Keputusan tidak melantik Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ke jawatan penting dalam kerajaan adalah bukti kukuh Datuk Seri Najib Razak tidak mempercayai bekas menantu mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Semenjak Najib mengambil alih tampuk kuasa pelbagai tindakan berbentuk politik telah diambil bagi membunuh karier politik Ahli Parlimen Rembau itu.
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Fariz Musa berkata sikap agresif Khairy atau KJ untuk menguasai pentadbiran kerajaan ketika bapa mertuanya berkuasa dahulu masih meninggalkan trauma kepada ahli Umno.
Fariz berkata KJ telah lama cuba memiliki jawatan dalam kabinet tetapi gagal berikutan ramai pemimpin Barisan Nasional sedar kerakusan beliau untuk menguasai jawatan dalam parti dan kerajaan pusat.
"Nampak jelas sekarang Najib cuba mencantas Khairy dari jawatan yang disandang mungkin kerana ingin memberi jawatan itu kepada kuncu yang dipercayainya.
"Najib tidak bersedia membuat perubahan terhadap Pemuda Umno jika Khairy masih menguasai kerusi Ketua Pemuda," ujarnya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau juga berkata pemberian RM2 juta oleh Najib untuk membiayai program Pemuda Umno seolah-olah mahu menunjukkan kepada ahli Umno bahawa KJ tidak mampu mengangkat martabat pergerakan tersebut sepanjang memegang jawatan sebagai ketua.
Fariz menegaskan pergolakkan Pakatan Rakyat yang dicipta oleh Umno hanyalah untuk menutup ketidaksefahaman dan masalah dalaman parti itu.
Ini terbukti apabila sebahagian besar Exco Pemuda Umno dipercayai meminta agar KJ melatak jawatan dan pergerakan itu diterajui tokoh pro-Najib.
suara-keadilan.com