Ikuti Blog ini

DAP, PAS sepakat Anwar Ketua Pembangkang dan calon PM

KUALA LUMPUR, 15 Mac: DAP dan PAS mengulangi pendirian tetap memberi sepenuh kepercayaan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen biarpun kerusi PKR kini hanya 26 iaitu kurang dua kerusi berbanding DAP (28).

Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata, pihaknya langsung tiada keraguan untuk Anwar kekal menerajui pembangkang di Parlimen.

"Tidak ada apa-apa keraguan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang walaupun kerusi PKR sekarang 26, DAP (28) dan PAS (23).

"Kami DAP memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Anwar," katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Manakala Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, Anwar bukan sahaja diterima Pakatan rakyat sebagai Ketua Pembangkang, malah sebagai calon perdana menteri Malaysia.

"Kita Pakatan Rakyat bukan sahaja menerima Anwar sebagai Ketua Pembangkang malah Perdana Menteri Malaysia.

"Bukan baru sekarang, tapi sejak zaman (allahyarham) Datuk Fadzil Noor (mantan Presiden PAS) lagi sewaktu dalam Barisan Alternatif," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

PKR sebelum ini mempunyai 31 ahli parlimen namun empat daripada mereka bertindak keluar parti manakala seorang telah dipecat manakala PAS pula masih kekal dengan 23 kerusi.

Hari ini merupakan istiadat perasmian pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan bermula esok sehingga 15 April ini.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .