Ikuti Blog ini

Jenazah Ahli Parlimen Hulu Selangor Selamat Dikebumikan

Jenazah Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka di Jalan Cheras-Kajang kira-kira jam 11 pagi semalam.

Jenazah Allahyarham disolat di Masjid Batu 10 Jalan Cheras dan turut hadir ialah Ketua Pembangkang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR, Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali, Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani juga dilihat berada ditanah perkuburan itu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat anak, Azura, 37; Azri Zin, 36; Aznizah, 29 dan Azizah, 25.

Beliau meninggal dunia kira-kira 9.27 malam tadi akibat barah otak di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras-Kajang.

Dr Zainal menang Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum ke-12 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) menewaskan penyandang, Datuk G Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Dr Zainal menyertai PKR pada 2005 dan dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi bagi penggal 2007/2010.

Sebelum menyertai PKR, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, selain menyandang jawatan selaku Exco kerajaan negeri.

Beliau menang tiga penggal berturut-turut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999.

Dr Zainal dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939 dan memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968), Pengetua Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru (1972-1973), pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Beliau memperoleh Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles pada 1980 dan pernah menjadi Dekan Fakulti Pendidikan UKM sebelum menyertai politik pada 1989. - GB-




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .