Ikuti Blog ini

Royalti: Kelantan kekal Tengku Razaleigh orang tengah

KOTA BHARU, 13 April: Kerajaan Negeri Kelantan masih kekal untuk menawarkan lantikan bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah pengagihan royalti oleh kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah (gambar), berkata keputusan kerajaan negeri untuk melantik Razaleigh sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kemelut itu masih tidak berubah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Etika Pakaian 2010 anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), di sini semalam.

Menurut Amar lagi, sekiranya Tengku Razaleigh tidak bersetuju, kerajaan negeri tidak boleh memaksanya.

“Kalau dia tidak bersetuju, dia boleh jawab secara rasmi, tiada masalah.

“Kalau dia bersetuju (jadi orang tengah) alhamdulillah, kalau dia kata dia tak terima akibat dari salah faham, itu kita tak boleh nak kata apalah,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan adakah surat rasmi telah dihantar oleh kerajaan negeri kepada Ku Li berhubung perkara itu.

Ini kerana, tambahnya ianya di bawah tanggungjawab anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Menyentuh tentang post-mortem pilihan raya umum 2004 sebagaimana yang didedahkan dalam sebuah blog baru-baru ini, beliau memberitahu PAS akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang berbuat demikian sekiranya ia benar-benar berlaku.

Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan bagaimanapun memberitahu sejauh mana perkara itu berlaku tidak dapat dipastikan memandangkan beliau tidak membacanya.

“Kalau benar perkara itu berlaku, kita akan siasatlah bagaimana pendedahan itu boleh berlaku. Pertamanya kita kena pastikan dulu adalah laporan yang dibuat itu laporan yang betul.

“Kedua pula sekiranya laporan itu sah, kita kena siasatlah bagaimana dia dapat (laporan), siapa yang bocorkan dan kita akan siasat peringkat demi peringkat.

“Kiranya terbukti ada pihak yang terlibat, kita akan mengambil tindakan yang sesuai tidak kira siapa yang terlibat sekalipun,” ujarnya. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .