Ikuti Blog ini

ADUN Titi Tinggi dan MB Perlis Pembohong - Pemuda UMNO Bhgn

Empat daripada lima pemimpin akar umbi UMNO Bahagian Padang Besar, yang dipanggil bertemu dengan Setiausaha Politik Menteri Besar, Azali Abas petang semalam, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Yip Sun Onn kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah dan mempergunakan nama Pemuda UMNO bahagian itu sebagaimana disiarkan sebuah akhbar, kelmarin.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO bahagian, Aidi Helmi Mohamed berkata, empat pemimpin yang hadir dalam satu pertemuan terancang di sebuah restoran di Kangar, Perlis kira-kira jam 5 petang. semalam itu. turut mempersoalkan kenyataan Menteri Besar bahawa pengundi kawasan Titi Tinggi masih sayangkan Sun Onn, sedangkan kenyataan itu tidak bersandarkan fakta sebenar.

Menurutnya, sebagai seorang Menteri Besar, Md Isa seharusnya merujuk kembali kepada suara akar umbi parti dan penduduk kawasan Titi Tinggi untuk mendapatkan gambaran sebenar sokongan pengundi terhadap Sun Onn, dan tidak hanya berpandukan kepada kenyataan media menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar oleh pemimpin MCA itu semata-mata.

“Bantahan rasa tidak puas hati itu disampaikan kepada Azali memandangkan pertemuan itu diatur oleh Pejabat Menteri Besar sendiri dan diadakan dalam suasana aman.

“Dalam pertemuan itu, kami turut meminta Pejabat Menteri Besar menasihati Datuk Seri Md Isa agar tidak terus mempertahankan keputusan Sun Onn untuk meletak jawatan sebagai ADUN kerana Sun Onn bukan sahaja tidak menghormati keputusan MCA Pusat dan sokongan UMNO Bahagian, malahan tidak menghormati sokongan Datuk Seri sendiri kerana mendahulukan kepentingan diri sendiri daripada kepentingan rakyat dan parti,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Aidi turut menjelaskan UMNO dan Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar tidak pernah diajak berbincang sama ada sebelum, semasa dan selepas surat peletakan jawatan ADUN dikeluarkan di samping tidak pernah mengadakan apa-apa pertemuan dengan Kerajaan Negeri dan Sun Onn sendiri sama ada untuk memujuk Sun Onn menarik balik surat tersebut atau tidak.

Menurutnya, Pemuda UMNO memutuskan Sun Onn berbohong dengan mempergunakan nama Pemuda UMNO untuk menutup keterlanjuran beliau menyerahkan surat peletakan jawatan ADUN kepada Speaker DUN, Datuk Yazid Mat pada 21 Mac lalu.

“Kami berasakan satu penghinaan terancang yang dibuat oleh Sun Onn di atas kenyataan yang dikeluarkan kerana kami sebenarnya tak pernah diajak berbincang mengenai hasrat dan keinginan beliau untuk meletak jawatan ADUN sebelum ini.

Beliau berbohong dan MB Perlis juga berbohong dalam kenyataan media yang menyatakan pengundi masih sayangkan Sun Onn. Kenyataan itu menunjukkan kedangkalan yang amat sangat kerana ia dibuat tanpa merujuk keadaan sebenar yang berlaku dalam kawasan Titi Tinggi,” katanya.

Aidi berkata, empat pemimpin yang hadir dalam pertemuan itu ialah Penyelaras Pemuda UMNO Kawasan Titi Tinggi, Shahidan Ibrahim, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Padang Besar, Khalid Mat Rus dan Azizan Khamis dan beliau sendiri selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian.

Seorang lagi pemimpin yang tidak dapat menghadiri pertemuan itu ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar, Mohsin Yusof kerana terpaksa menghadiri kursus di Perak.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Azali Abas ketika dihubungi Sinar Harian lewat petang semalam mengesahkan pertemuan itu dan menjelaskan ianya dibuat hanya sekadar ‘sembang-sembang’ petang.

Menurutnya, beliau merupakan individu yang bertanggungjawab untuk menghubungi kelima-lima pemimpin akar umbi UMNO Bahagian Padang Besar itu dan menjelaskan pertemuan itu dibuat tanpa pengetahuan Menteri Besar.

“Memang saya akui ada menghubungi lima pemimpin UMNO Bahagian Padang Besar pada malam semalam (malam kelmarin) dan meminta satu pertemuan diadakan pada petang ini (semalam) bagi membincangkan isu-isu semasa berkenaan parti.

“Pertemuan itu tidak dijalankan secara formal dan diadakan secara aman, bagaimanapun butiran lanjut mengenai perkara yang dibincangkan semasa pertemuan itu dibuat tidak dapat saya dedahkan,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Aidi yang mendakwa ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn dan Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa berbohong kerana mempergunakan nama Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar dalam kenyataan mereka, Azali menafikan dakwaan itu dan menjelaskan ianya berpunca daripada salah faham semata-mata.

Menurutnya, beliau difahamkan kenyataan Sun Onn mengaitkan nama Pemuda UMNO adalah untuk merujuk sebilangan kecil rakan-rakannya yang terdiri daripada ahli Pemuda UMNO Bahagian Padang Besar, dan bukannya merujuk kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Bahagian.

“Ini tidak lebih dari sekadar salah faham semata-mata kerana kenyataan Sun Onn hanya merujuk kepada segelintir Pemuda UMNO Bahagian yang menyokongnya, dan bukan AJK Pemuda Bahagian.

“Saya sudah jelaskan perkara ini dalam pertemuan itu dan saya minta mereka tidak cepat melatah kerana isu peletakan jawatan Sun Onn merupakan isu besar yang mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Semalam, barisan kepemimpinan akar umbi UMNO Bahagian Padang Besar menyokong penuh hasrat Yip Sun Onn untuk meletak jawatan dan meminta ADUN Titi Tinggi itu dan Menteri Besar memohon maaf secara terbuka kepada mereka kerana mempergunakan nama ‘suci’ Pemuda UMNO bahagian itu.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat tergempar yang berlangsung malam sebelumnya yang dihadiri oleh kira-kira 30 pemimpin akar umbi bahagian.

Mereka termasuk empat pemimpin kanan Pemuda bahagian serta empat ahli jawatankuasa bahagian. DUN Titi Tinggi terletak di bawah kawasan Parlimen Padang Besar. -SH
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .