Cawangan MIC Hulu S'gor beri kata-dua
Sebahagian daripada  ketua-ketua cawangan MIC Hulu Selangor hari ini memberi kata dua kepada  kepemimpinan Barisan Nasional agar mecalonkan timbalan presiden parti  itu, Datuk G Palanivel di parlimen Hulu Selangor atau menghadapi  pembubaran cawangannya.
Tindakan itu dilihat menghangatkan lagi  suasana apabila BN dijangka mengumumkan calonnya pada jam 4 petang esok  bagi pertandingan pada 25 April ini.
Hampir separuh daripada  ketua cawangan yang mewakili kira-kira 30 daripada 72 ketua cawangan  hadir di ibupejabat MIC bahagian Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru untuk  meluahkan sokongan kepada Palanivel.
Menurut mereka jika cadangan  supaya Palanivel dicalonkan ditolak oleh BN, tindakan itu sesuatu yang  memalukan kepada MIC dan pemimpin parti itu.
“Kami tidak akan  keluar mengundi jika calonnya bukan Palanivel,” kata K Allo Pillai,  seorang penyokong akar umbi yang membayangkan BN mungkin dipulaukan.
Ketua  penerangan MIC Hulu Selangor, Raily Muniandy juga mengugut bahawa semua  cawangan MIC di kawasan pilihan raya itu akan ditutup, kika tuntutan  mereka agara Palnivel dicalonkan ditolak.
"Kami menyokong penuh  Palanivel kerana dia pemimpin berwibawa, bersih dan telah menjadi  penduduk di kawasan ini untuk hampir 15 tahun, “ kata Raily.
Beliau  menjelaskan Palanivel, yang berasal dari Pulau Pinang, tidak semestinya  dilahirkan di kawasan pilihan raya itu untuk diiktiraf sebagai anak  tempatan.
"Dia (Palanivel) kenal siapa Ah Kaw, Ahmad dan Ramasamy  di sini kerana telah berada 18 tahun di sini,” katanya.
Ditanya  sama ada mereka akan menyokong calon MIC yang lain, Raily berkata:  “Jawatankuasa pusat MIC telah memutuskan Palanivel sebagai calon Hulu  Selangor dan perkara itu adalah muktamad.”



