Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Fuziah Salleh kesal dengan tindakan sembrono Suruhanjaya Pilihan Raya menghadkan jumlah penyokong kepada 100 orang semasa penamaan calon tanpa perbincangan dengan parti politik.
"Peraturan SPR menghadkan jumlah penyokong kepada cuma seratus orang semasa penamaan calon haruslah dengan persetujuan parti-parti yang bertanding, setakat ini mereka belum memanggil dan berbincang dengan kita dan tiba-tiba semalam mereka mengumumkan peraturan tersebut.
"SPR tidak boleh berbuat demikian kerana kita yakin kita boleh kawal penyokong kita. Kita bayar gaji anggota polis dan FRU untuk jaga keselamatan. SPR boleh memastikan supaya laluan itu tidak bertembung supaya tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku.
"Banyak perkara SPR boleh buat untuk memastikan keselamatan tetapi kita tidak mahu mereka ini digunakan oleh BN semata-mata untuk melumpuhkan semangat penyokong kita pada hal setiap kali penamaan calon, semangat penyokong BN yang lumpuh apabila melihat ramainya penyokong kita, kita tidak mahu tipu helah ini berlaku semasa hari tersebut," tegas Fuziah semasa berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Rakyat di Kompleks Sukan dan Komuniti Serendah semalam.
Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan mahu SPR tidak berada di dalam keadaan tertekan dan seharusnya konsisten dan buktikan bahawa badan itu bukan parti komponen Barisan Nasional dengan mengikut telunjuk pemimpin Umno-BN.
SPR akan melarang semua parti politik membawa penyokong terlalu ramai bagi mengiringi calon masing-masing pada hari penamaan calon kononnya bagi mengelak berlaku kekecohan.
Ini berikutan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat yang ramai berbanding penyokong Barisan Nasional pada beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini.- sk