- setelah genap 10 tahun wang ehsan diagih-agihkan
KUALA TERENGGANU - Kempen Menunut Royalti Dikembalikan ke pangkuan rakyat dan kerajaan Terengganu bergema kembali setelah genap 10 tahun wang tersebut diagih-agihakn sebagai ehsan. ( Gambar - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid, menurunkan tandatangan sokongan menuntut royalti dikembali)
Penaung Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) Tengku Seri Paduka Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasaruddin (Ku Duka) telah melancarkan kempen tersebut sempena Dialog Perdana Isu Royalti & Solat Hajat yang di adakan di Terengganu Equestrian Resort (TER) semalam.
Dalam ucapannya, Ku Duka Penaung Mampat berkata, bulan ini (Mac) 2010, genaplah 10 tahun hak royalti rakyat Terengganu dinafikan dan belum dikembalikan semula meski pun kerajaan negeri telah diperintah oleh Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, banyak kesan yang timbul ekoran wang royalti bertukar menjadi ‘wang ehsan’ dari sudut pembangunan dan keberkatan.
Katanya, kejadian-kejadian ‘rosak dan runtuh’ sejak akhir-akhir ini dilihat lebih dominant berbanding pembaangunan sebenar yang dirancang.
“Kata sesetengah orang ‘wang ehsan’ ini tidak berkat dan mungkin ramai yang tidak tahu perbezaan antara wang ehsan dengan wang royalti yang dituntut oleh Gegar dan Mampat,”ujarnya
Ku Duka menyifatkan ‘keburukan’ pemberian wang ehsan kepada rakyat menyebabkan rakyat Terengganu berdiam diri serta tidak berani menuntut hak royalti.
“Wang Ehsan dilihat lebih dinikmati oleh rakyat, ada yang dapat RM300 ada yang dapat RM500. Inilah yang menyebabkan ramai rakyat Terengganu berdiam diri dalam isu tuntutan ini. Jika royalti mungkin mereka (rakyat) tidak akan mendapat imbuhan sebegini,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana pengurusan wang royalti itu dikendalikan dari mula penerimaan hingga pengagihan sejak ditukarkan kepada wang ehsan.
Menurutnya, laporan audit mengenai perjalanan wang ehsan langsung tidak ada yang berkemungkinan akan berlaku penyelewengan.
“Kita (rakyat) mahu tahu bagaimana pengagihan wang ini berjalan dari penerimaan hinggalah wang ini diagih-agihkan kepada mereka (rakyat) yang berhak dan layak.
“Adakah ianya diaudit dengan baik atau sebaliknya. Jika diaudit kenapa tidak dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu atau diumumkan kepada rakyat Terengganu khususnya dan rakyat Malaysia amnya melalui media,” tegasnya.
Katanya, kerajaan pusat tidak wajar menganayai negeri Terengganu dan Kelantan yang kedua-dua itu majorit 90 peratus orang Melayu dan beragama Islam.
Menurutnya, pertikaian mengenai hak mendapat serta menguruskan royalti di Terengganu telah memakan masa yang lama genap 10 tahun.
“Ingin saya ingatkan kepada pihak berkuasa (kerajaan pusat) yang mengendalikan wang ini. Ingatlah, rakyat negeri Terengganu berjumlah hampir 1.5 juta orang dan 95 peratus rakyat Terengganu adalah orang Melayu dan beragama Islam.
“Yang seagama dengan mereka (pemimpin) yang berkuasa di Kuala Lumpur. Begitu juga saudara-saudara kita di Kelantan. Kenapakah kita (rakyat) dianiayai sebegini.
“Apa bezanya ‘royalti’ dengan wang ‘ehsan’ yang hendak dipertikaikan begitu lama. Berilah…harta rakyat negeri Terengganu,” ujarnya.
Sempena majlis tersebut pihak penganjur Mampat turut mengumpulkan tandatangan rakyat bagi menyokong tuntutan mengembalikan hak royalty kepada negeri ini.
Manakala, bekas Pengerusi Petronas, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengadakan dialog dengan rakyat bagi memberi penjelasan sebenar mengenai isu royalti petroleum Kelantan dan Terengganu.
Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Paduka Husam Musa, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik serta beberapa pimpinan PAS Terengganu dan Kelantan.