Ikuti Blog ini

Tolak debat - DPMMPP, Umno dianggap bacul













Tindakan Pemuda Umno Pulau Pinang dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan negeri itu (DPMMPP) yang menolak Debat Perdana Rakyat 2010 dianggap sebagai pengecut.

Sebaliknya kumpulan itu menuntut untuk hanya berdebat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung isu dakwaan peminggiran orang Melayu-Islam.

Menurut Setiausaha, Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP), Syed Mikael Rizal Aidid (kiri), alasan demi alasan yang diberikan oleh DPMMPP dan Pemuda Umno adalah mesej jelas mereka gentar dengan kebenaran.

“Sindiran Yang Dipertua DPMM Pulau Pinang, Rizal Faris Mohideen yang mengatakan dia tidak melayan cabaran dari 'ikan bilis' dan ejekan Norman Zahalan yang menuduh Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang seperti 'kuda tunggangan' Ketua Menteri, semakin menampakkan siapa diri mereka yang sebenarnya,” katanya.

Syed Mikael berkata Debat Perdana Rakyat 2010 anjuran Sekretariat Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang bertajuk “Isu Melayu-Islam Pulau Pinang : Antara Provokasi & Kebenaran” adalah ruang yang terbaik kepada semua pihak memperjelaskan isu berkenaan.

“Jika mereka (DPMMPP dan Umno benar-benar mahu menjadi pejuang isu-isu rakyat di Pulau Pinang, ini peluang mereka.

“Bermula pada hari ini (22 Februari 2010) kami memberikan tempoh selama seminggu kepada mereka untuk mengumpul bahan debat dan seterusnya menyahut cabaran. Kemuncak kebenaran yang dinantikan oleh seluruh rakyat Pulau Pinang adalah di Debat Perdana Rakyat 7 Mac ini, di Seberang Jaya,” tambah Syed Mikael lagi.

Beliau juga menasihatkan golongan itu supaya tidak berlagak 'jaguh' di sebalik alasan lapuk yang dikeluarkan tetapi 'menikus' bila berhadapan dengan rakyat.

Menurut Syed Mikael lagi AMKPP bersama-sama dengan Pemuda Sosialis DAP dan Dewan Pemuda PAS menasihatkan DPMM-GPMS-UMNO supaya tidak bacul dan segera menyahut cabaran debat berkenaan.

“Buktikan anda adalah anak jantan dan bukan bacul. Jadilah 'juara rakyat' di saat rakyat memerlukannya, dan bukan hanya menjadi 'juara rakyat',” katanya.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .