Ikuti Blog ini

‘Saya tidak gila dan tidak nyanyuk lagi’-Ku Li




SEJAK…. Mantan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah turun ‘padang’ menjelaskan kepada rakyat di Kelantan dan Terengganu yang menjadi isu berkaitan dengan hasil royalty menyebabkan ada pihak yang ‘kepanasan’.

Pelbagai cacian serta kata nista yang dilemparkan oleh ‘rakan-rakannya’ terhadap Tengku Razaleigh apabila tindakan ‘Ku Li’ dianggap bercanggah dengan kerajaan pusat.

Maka, Tengku Razaleigh Hamzah membidas mana-mana pihak yang tidak mengikut undang-undang serta Akta Kemajuan Petroleum sebagai tidak konsisten.

Ini kerana, katanya undang-undang tersebut masih diterima-pakai yang telah diluluskan oleh Parlimen sejak 37 tahun lalu.

“Ada pula orang kata saya ini bercakap dolak-dalil dia kata, kerana suatu ketika lain dan suatu ketika lain pula. Saya tidak gila lagi, saya tidak nyanyuk lagi. Sebab, itulah draf undang-undang yang saya tolong drafkan. Takkan saya hendak bercakap lain dari apa yang saya buat.

“Kalau orang lain pada hari ini bercakap lain dari undang-undang sebenarnya orang itu yang tidak konsisten. Saya konsisiten dan orang lain yang tidak ikut undang-undang yang tidak konsisten. Pada hal, undang-undang (Akta Kemajuan Petroleum) itu masih terpakai hingga sekarang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Perdana Isu Royalti & Solat Hajat anjuran Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) di Dewan Besar Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, dekat sini, 18 Mac lalu.

Katanya, sejarah serta tujuan penubuhan Petronas yang diluluskan oleh parlimen telah dirangka draf penjanjian tersebut bagi membangunkan rakyat dan negeri-negeri berkenaan.

“Saya hendak jelas undang-undang yang kita (negara) pakai sekarang dari masa tertubuhnya Petronas, berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri sehingga duit dapat dikumpul dengan begitu banyak.

“Beribu-ribu juta ringgit dan ini bukan untuk siapa tetapi kurniaan Tuhan untuk kita, untuk rakyat. Saya bercakap malam ini atas ‘body’ (tubuh) saya semata-mata.

“Saya tidak mewakili sesiapa. Saya bercakap kerana saya merasa berdosa jika saya tidak terang dengan sejelas-jelasnya,” ujarnya.

Menurutnya, parlimen merupakan badan ‘maha agung’ (tertinggi) dari segi undang-undang dalam bentuk pemerintahan di negara ini.

“Dan sememangnya dikuatkuasa untuk membolehkan yang diberi kuasa terlibat melaksanakan setiap peruntukkan yang terdapat dalam undang-undang ini.

“Dan tidak boleh disalahgunakan undang-undang ini untuk tujuan-tujuan lain. Duit yang hendak dibayar oleh petronas mesti dibayar kepada kerajaan negeri dan tidak boleh dibayar kepada pihak lain.

“Itu yang diterangkan dalam Akta Kemajuan Petroleum. Saya berani kata begitu kerana kita hendak wajibkan supaya duit ini sampai kepada rakyat menerusi kerajaan-kerajaan yang dipilih oleh rakyat,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menegaskan rakyat di negeri-negeri persekutuan merupakan rakyat yang berdaulat dari sudut undang-undang.

Katanya, kerajaan persekutuan tidak akan wujud tanpa gabungan serta kerjasama dari negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

“Rakyat berdaulat, negeri berdaulat dan kerajaan persekutuan tidak wujud tanpa adanya persetujuan dari negeri-negeri untuk bersatu dibawah satu Persekutuan.

“Persoalan royalti pula bukan isu lagi dan isunya ialah kerajaan negeri dengan kerajaan pusat (Persekutuan). Apa hubungan sebenarnya, itu menjadi penting untuk kita timbang sekarang,” ujarnya.

Manakala, katanya antara kerajaan negeri dengan petronas juga tidak menjadi isu kerana telah ada perjanjian dibuat dibawah Akta Kemajuan Petroleum yang telah dilulus di Parlimen.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Paduka Husam Musa, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik serta beberapa pimpinan PAS Terengganu dan Kelantan.

Majlis dialog berkenaan dirasmikan oleh Penaung Mampat, Tengku Seri Paduka Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasaruddin Shah dan Solat Hajat diimamkan oleh bekas Timbalan Mufti Terengganu, Ustaz Zainal Abidin al-Hafiz di Masjid Tengku Zaharah .
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .