Ikuti Blog ini

DS Anwar rela tak jadi ketua pembangkang













Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika perlu beliau sanggup melepaskan jawatan ketua pembangkang kepada DAP yang kini mendominasi jumlah kerusi Pakatan Rakyat di parlimen.

“Oleh kerana jumlah kerusi PKR sekarang kurang, saya pelawa (tokoh popular DAP) Lim Kit Siang yang lebih banyak pengalaman. Saya tidak akan pertahankan.

“(Bergurau) Saya lebih pengalaman sebagai menteri. Tetapi Lim awal-awal lagi berkata, perkara itu bukan isu,” katanya.

Setelah empat ahli parlimen PKR bertindak keluar parti dan menjadi wakil bebas baru-baru ini, parti itu kini hanya memiliki 27 kerusi berbanding DAP sebanyak 28. PAS pula mempunya 23 wakil dalam Dewan Rakyat.

Pada lazimnya, pembangkang yang terkuat dalam parlimen akan melantik seorang wakil mereka sebagai ketua pembangkang.

Ketika menyampaikan ucapan perdana sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor di Shah Alam hari ini, Anwar juga berkata, usaha Umno yang mahu mengambil kesempatan atas keadaan tersebut tidak akan berjaya.

“Umno pening macam mana hendak lagakan ketiga-tiga parti ini. Mereka tidak tidur. (Kalau tidur dan) mimpi pun, (mimpi) macam mana hendak gaduhkan kita,” katanya disambut gelak-ketawa para perserta.

Sementara itu, Lim (bawah) yang juga ahli parlimen Ipoh Timur yang berucap sebelum itu turut menyatakan pendirian yang sama.

“DAP komited pada satu matlamat, (iaitu) menuju ke Putrajaya. Anwar akan terus menjadi ketua pembangkang sehinggalah beliau menjadi perdana menteri (pada suatu hari nanti),” katanya.

PKR, DAP dan PAS Selangor hari ini menganjurkan konvensyen pertama mereka dekat bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri bagi mengukuhkan persefahaman antara mereka.

Konvensyen bertemakan “Bermuafakat Menjunjung Amanah Rakyat” itu berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta daripada ketiga-tiga anggota parti masing-masing di seluruh Selangor.

Berdasarkan ucapan-ucapan pemimpinnya, konvensyen tersebut dilihat cuba mentententeramkan penyokong Pakatan Rakyat supaya tidak bimbang dan panik dengan fenomena keluar parti seorang demi seorang yang melanda wakil rakyat mereka.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .