Ikuti Blog ini

'Mohsin perlu berani berdepan dengan rakyat'

Ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri tidak perlu takut dan khuatir untuk berdepan dengan rakyat di kawasannya sekiranya beliau yakin berada di pihak yang benar, kata pengerusi PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub hari ini.

Mustaffa diminta mengulas kenyataan Mohsin yang beliau tidak dapat dihubungi kira-kira seminggu selepas keluar PKR baru-baru ini kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

Mohsin dilaporkan berkata beliau 'menghilangkan diri' selepas mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil bebas pada 3 Mac lalu atas alasan tidak bersetuju dengan pandangan parti berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Pengundurannya itu dikritik pelbagai pihak dalam pembangkang, termasuk melalui beberapa siri demonstrasi dan solat hajat tujuh malam supaya beliau mengosongkan kerusi itu bagi memberikan laluan kepada pilihan raya kecil.

Mengulas lanjut, Mustaffa yang juga naib presiden PKR berkata, tidak ada sebarang ancaman terhadap Mohsin tetapi "siapa yang makan cili, dialah yang rasa pedas".

"Beliau tidak perlu menyalahkan orang lain, sebaliknya menilai diri sendiri. Kalau beliau betul, beliau harus berani berdepan dengan rakyat," katanya.

Ditanya sama ada kenyataan Mohsin yang bimbangkan keselamatan itu sebagai satu alasan, Mustaffa mendakwa, ia mungkin sekadar alasan sahaja kerana tidak berani berdepan dengan rakyat selepas keluar parti.

Mustaffa berkata perhimpunan di hadapan pejabat Mohsin bagi mendesaknya mengosongkan kerusi Bagan Serai dilakukan secara aman.

Dilaporkan sekurang-kurangnya demonstrasi diadakan di Bagan Serai susulan peletakan jawatan Mohsin daripada PKR dua minggu lalu.

Hanya sehari selepas beliau mengisytihar keluar PKR, kira-kira 200 pengundi berdemontrasi di hadapan pejabatnya.

Manakala bermula Sabtu lalu, satu solat hajat khas anjuran ahli majlis syura Ulama PAS Ahmad Awang diadakan di pelbagai tempat di parlimen itu bagi memohon hukuman Allah terhadap Mohsin kerana didakwa mengkhianati perjuangan.

Ia dijadual berakhir di Masjid Kampung Tinggi pada Jumaat ini.

Malaysiakini/-
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .