwah dia," katanya.
Sikap Umno yang menolak dasar Islam dalam perjuangan mereka juga jelasnya telah menimbulkan salah faham khususnya golongan muda yang hanya memahami Islam seperti rukun Islam solat dan puasa sahaja.
Sedangkan Islam lebih luas dari kefahaman itu.
“Perkara sebegini akan ditanggung oleh Umno dunia dan akhirat kerana memandang remeh soal Islam, sepatutnya sejak awal lagi mereka membuang perjuangan kebangsaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas meraikan 200 ketua-ketua pelbagai agama di Hotel New Pasific, di sini tengah hari tadi.
“Apa yang dilakukan sekejap tadi (majlis mahabbah) sebenarnya untuk meneruskan kefahaman, persaudaraan, keamanan, kesejahteraan dan kedamaian sebahagian dari cabang kerja-kerja Islam,” ujarnya.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana telah berjaya menghimpun semua ketua-ketua agama di Kelantan dan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Beliau menggunakan kesempatan tersebut bertemu ketua-ketua agama lain dengan mengunjungi dari meja ke meja diiringi anggota-anggota exco kerajaan negeri yang lain.
Dalam pada itu, Pengarah Program, Datuk Mohd Amar Abdullah dalam ucapannya sebelum itu berkata, program mahabbah yang dianjurkan ini sebagai menzahirkan hidup bermasyarakat rakyat pelbagai anutan agama dan kaum.
“Ianya symbol keamanan masyarakat di negeri ini dan mudahan akan menjadi ikutan di negeri-negeri lain,”ujarnya.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Majlis Perunding Agama Budha, Kristian, Hindu dan Sikh, Kalanalagan dan Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia, Dr Herman Sastri.
Di Kelantan sahaja lebih 30 ketua-ketua agama dari rumah ibadat Budha, Hindu dan Sikh hadir pada majlis yang penuh bersejarah itu.