KUALA LUMPUR, 23 Mac: Ketua Polis  Negara, Tan Sri Musa Hassan boleh dianggap tidak mematuhi ketuanya jika  beliau tidak bertindak ke atas pihak ketiga yang campur tangan dalam  urusan polis, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (PIC).
"Oleh  kerana Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Datuk Seri Hishammuddin  Hussein) berkata, adalah menjadi tanggungjawab polis untuk bertindak ke  atas pihak ketiga yang campur tangan dalam urusan polis, Musa boleh  dianggap ingkar kepada ketuanya jika beliau tidak menyegerakan tindakan  tersebut," katanya.
Musa sebelum itu mendedahkan ada pihak ketiga  yang campur tangan dalam urusan polis dan memberi tekanan kepada para  pegawainya.
Menurut beliau, hanya Ketua Polis Negara yang boleh  memberi arahan berdasarkan Seksyen 4 Akta Polis 1957.
Salahuddin  juga mempersoalkan sikap Hishammuddin yang seolah-olah mengambil sikap  lepas tangan terhadap apa yang dibangkitkan oleh Musa itu.
"Selaku  menteri, beliau sepatutnya mengambil tanggungjawab bersama untuk  menyiasat dan bertindak ke atas campur tangan pihak ketiga yang  dibangkitkan oleh ketua polis negara sendiri.
"Bukannya membuat  kenyataan yang seolah-olah memperkecilkan betapa seriusnya apa yang  dibangkitkan oleh Ketua Polis Negara itu apabila mendakwa beliau belum  lagi mendengar aduan tentang pihak ketiga yang berkuasa mempengaruhi  polis.
"Ketua Polis Negara telah membangkitkannya dalam media dan  heboh di seluruh negara, adakah wajar bagi Hishammuddin untuk membuat  dakwaan bahawa tidak pernah mendengar aduan?" kata Ahli Parlimen Kerian  itu sambil tidak menolak kemungkinan pihak ketiga yang berkepentingan  politiklah yang memaksa polis menyerang perhimpunan-perhimpunan  demokratik yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat (PR).
Salahuddin  juga berharap Menteri Dalam Negeri jujur apabila mendakwa tidak ada  pergeseran antara Kementerian Dalam Negeri dan pasukan polis.
"Jika  Menteri Dalam Negeri berkrisis dengan Ketua Polis Negara, yang  menanggung padahnya adalah rakyat," katanya.
Hishamuddin membuat  dakwaan itu ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat daripada  Anthony Loke (DAP- Rasah) yang meminta penjelasan mengapa Ketua Polis  Negara dan beliau memilih meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing  di media daripada berkomunikasi sesama mereka.
Wujud spekulasi  bahawa hubungan kedua-dua pihak adalah tegang berikutan pendedahan Musa  bahawa ada campurtangan pihak ketiga dalam pasukan polis.
Harakah Daily


